Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Monday, February 15, 2010

You're In My Forgotten Memories 3


“ DONG WOOK, tunggulah!” laung Hyo Rin.

         Nafasnya mula tercungap-cungap. Tidak terkejar dia dek langkah Dong Wook yang lebar. Lelaki itu langsung tidak mengendahkan panggilan dia. Sebaliknya Dong Wook terus berjalan meninggalkan Hyo Rin.

         “ Dong Wook, tolonglah tunggu sebentar!” laung Hyo Rin lagi. Kali ini dia berlari ke sisi Dong Wook. Langkah Dong Wook mati. Dia melihat pada Hyo Rin yang sudah berada di sisi.

         “ Kenapa?”

         Dong Wook benar-benar rimas dengan gadis itu. Hyo Rin tidak sudah-sudah mengacau hidupnya. Dia sudah mengatakan perasaan sebenarnya namun Hyo Rin hanya buat tidak peduli. Dia sama sekali tidak punya perasaan buat Hyo Rin.

         “ Sampai bila awak nak larikan diri daripada saya? Sampai bila?” tanya Hyo Rin. Dia mengetap bibir. Lelaki ini tidak pernah mahu memberikan kesempatan untuknya.

         Dong Wook mengeluh. Dia mengalih pandangan ke sisi sebelah lain. Malas mahu melihat wajah jelita itu.

         “ Sampai bila-bila. Saya tak pernah ada perasaan untuk awak, faham?” kata Dong Wook. Nadanya dinaikkan sedikit. Hyo Rin mencebik.

         “ Saya ikhlas sukakan awak!”

         “ Tapi saya tak pernah sukakan awak.”

         Dong Wook segera berlalu sebaik sahaja ayat itu habis dituturkan. Hyo Rin menghentak kaki. Dia mengekori langkah Dong Wook dari belakang. Dia tidak peduli jika lelaki itu mahu memarahinya.

         “ Awak tak adil! Awak patut bagi saya peluang!”

         Kata-kata Hyo Rin tidak diendahkan sebaliknya langkah Dong Wook kian laju. Hyo Rin semakin sakit hati. Langkahnya mati secara tiba-tiba. Matanya melihat pada sisi belakang Dong Wook seolah-olah mahu ditelan sahaja.

         “ Saya tahu apa sebabnya! Hye Sun, kan?”

         Dong Wook tergamam. Dia menghentikan langkah kakinya secara tiba-tiba. Dia menoleh ke belakang. Hyo Rin sedang tersenyum sinis kepadanya. Gadis itu berdiri berpeluk tubuh.

         “ Awak tak nak terima saya sebab awak sukakan Hye Sun, kan? Selama ni, cuma Hye Sun je gadis yang awak ada perasaan suka. Saya percaya, tak ada gadis lain lagi,” kata Hyo Rin dengan penuh keyakinan. Dong Wook meraup wajah.

         “ Hye Sun dah berpunya! Dia dan Yun Ho dah bertunang! Awak takkan ada peluang lagi!” kata Hyo Rin lagi.

         Panas hatinya apabila memikirkan tentang Hye Sun. Sudah lama lelaki itu menyimpan perasaan buat Hye Sun namun Hyo Rin tahu bahawa Dong Wook tidak akan ada peluang. Hye Sun sukakan Yun Ho dan mereka telah bertunang.

         “ Walau macam mana pun, saya tetap takkan sukakan awak!” keras Dong Wook melontar ayat. Sakit kepalanya kerana melayan kerenah Hyo Rin.

         “ Awak pernah luahkan perasaan pada Hye Sun, kan?”

         Dong Wook tergamam. Bagaimana Hyo Rin boleh tahu? Itu hanya rahsia di antara dia dan Hye Sun. Yun Ho juga tidak tahu mengenai perkara itu. Bagaimana pula Hyo Rin boleh dapat tahu?

         “ Saya dengar semasa kat taman. Saya sendiri yang dengar bagaimana Hye Sun tolak cinta awak. Lepas pertunangan mereka, awak terbang ke Amerika. Awak kecewa sebab Hye Sun tolak awak,” kata Hyo Rin lagi. Dong Wook mengetap bibir. Buku limanya digenggam kemas. Tangannya terketar-ketar.

         “ Buat selamanya Hye Sun takkan terima cinta awak,” ucap Hyo Rin.

