Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, February 13, 2010

You're In My Forgotten Memories 2

DONG WOOK mengambil tempat di sisi katil Yun Ho yang leka memerhati ke luar tingkap. Dari awal kemunculan dia di wad itu lagi, Yun Ho leka melihat pemandangan luar. Entah apalah yang menarik perhatian lelaki itu, Dong Wook sendiri tidak tahu. Perlahan dia menepuk bahu sahabat baiknya itu. Lamunan Yunho berkecai. Pantas dia menoleh ke sisi. Dong Wook mengukir senyum.

         “ Kau fikirkan apa?” tanya lelaki itu. Yun Ho kembali memandang ke luar tingkap selepas menghadiahkan senyuman kepada rakannya itu. Bahunya dijungkit sedikit.

         “ Aku… tak tahu. Aku cuma fikirkan satu perkara.”

         “ Tak nak beritahu aku?”

         Yun Ho mengeluh berat. “ Kenapa aku tak ingat Hye Sun sedangkan aku ingat kau, mak dan ayah aku, orang lain?” jelas Yun Ho. Dia menyebak rambutnya. Rambutnya kusut sedikit. Mukanya berserabut.

         “ Aku tak pandai nak jelaskan perkara ni. Doktor sendiri yang cakap, kau mengalami amnesia. Sabarlah, tapi kau jangan layan Hye Sun tu macam orang asing pulak. Dia tunang kau, bukannya orang lain,” kata Dong Wook lagi. Yun Ho mengangguk.

         Sudah dua hari berlalu semenjak dia sedarkan diri dan sepanjang tempoh itu jugalah Hye Sun tidak datang melawatnya. Hanya Dong Wook yang setia melawatinya, begitu juga dengan kedua-dua ibu bapanya. Mungkin gadis itu kekok, siapa tahu?

         Yun Ho terfikir juga, kenapa dia boleh melupakan Hye Sun sedangkan gadis itu bakal isterinya. Jika dia mahu mengandaikan bahawa dia tidak menyukai gadis itu, takkanlah ibu bapanya tidak memberitahu dia. Sementelah lagi apabila dia melihat gadis itu seorang yang amat lemat lembut.

         “ Kau rindukan dia ke?”

         Yun Ho tersentak dengan pertanyaan itu. Dia menoleh ke arah Dong Wook yang sudah tersenyum-senyum. Keningnya berkerut menandakan kehairanan di hati. Dong Wook ketawa perlahan.

         “ Kau tak payah nak mengarutlah,” nafi Yun Ho. Pandangan dilempar ke luar tingkap. Bunyi burung saling berciutan menarik perhatiannya. Dong Wook ketawa. Semakin galak bunyinya. Nasib baik Yun Ho ditempatkan di wad kelas satu, sekurang-kurangnya tiada pesakit lain yang akan terganggu dengan tawa Dong Wook. Telefon bimbit dikeluarkan daripada saku seluar.

         “ Aku boleh telefon dia datang ke sini kalau kau nak.”


HYE SUN menghentikan kerjanya sebaik sahaja deringan telefon bimbit menyapa telinga. Jemarinya berhenti menari di papan kekunci laptop. Telefon bimbit yang diletak di atas meja dicapai sebelum dia meneliti pada skrin. Nama Dong Wook tertera pada permukaan skrin. Dahi Hye Sun berkerut. Butang hijau ditekan sebelum telefon bimbit dibawa ke telinga.

         “ Helo?”

         “ Hye Sun?”

         Hye Sun terkesima. Lidahnya kelu secara tiba-tiba. Mata terkelip-kelip. Ini bukan suara Dong Wook, tapi ini suara... Yun Ho.

         “ Hye Sun?”

         Hye Sun tersentak. Pantas dia menggelengkan kepalanya. Memang tidak boleh dinafikan lagi. Itu suara Yun Ho. Yun Ho yang sedang bercakap dengannya. Bukannya Dong Wook.

         “ Yunho… kenapa awak telefon saya?” tanya Hye Sun, seolah-olah masih tidak percaya dengan suara yang didengarinya sebentar tadi. Perlahan sahaja butir bicara Hye Sun. Desah nafas Yun Ho kedengaran di hujung talian. Hati Hye Sun mula bergetar.

         “ Maaf menganggu. Saya tak tahu nombor telefon awak, jadi saya guna telefon Dong Wook. Awak sibuk ke?” tanya Yun Ho tanpa menjawab pertanyaan Hye Sun.

