Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Friday, May 14, 2010

SHINE: You're My Melody 12


EICHII mengetap bibir. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia tidak pulang ke rumah. Memikirkan keseluruhan keputusan peperiksaan yang diterima tadi membuatkan dia gentar. Bimbang jika dimarahi oleh ibu bapanya. Kali ini, keputusannya benar-benar teruk. Jika selama ini dia memperoleh 75% ke atas bagi satu-satu mata pelajaran, pada ujian kali ini pula markah tertinggi yang dia berjaya peroleh hanyalah 60% bagi mata pelajaran Bahasa Jepun.

         “ Macam mana ni?” bisiknya sendirian. Dia benar-benar perlukan bantuan skuad penyelamat sekarang tetapi nampaknya hanya seorang sahaja yang boleh membantu dia. Satu-satunya adik beradik kandungnya.

         Baru sahaja minggu lepas dia meminta bantuan kakaknya tetapi sehingga sekarang tiada tindakan daripada kakaknya. Sudah tentu ibu dan bapanya mahu melihat keputusan ujian kali ini. Eichii benar-benar bingung. Kerana kesibukannya dengan aktiviri SHINE membuatkan masa untuk mengulang kaji pelajaran agak terbatas.

         “ Eichii? Monyok je kakak tengok. Pasal keputusan ujian ke?” tanya Hikari sebaik sahaja melihat Eichii masuk ke dalam garaj yang menempatkan basikal para pelajar. Eichii hanya mengangguk tanpa sebarang kata.

         Hikari menggumam. Dia menepuk-nepuk belakang adiknya.

         “ Dahlah, jangan fikir lagi. Pasal mak dan ayah, biar kakak uruskan. Eichii jangan bimbang, ya?” kata Hikari lagi. Eichii mengangguk. Dia tersenyum kecil.

         “ Terima kasih, kak.”

         “ Tapi janji dengan kakak, pastikan untuk ujian yang akan datang, Eichii akan usaha untuk dapatkan keputusan yang baik. Boleh?” Hikari meminta persetujuan. Kasihan melihat wajah murung adiknya.

         “ Baiklah,” perlahan sahaja Eichii bersuara. Hikari tersenyum. Dia menyorong basikal ke luar garaj. Eichii turut berbuat demikian.

         “ Malam ni, kita serahkan keputusan masing-masing. Kalau mak atau ayah tanya kenapa, kakak akan tolong Eichii. Tapi, Eichii kenalah beritahu mak dan ayah yang Eichii akan usaha lagi dalam ujian akan datang,” ucap Hikari. Eichii mengangguk. Dia berubah ceria kembali.

         “ Sayang kakak,” ucapnya. Hikari menjengilkan matanya kepada adiknya itu. Eichii ketawa.

         “ Banyaklah kamu punya sayang. Dah, jom balik!”

         Eichii tersengih-sengih. Alah benar kakaknya dengan perkataan itu. Dia duduk di atas pedal basikal. “ Baik, puan besar!”


KUMI menggelengkan kepalanya berulang kali. Pening mula terasa. Dia memicit-micit dahinya. Dari kejauhan dia melihat Jun sedang berlari ke arahnya. Ada sebotol air mineral di tangan lelaki itu.

         “ Kenapa ni?” lembut Jun menyoal. Botol air di tangan diserahkan kepada Kumi. Kumi menyambutnya lantas membuka penutup botol. Diteguk rakus air mineral itu. Lega sedikit rasanya.

         Jun menggelengkan kepalanya. Sejak kuliah pagi tadi sehingga sekarang, Kumi kelihatan lemah sahaja. Muka gadis itu juga pucat. Barangkali Kumi tidak cukup tidur, hanya itu sahaja andaian Jun.

         “ Pening sikit je,” jawab Kumi perlahan. Botol air diletak di atas meja. Jun mengeluh.

         “ Pasal Mak Cik Asami ke?” tanya Jun. Peristiwa beberapa hari lalu kembali menjengah mindanya.

         Kumi tersentak. Dia merenung mata Jun. Nampak benar lelaki itu mengharapkan soalannya dijawab. Lama juga Kumi mendiamkan diri sehinggalah akhirnya dia mengangguk perlahan.

         “ Apa dah jadi?” tanya Jun lagi. Muka Kumi berkerut. Dia ragu-ragu sama ada untuk berterus-terang atau pun tidak dengan Jun. Jika dia beritahu, perkara ini hanya diketahui oleh ahli keluarganya sahaja. Jika tidak diberitahu, dia juga yang akan resah kerana tiada siapa yang boleh diluahkan masalahnya.

         “ Mak asyik teringatkan adik saya,” jawab Kumi perlahan.

         “ Apa?” Kali ini muka Jun pula yang berkerut. Adik Kumi? Sejak bila pula gadis itu punya adik? Bukan ke selama ini Kumi merupakan anak tunggal bagi pasangan Toyoda?