         Dong Wook merengus. Dia kembali menyambung langkah. Hatinya boleh terluka dengan lebih parah jika dia berlama-lama di situ. Dong Wook masih ingat, peristiwa yang telah membuatkan dia nekad untuk terbang ke Amerika. Petang itu...


HYE SUN menyanyi kecil. Dong Wook yang berada di sebelah dibuat seolah-olah tidak wujud. Matahari masih melimpahkan sinarnya. Jam di tangan dikerling sekilas.

         “ Lambatnya Yun Ho ni. Janji jumpa kat taman ni,” rungut Hye Sun. Dong Wook ketawa.

         “ Awak tak takut ke kalau dia marah awak?” tanya Dong Wook. Nyanyian Hye Sun terhenti secara tiba-tiba. Dia tunduk merenung rumput yang menghijau di kaki.

         “ Saya tak tahu. Tapi, saya gembira dengan pertunangan ni walau saya tahu Yun Ho tak sukakannya.”

         Dong Wook mengangguk. Dia sudah maklum benar. Yun Ho tidak bersetuju dengan pertunangan mereka namun tiada apa yang boleh Dong Wook lakukan untuk menolong Hye Sun. Hye Sun sahabatnya, Yun Ho juga sahabatnya.

         “ Macam mana dengan persiapan majlis?” tanya Dong Wook lagi. Dia melihat ke sekitar taman. Bayang Yun Ho masih tidak kelihatan.

         “ Setakat ni baik je. Kenapa?” tanya Hye Sun. Dia mengukir senyum. Dong Wook ketawa.

         “ Saya tak sempat lagi pergi ke dewan tu.”

         “ Awak pula bila lagi?”

         Kening Dong Wook berkerut. Dia tidak memahami kata-kata Hye Sun. Bila apa? Hye Sun hanya ketawa apabila melihat muka Dong Wook yang jelas kehairanan.

         “ Awak pula bila nak bertunang? Hyo Rin dah lama tunggu awak,” jelas Hye Sun. Dia teringatkan Hyo Rin. Gadis itu memang sudah sekian lama sukakan Dong Wook namun lelaki itu tidak melayan kerenah Hyo Rin. Entah kenapa, tidak pula Hye Sun tahu.

         “ Hyo Rin? Tak naklah. Saya tak pernah sukakan dia,” kata Dong Wook sambil ketawa. Hye Sun tersenyum.

         “ Hyo Rin betul-betul sukakan awak. Kalau tidak, takkanlah dia sanggup kejar awak. Dah hampir empat tahun dia kejar awak, minta awak terima cinta dia. Takkan tak pernah terdetik di hati untuk sukakan dia?” tanya Hye Sun.

         “ Saya… sukakan orang lain,” kata Dong Wook perlahan. Hye Sun menoleh ke arah Dong Wook. Ketawanya mula kedengaran.

         “ Siapa? Gadis tu tak sukakan awak ke?” tanya Hye Sun dengan sisa tawanya.

         “ Awak…”

         Tawa Hye Sun mati. Bulat matanya merenung ke wajah Dong Wook. Dong Wook mengangguk perlahan.

         “ Saya sukakan awak, Hye Sun.”

         Hye Sun menggelengkan kepalanya. Dia melarikan matanya daripada wajah Dong Wook. Wajah lelaki itu jelas menampakkan kesungguhan tentang apa yang diperkatakan tadi. Hye Sun mengetap bibir.

         “ Saya sukakan awak. Selama ni saya sukakan awak,” kata Dong Wook lagi.

         Dia menghela nafas. Sudah sampai masanya untuk dia membuat pengakuan. Dia tidak boleh memendam perasaan ini buat selamanya.

         “ Saya tak boleh pendam lagi perasaan saya. Saya memang sukakan awak, Hye Sun,” kata Dong Wook lagi. Hye Sun tetap menggeleng. Perlahan sahaja gelengannya itu. Sukar buatnya untuk mempercayai Dong Wook.

         “ Awak tahu saya sukakan Yun Ho, kan?”

         Dong Wook mengangguk. Memang sudah jelas bahawa Hye Sun tidak akan menerima dirinya. Dia tahu betapa Hye Sun sayangkan Yun Ho, sahabat karibnya sejak kecil lagi. Selama ini, hanya Yun Ho sahaja lelaki yang Hye Sun cintai.