         “ Tak… tak menganggu. Tapi, kenapa awak telefon saya? Ada masalah ke?” tanya Hye Sun sekali lagi.

         Dia bangun daripada kerusi lantas berjalan ke tingkap bangunan pejabatnya. Hye Sun menjenguk ke bawah. Kenderaan-kenderaan yang bergerak di bawah tidak ubah seperti semut-semut kecil lantaran pejabatnya terletak di tingkat 15 bangunan itu. Telefon masih dilekapkan pada telinga. Yun Ho kembali bersuara.

         “ Err… dah dua hari awak tak datang. Kenapa? Awak sibuk ke?” tanya Yun Ho.

         Hye Sun terdiam. Lelaki itu bertanyakan kehadiran dirinya. Benar. Perwatakan Yun Ho sudah jauh menyimpang daripada asalnya. Tiada lagi nada sinis atau tengkingan yang Hye Sun terima seperti di awal pertunangan mereka.

         Kadang kala, Hye Sun terfikir juga. Adakah Yun Ho akan berubah seperti dulu juga ingatannya sudah kembali pulih. Bagi Hye Sun, dia tidak mengharapkan perubahan itu. Dia mahu Yun Ho kekal melayannya dengan baik seperti kini.

         “ Awak... tak nak datang ke?”

         Suara Yun Ho kembali menjengah. Tanpa sedar bibir sudah mengukir senyum. Hye Sun mengangguk. “ Baiklah. Saya datang.”

         Yun Ho ketawa. Hatinya sudah mula berbunga riang. Perlahan dan teratur sahaja tawanya berbunyi.

         “ Saya tunggu awak, ya?”

         Sekali lagi Hye Sun terkesima.


BEG dibawa keluar dari wad. Puan Jung mengiringi Yun Ho keluar, diikuti oleh Hye Sun. Hari ini, Yun Ho dibenarkan keluar dari hospital. Pengerusi Jung dan Dong Wook tidak menyertai mereka kerana urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

         “ Hye Sun, kamu nak ikut kami pulang ke rumah ke? Kerja kamu di pejabat macam mana?” tanya Puan Jung, teringatkan permintaan Hye Sun untuk mengikuti mereka pulang ke kediaman Jung.

         “ Saya…”

         Belum sempat Hye Sun habis berkata-kata, ada suara yang mencelah perbualan mereka.

         “ Awak akan teman saya pulang, kan?”

         Hye Sun tergamam. Dia melihat pada wajah Yun Ho yang kelihatan ceria. Perlahan-lahan dia mengangguk. Yun Ho ketawa perlahan. Dia memandang wajah ibunya,

         “ Hye Sun dah setuju, apa salahnya kalau dia temankan kita balik. Boleh saya berbual dengan dia,” kata Yun Ho. Puan Jung turut ketawa. Belakang Yunho ditepuk berulang kali.

         “ Suka hati kamulah.”

         Mereka bertiga keluar dari bangunan hospital menuju ke ruang parkir kereta. Di situ sudah ada sebuah kereta sedang menunggu. Hye Sun juga datang bersama-sama Puan Jung tadi. Puan Jung yang meminta gadis itu menemaninya kerana ketiadaan Pengerusi Jung.

         “ Hye Sun, kamu makan tengah hari di rumah mak cik, ya?” pelawa Puan Jung. Hye Sun sekadar mengangguk untuk mengiakan. Yun Ho dibiarkan berseorangan di tempat duduk paling belakang. Lelaki itu tidur mengiring di atas tempat duduk. Barangkali masih letih kerana menjalani rawatan hospital yang pelbagai.

         “ Mak cik gembira hubungan kamu berdua sudah baik,” perlahan Puan Jung menutur kata. Dia bimbang jika Yun Ho mendengar perbualan mereka.

         “ Maksud mak cik?”

         Puan Jung tersenyum. “ Mak cik tahu, hubungan kamu tidak baik sebab pertunangan ni.”

         “ Tapi, mungkin dia akan bencikan saya semula jika ingatan dia pulih,” keluh Hye Sun. Puan Jung mengangguk. Kemungkinan perkara itu terjadi memang tidak boleh disangkal.

         Puan Jung mencapai jemari Hye Sun sebelum dielus perlahan. Hye Sun tersentak. Dia menoleh pada wajah tua itu. Wanita itu sedang mengukir senyum kepadanya. Damai menjengah hati.