         Kumi mengangguk. Dia mengalih pandangan ke sekitar taman universiti. Ramai juga yang sedang mengulang kaji pelajaran di taman itu. Dia kembali melihat Jun. Sudah pasti Jun tidak tahu. Perkara itu merupakan rahsia keluarganya.

         “ Sebenarnya… mak pernah lahirkan seorang bayi perempuan dulu. Mungkin masa tu saya umur dua atau tiga tahun,” ujar Kumi membuka cerita. Jun mengangguk. Dia mula tertarik dengan cerita Kumi. Selama ini dia langsung tidak mengetahui mengenai perkara itu.

         “ Kemudian…”


TUNDUK Eichii merenung lantai marmar di hadapan. Wajah bapanya sedang serius memandangnya. Hikari turut berdiri di sebelahnya. Kedua-dua ibu bapa mereka sedang duduk di atas sofa berhadapan dengan mereka berdua.

         “ Kenapa teruk sangat keputusan kali ni?” tanya Pak Cik Hideaki perlahan. Namun begitu, tegasnya masih ada. Matanya tidak lepas daripada melihat wajah anak bongsunya itu.

         Eichii semakin resah. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab kepada bapanya. Hikari yang berada di sebelahnya turut resah. Bapa mereka bukannya seorang yang garang tetapi sekali lelaki itu mula menunjukkan ketegasannya, memang menempah masalahlah jawabnya.

         “ Eichii… tak sempat nak ulang kaji semua,” jawab Eichii. Tenggelam timbul suaranya ketika menjawab pertanyaan bapanya. Mak Cik Yukio hanya mendiamkan diri.

         “ Tentu ada kaitan dengan aktiviti SHINE, kan?” tanya Pak Cik Hideaki lagi. Eichii mengangguk. Memang itulah kebenarannya.

         Pak Cik Hideaki merengus. Dia membelek kesemua kertas ujian anaknya itu. Teruk! Markah jatuh menjunam! Matanya beralih kembali pada Eichii.

         “ Kalaulah berterusan macam ni, terpaksalah ayah halang kamu sertai SHINE lagi,” ucap Pak Cik Hideaki. Terlopong mulut Eichii serta Hikari mendengar kata-kata bapa mereka.

         “ Tapi, ayah…”

         “ Ayah perhatikan, setiap kali kamu pulang daripada latihan, kamu nampak letih sangat. Kakak kamu pun macam tu juga. Ayah tak nak sebab perkara ni pelajaran kamu terjejas. Kamu faham maksud ayah?” kata Pak Cik Hideaki. Eichii mengangguk lemah. Habislah…

         “ Tapi, ayah! Ni impian Eichii, takkan ayah nak sekat. Lagipun, ini ujian pertama Eichii lepas dia bergelar penyanyi. Mungkin kita patut beri dia peluang untuk ujian yang akan datang,” tergesa-gesa Hikari bersuara. Dia meluru ke hadapan. Eichii tercengang-cengang dengan tindakan kakaknya.

         Dahi Pak Cik Hideaki berkerut. “ Hikari, ayah tak nak pelajaran adik kamu terjejas. Takkan kamu tak faham?”

         Hikari mengangguk pantas. “ Tapi, ayah juga pernah cakap yang ayah takkan halang kami kejar impian kami. Hikari fikir, lebih baik ayah beri peluang kedua pada Eichii dulu. Kalau keputusan Eichii teruk lagi untuk ujian akan datang, Hikari takkan kata apa-apa lagi kalau ayah nak Eichii berhenti daripada SHINE.”

         Pak Cik Hideaki diam sejenak. Ada benarnya juga kata-kata anak sulungnya itu. Dia juga pernah berkata bahawa tidak akan menghalang cita-cita anaknya, jadi seharusnya dia mengotakan janjinya.

         Hikari dan Eichii sama-sama berpandangan. Hikari gigit bibirnya manakala Eichii pula melihat wajah bapa dan ibunya silih berganti. Kedua-dua resah menunggu kata putus daripada bapa mereka.

         “ Baiklah, ayah setuju dengan cakap kamu,” kata Pak Cik Hideaki memberi persetujuan. Bersorak Hikari mendengar kata-kata bapanya. Bahu Eichii ditarik agar sama ketinggian dengannya sebelum kepala adiknya itu digosok berulang kali. Kusut rambut Eichii dek perlakuan kakaknya itu. Hikari tersenyum lebar.

         “ Tapi, dengan satu syarat.”

         Senyuman di bibir Hikari mati sebaik sahaja Pak Cik Hideaki selesai menuturkan kata-katanya. Dahinya berkerut.

         “ Apa lagi, ayah?” segera Hikari menyoal. Ini yang aku tak suka ni! Tak suka!!!

         Pak Cik Hideaki menoleh ke arah isterinya sekilas. Wajah kedua-dua anaknya diperhati silih berganti. Kaca matanya dibetulkan. Hikari sudah merungut dalam hatinya. Sengaja bapanya mahu melengah-lengahkan masa!