         “ Awak tak patut ungkapkannya. Maaf, Dong Wook. Tapi hati saya hanya untuk Yun Ho,” kata Hye Sun lagi. Perlahan nada yang dikeluarkan. Dong Wook mengangguk sekali lagi.

         “ Saya faham…”


CINCIN platinum sebagai tanda ikatan pertunangan mereka diusap perlahan. Hye Sun mengeluh. Perlahan sahaja bunyinya agar tiada sesiapa yang dapat mendengar keluhan itu. Dia melihat pada Yun Ho yang berada di hadapan.

         Hari ini hari minggu dan Yun Ho telah mempelawa Hye Sun bersiar-siar di sekitar Seoul. Hye Sun yang tiada perancangan terus bersetuju. Apatah lagi, dia mahu hubungannya dengan Yun Ho benar-benar baik, seperti mana yang diminta oleh Puan Jung tempoh hari.

         “ Hye Sun? Kenapa, muram je saya tengok?” tanya Yun Ho secara tiba-tiba. Hye Sun menggeleng perlahan. Senyuman kecil diukir di bibir. Yun Ho turut mengukir senyum.

         “ Dari tadi lagi saya tengok awak muram je. Kenapa? Atau awak ada urusan lain hari ni?” tanya Yun Ho lagi. Hye Sun tetap menggeleng.

         “ Saya memang lapang hari ni. Salah saya, kuat sangat berkhayal,” dalih Hye Sun. Dia ketawa kecil. Yun Ho hanya mengangguk. Lelaki itu meneruskan suapan di mulut.

         Hye Sun tersenyum lemah. Dia turut menyambung suapan yang terhenti seketika tadi. Dia mengerling pada jam di tangan sekilas. Hampir dua jam mereka bersiar-siar di sekitar Seoul. Entah apa lagi yang ingin Yun Ho lakukan selepas ini.

         “ Emm… Hye Sun?”

         Suapan Hye Sun terhenti. Dia melihat pada wajah tunangnya. Lebar senyuman Yun Ho kepadanya. Hye Sun turut menghadiahkan senyuman pada lelaki itu.

         “ Kenapa?”

         Yun Ho tersenyum lagi. Senyuman itulah yang telah memikat Hye Sun. Lelaki itu punya senyuman yang mampu menawan hati semua orang. Tawa kecil Yun Ho kedengaran.

         “ Macam mana kita boleh bertunang? Awak… saya…” kata-kata Yun Ho tersekat. Lelaki itu merehatkan kepalanya di atas meja. Dia mendongak, melihat pada Hye Sun.

         “ Apa yang awak nak tahu?”

         Yun Ho ketawa sekali lagi. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambutnya berubah kusut sedikit.

         “ Apa-apa saja, asalkan pasal kita,” kata Yun Ho lagi.
         Hye Sun menelan liur. Agaknya apa yang patut dia katakan? Dia mula buntu. Dia tidak mahu Yun Ho mengetahui bahawa hubungan mereka sebenarnya tidak baik. Dia tidak mahu kehilangan layanan baik lelaki itu. Dia tak nak!

         “ Saya pun tak tahu nak cakap apa. Tapi, kita memang dah lama kenal. Keluarga masing-masing pun dah rapat,” kata Hye Sun perlahan. Teratur sahaja dia menutur kata. Dia bimbang jika ada kata-kata yang tidak enak didengar akan terlepas daripada bibirnya.

         “ Emm… tak apalah. Saya yakin, saya boleh ingat semula tentang kita. Dah, jom!”

         Yun Ho bangkit daripada duduknya lantas menarik tangan Hye Sun. Terkejut Hye Sun dengan tindakan drastik Yun Ho itu. Nasibnya baik kerana tidak tersadung kaki meja semasa Yun Ho menariknya tadi.

         “ Kita nak ke mana?” tanya Hye Sun apabila Yun Ho menarik dia keluar dari restoran itu. Yun Ho menoleh ke arahnya. Senyuman tidak lekang daripada wajah itu.

         “ Kita pergi main, nak?”

         Hye Sun tayang muka terkejut. Main.... apa?