         “ Kalau Yun Ho benar-benar ditakdirkan untuk kamu, buat selamanya cinta dia hanya untuk kamu. Kamu jangan risau. Mak cik percaya, Yun Ho akan tetap cintakan kamu walau ingatan dia sudah pulih, jangan risau, okay?” pujuk Puan Jung.

         Hye Sun terkesima. Elusan Puan Jung dibiarkan tanpa dihalang. Dia mengangguk perlahan. Bibirnya tersenyum hambar.

         “ Baiklah, mak cik.”


PINTU bilik dibuka. Yun Ho memasuki kamar tidurnya diikuti oleh Hye Sun. Puan Jung berada di tingkat bawah. Wanita itu mahu menolong orang gaji rumah mereka menyediakan makan tengah hari. Hye Sun menolong lelaki itu membawa beg masuk ke dalam bilik.

         “ Bilik… saya,” ungkap Yun Ho perlahan. Kening Hye Sun bercantum. Kenapa pula dengan Yun Ho? Masakan bilik sendiri tidak cam hanya kerana amnesia yang dianggap kecil itu?

         “ Kenapa, Yun Ho?” tanya Hye Sun. matanya turut memerhati ke sekitar. Inilah kali pertama dia memasuki bilik lelaki itu. Kemas dan tersusun rapi. Warna biru muda melatari suasana. Cantik! Kelihatan ringkas dengan perabot yang tertentu sahaja.

         “ Ini memang bilik saya ke?” tanya Yun Ho terus memandang Hye Sun. Wajahnya menampakkan kebingungan. Hye Sun mula kaget.

         “ Y… ya. Kenapa awak tanya?” soal Hye Sun pula.

         Yun Ho merengus perlahan. Dia berjalan mengitari bilik itu. Hye Sun pula kekal di tempatnya berdiri. Tiba-tiba sahaja Yun Ho menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

         “ Yun Ho, kenapa?”

         Langkah Yun Ho mati. Dia kembali melihat pada wajah Hye Sun yang jelas kebingungan seperti mana dia. Dia mengambil tempat duduk di birai katil namun Hye Sun tidak menyertainya.

         “ Awak kata, kita bertunang. Tapi kenapa tak ada walau sekeping pun gambar awak dan kita dalam bilik ni?” tanya Yun Ho tidak puas hati.

         Nafas Hye Sun tersekat. Pertanyaan Yun Ho mengejutkan dia. Dia melihat sekitar bilik. Benar. Memang tiada gambar mereka bersama apatah lagi gambar Hye Sun dalam bilik itu. Untuk apa gambar mereka ada di bilik Yun Ho jika pada asalnya hubungan mereka tidak elok?

         “ Hye Sun, saya tanya awak ni. Kita tak pernah ambil gambar bersama-sama ke?”

         Pertanyaan Yun Ho menghalau lamunan Hye Sun. Hye Sun menarik nafas dalam-dalam. Dia sendiri buntu untuk mengatakan sesuatu sebagai jawapannya kepada Yun Ho.

         “ Err… mungkin awak simpan lepas tu awak lupa? Apa kata kalau kita tanya mak awak, tentu mak awak tahu,” kata Hye Sun. Hanya itu sahaja yang mampu difikirkan. Beritahu Yun Ho bahawa hubungan mereka tidak baik? Jauh sekali!

         Yun Ho terdiam. Kata-kata Hye Sun agak tidak masuk akal namun dia hanya mengangguk mengiakan.

         “ Baiklah. Saya akan tanya mak,” Yun Ho bersetuju.

         Hye Sun mengangguk. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya perkara sebenar tidak terbongkar lagi.   

5 comments:

Sharinginfoz said...

singgah kejap.... bosannya.....

aku junsu said...

haha..xiah junsu is so cute.and i love yoochun too..

pRincEssaLiE said...

yash!!
ak terbyg2 si u-know yg berlakon...
so sweet la!!!he3...
new en-3 pliz!!he3

Anonymous said...

hehe....sonok plus best gak cter ni....hehe...coz uknow jdik hero nyer...kita ni peminat fntik dia..hehe...sweet sgt bab 2...:)...smbg la lg erk

nfarhana said...

bez gler.. tp xleh byangkan perangai u-know yg manje ala2 baby g2..hehehe
dlam dlam bese dia nakal n suka kacau org..
gud luck,sambung lg..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...