         “ Ayah nak keputusan ujian Eichii yang akan datang kembali seperti biasa. Ayah serahkan perkara ni pada kamu, Hikari. Jika tidak, kamu juga yang ayah akan ambil tindakan walau keputusan kamu baik-baik saja.”

         Kata-kata Pak Cik Hideaki seolah-olah menjerut tekak Hikari. Buntang matanya seketika sebelum dia berpaling pantas ke arah Eichii yang sudah tersengih-sengih. Hikari mengetap bibir. Apa aku yang jadi mangsa keadaan ni?

         “ Terima kasih, ayah. Tentu kakak akan jamin keputusan ujian Eichii yang akan datang kembali seperti biasa,” ucap Eichii dengan senyuman tersungging di bibir walhal hatinya sedang ketakutan saat ini. Pasti kakaknya akan berusaha ‘kuat’ untuk memastikan keputusan ujian dia kembali seperti biasa. Ya, usaha yang tersangatlah ‘kuat’nya.

         Pak Cik Hideaki mengangguk. Lelaki itu kembali tersenyum.

         “ Ayah percayakan kamu berdua.”

         Pak Cik Hideaki dan Mak Cik Yukio bangun daripada duduk lantas menuju ke dapur. Hikari dan Eichii dibiarkan di ruang tamu. Renungan Hikari tidak lepas daripada wajah adiknya. Eichii sudah tayang muka serba salah.

         “ Ala… kak. Janganlah tengok Eichii macam tu.” Seram sejuk betullah. Mati aku!

         Hikari mengecilkan matanya. Dia tersenyum sinis.

         “ Memang betullah kamu akan belajar sungguh-sungguh lepas ni,” kata Hikari. Suaranya diperlahankan. Dia berjalan naik ke tingkat atas. Eichii berseorangan di ruang tamu.

         Hah! Bukan ke aku dah cakap! Pasti jadi punyalah hal macam ni. Alahai...


PINTU bilik muzik dibuka. Perbualan SHINE terhenti. Mana tidaknya, bunyi pintu dibuka dan ditutup seolah-olah gempa bunyi sahaja lagaknya. Masing-masing hairan apabila melihat Hikari masuk ke dalam dengan tergesa-gesa. Gadis itu berdiri bercekak pinggang.

         “ Kenapa ni? Macam kena kejar dengan Harimau Siberia je aku tengok,” usik Sho. Hikari menjengilkan matanya.

         “ Harimau Siberia tak Harimau Siberia. Yang ni mak Serigala Jepun datang nak bagi perutusan terhormat ni,” jawab Hikari. Hampir tergelak SHINE mendengarkan kata-kata Hikari namun ditahan sahaja.

         “ Kenapa? Cuba cerita baik-baik sikit,” celah Hiko. Hikari mengeluarkan sehelai kertas daripada saku jeansnya.

         “ Dengar ya apa yang aku nak beritahu. Korang semua dikehendaki belajar selepas masa latihan tamat. Jadi, masa latihan korang akan dipendekkan. Lepas rehat 15 minit, korang dikehendaki belajar, ulang kaji pelajaran. Tidak boleh tidak. Ini arahan!” jelas Hikari menuturkan satu-satu. Muka masing-masing sudah seperti tertelan sushi basi sahaja.

         “ Apa pulak ni?” Sho bingkas bangun. Hikari tersengih.

         “ Ibu bapa korang sekali dengan ibu bapa aku dah bincang hal ni. Sebab keputusan ujian lepas kebanyakannya turun daripada kebiasaan, jadi mereka dah berpakat untuk bagi korang ‘khabar gembira’ ni. Kalau korang tak setuju, pandai-pandailah korang umumkan bantahan kepada ‘pihak yang berkenaan’.”

         “ Apa?” Serentak lima suara menuturkan. Hikari mengangguk.

         “ Jadi, macam mana?” tanya Hikari dengan senyuman di bibir. Padan muka korang!

         “ Kenapa boleh jadi macam ni?” tanya Naoki pula. Hikari mengalih pandangan pada Eichii yang masih terkejut.

         “ Aku rasa korang boleh salahkan adik kesayangan aku tu sebab perkara ni ayah aku yang mula usulkan kepada ibu bapa korang sebab keputusan ujian dia yang jatuh teruk,” kata Hikari selamba. Serentak empat kepala menoleh ke arah Eichii.

         “ Err... kenapa ni?” tanya Eichii serba salah. Ada juga yang mati lepas ni, alamak...


         “ Sebab kaulah kami turut sengsara, tau tak?” kata Sho dengan sengih jahat. Mereka berempat bergerak ke arah Eichii lalu...

         Hikari hanya buat bodoh sahaja apabila melihat Eichii ‘diterkam’ oleh ahli SHINE yang lain. Suara Eichii mengaduh kesakitan dibuat tidak peduli. Alah, bukannya sakit pun.

p/s: sorry lambat :( net tengah tak ok  

하나

2 comments:

pRincEssaLiE said...

ngee...
best3...
tp tertanya2 bab adek kumi tu la...hoho

fallenmoon said...

Haha,sian Eichii
Best

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...