HYE SUN dan Yun Ho ketawa terbahak-bahak. Hye Sun cuba melarikan diri namun Yunho tetap mampu mengejarnya. Terpaksalah dia menurut sahaja kehendak lelaki itu.

         “ Berhentilah, Yun Ho! Dah basah baju saya!” kata Hye Sun.

         Yun Ho ketawa. Senapang air di tangan dibawa ke tepi. Dia berjalan mendekati Hye Sun. Hye Sun mengesat wajahnya yang turut dibasahi dengan air.

         “ Tak apalah. Nama lagi kita ke taman tema,” kata Yun Ho sambil ketawa. Hye Sun mencebik.

         “ Saya tak ajak pun awak main Water Splash. Awak yang beria-ria nak main,” balas Hye Sun. Geram juga dia dengan tunangnya itu.

         Hampir dua jam lebih mereka di taman tema itu. Sudah hampir kesemua permainan sudah dicuba. Kini Yun Ho ingin mencuba permainan Water Splash pula. Permainan yang menggunakan senapang air untuk menembak lawan itu memang menyusahkan Hye Sun. Baju yang dipakai sudah basah kerana ditembak oleh Yun Ho.

         “ Okey, okey. Lepas ni kita pergi cari baju ganti, okey?” pujuk Yun Ho. Hye Sun tersengih.

         Mereka berdua keluar dari kawasan itu. Hye Sun perlu ke kedai pakaian untuk mengantikan pakaiannya yang basah. Pengunjung yang turut bermain Water Splash kesemuanya mengenakan baju hujan. Hanya Yun Ho dan Hye Sun sahaja yang tidak mengenakan sebarang perlindungan daripada basah air. Nasib Hye Sun baik kerana di taman tema itu menyediakan beberapa buah kedai pakaian untuk pengunjung yang datang.

         “ Pergilah pilih. Saya tunggu di sini,” ujar Yun Ho. Ketawanya masih kedengaran. Hye Sun mengangguk. Dia mengekori jurujual yang bertugas.

         Yun Ho mengambil tempat di ruang menunggu. Sementara menunggu Hye Sun, dia membaca akhbar yang tersedia di situ. Terasa bahunya ditepuk dari belakang. Pantas Yun Ho menoleh.

         “ Awak siapa?”

         Seorang gadis berdiri di belakangnya. Gadis itu sedang tersenyum kepadanya. Tangan dihulur kepada Yun Ho untuk berjabat.

         “ Seol Hyo Rin, kawan Dong Wook.”

         Yun Ho mengangguk sedikit. Huluran tangan Hyo Rin disambut.

         “ Maaf, saya lupa,” kata Yun Ho perlahan. Hyo Rin mengangguk. Dia masih mengukir senyuman.

         “ Saya ada dengar mengenai kemalangan tu. Tak sangka pulak boleh jumpa awak kat taman tema ni,” kata Hyo Rin sambil ketawa. Yunho tersengih.

         “ Saya baru saja keluar dari hospital. Tengah tunggu Hye Sun, dia beli pakaian sekejap,” kata Yun Ho. Tiba-tiba sahaja kening Hyo Rin bercantum. Wajahnya berubah pelik.

         “ Kenapa?” tanya Yun Ho kehairanan. Tiba-tiba sahaja wajah gadis itu berubah. Adakah dia sudah tersalah cakap?

         “ Awak cakap awak dengan Hye Sun?”

         Yun Ho mengangguk. “ Kenapa, ada masalah ke?”

         “ Bukan ke selama ni hubungan awak dengan dia memang tak baik? Macam mana pulak boleh rapat macam ni? Setahu saya, kamu berdua asyik bergaduh je selama ni.”

         Yun Ho tergamam. Dia terkejut mendengarkan kenyataan itu. Dia menoleh ke belakang. Hye Sun sudah berdiri di situ dengan pakaian ganti tersarung di tubuhnya. Wajah gadis itu juga kelihatan terkejut.

하나

3 comments:

pRincEssaLiE said...

alamak, tergantung plak cite die..he3..next en-3 pliz!tp klo bley nk smbungn cite you're my melody gak..(^__^)

Hana Kimi said...

hehe ;D
jgn bimbang
shine akn myusul plak nnti

fallenmoon said...

Hyo Rin tu menyibuk je..
Kesian Hye Sun :(
Sambung lagi! :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...