Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Thursday, December 8, 2011

Endless Love 33

ZACHARY menekan loceng pintu di pagar rumah Ji Hoon. Sebelah tangannya bebas menekan loceng manakala sebelah lagi memegang sebuah kotak berwarna putih yang kecil. Ji Hoon muncul dari halaman belakang menuju ke pintu pagar. Dia kelihatan lebih sihat daripada sebelumnya.

          “ Dah sibuk kat taman? Memang tak tahu diamlah kau ni,” gurau Zachary. Ji Hoon hanya tersengih. Pintu pagar kecil dibuka.

          “ Kau tak nak letak kereta dalam ni ke?” soal Ji Hoon apabila melihat Zachary terus masuk. Ford Escapenya diparkir di luar. Pantas Zachary menggeleng.

          “ Biarkan kat luar. Bukannya ada orang nak curi,” kata Zachary. Ji Hoon hanya ketawa. Bahunya ditepuk berulang kali oleh Zachary.

          “ Nah.” Kotak putih itu dihulurkan kepada Ji Hoon. Ji Hoon terus menyambut pemberian Zachary. Wajah lelaki Eropah itu dipandang.

          “ Apa ni?”

          “ Kek. Aku tak beri kau tart telur sebab aku tahu sekarang ni kau cuma makan tart telur yang Eun Hee buat saja. Jadi, aku bawalah kek sebagai buah tangan. Harap-harap kau cepat sihat,” ucap Zachary. Ji Hoon tergelak perlahan.

          “ Terima kasih.”

          Ji Hoon membawa Zachary ke halaman belakang yang menempatkan kolam renang. Pokok yang menghijau turut menghiasi laman belakang rumahnya. Kelihatan seperti hutan kecil sahaja di kawasan belakang rumah Ji Hoon dengan kehadiran pokok-pokok itu. Eun Hee tersenyum melihatkan kehadiran Zachary. Gadis itu mengangguk sekilas.

          “ Duduklah. Eun Hee, bawa ke dapur,” ujar Ji Hoon seraya melangkah mendekati isterinya. Kotak putih itu dihulurkan. Eun Hee mengangguk lantas terus ke dapur. Ditinggalkan Ji Hoon dan Zachary di kawasan kolam renang itu.

          “ Jadi, apa cerita kau lepas keluar hospital? Dalam dua hari ni, aku tak dengar apa-apa pun.” Zachary melabuhkan duduk di atas sebuah kerusi malas yang ditempatkan di situ. Ji Hoon turut mengambil tempatnya.

          “ Macam kau tengok sekarang nilah. Kepala berbalut lagi, asyik disuruh berehat, kesian aku. Eun Hee tak bagi pun aku tolong dia apa-apa. Ni dah kira nasib baik kau boleh jumpa aku kat laman ni, kalau tak nasib kaulah jumpa aku kat dalam bilik aku. Mana taknya, disuruhnya aku baring atas katil sepanjang hari. Rasa macam sakit tenat pun ada,” kata Ji Hoon dengan tawanya. Zachary turut ketawa. Kepalanya digeleng dengan sisa tawanya.

          “ Tak pandai bersyukurlah kau ni. Mujur ada orang sudi nak jaga kau, tahu tak?” tempelak Zachary. Ji Hoon hanya tersengih.

          Eun Hee muncul dengan sedulang minuman dan puf berkrim. Dulang itu diletakkan di atas meja di antara kedua-dua kerusi malas Ji Hoon dan Zachary. Eun Hee menguntum senyum sebelum kembali masuk ke dalam rumah, tidak mahu menganggu perbualan suaminya dengan Zachary. Pemergian Eun Hee diiringi dengan anak mata Ji Hoon. Pantas bahunya ditumbuk Zachary.

          “ Kau nak cederakan bahu aku pula ke?” rungut Ji Hoon sambil menggosok bahunya yang ditumbuk kuat. Zachary tersengih lantas menggelengkan kepala.

          “ Tak larinya isteri kau tu. Aku tengah cakap dengan kau ni, boleh kau tak dengar? Haish!” rungut Zachary bergurau. Ji Hoon mengerutkan muka. Lantas dia tersenyum lagi.

          “ Dah, dah. Jemput minum, aku pun dah dahaga ni,” pelawa Ji Hoon. Gelas yang berisi jus epal dicapai sebelum disisip perlahan. Zachary turut berbuat demikian.

          “ Jadi...”
 
          Ji Hoon mengangkat wajahnya merenung muka Zachary. Keningnya diangkat sebelah.

          “ Kau dah fikirkan pasal apa yang aku cakap kat hospital?” tanya Zachary. Suaranya diperlahankan. Gelas diletakkan kembali di atas meja. Ji Hoon menarik nafas. Dia duduk bersandar pada kerusi malasnya. Pandangannya dilontar ke hadapan.

          “ Aku dah fikir pasal tu,” balas Ji Hoon. Suaranya juga direndahkan. Ji Hoon tidak mahu perbualan mereka didengari Eun Hee. Dia menoleh sekilas pada Zachary di sebelah. Raut Zachary berubah. Wajah lelaki itu penuh kerutan.

          “ Apa yang kau fikir?” tanya Zachary ingin tahu. Ji Hoon mengeluh perlahan. Bahunya dijungkit.

          “ Entah,” jawabnya mudah. Bertambah kerutan di wajah Zachary mendengarkan jawapan Ji Hoon itu. Mata Ji Hoon masih lurus ke hadapan. Wajah lelaki itu berubah muram.

          “ Kenapa kau cakap macam tu?” tanya Zachary lagi.

          “ Aku... aku tak tahu nak cakap apa. Cuma... kalau betul ada orang nak bunuh aku, aku rasa aku nak...” Ji Hoon berhenti seketika. Dia menunduk pula. Kening Zachary bertaut. Hairan apabila Ji Hoon membisu pula. Zachary di sebelah tidak sabar-sabar menanti lelaki itu menyambung bicaranya. Namun, Ji Hoon kekal diam.

          “ Kau nak... apa?” tanya Zachary teragak-agak.

          Ji Hoon berpaling melihat Zachary. Dia menarik senyum nipis.

          “ Aku nak bersemuka dengan dia. Berdepan sendiri dengan dia yang nak sangat hapuskan aku. Bertemu empat dengan dia, dan kalau perlu... secara bersendirian.”

          Berubah riak di wajah Zachary. Ternyata dia terkejut dengan kenyataan Ji Hoon. Bertemu empat mata dengan orang yang ingin membunuhnya? Gila!

          “ Kau... kau jangan nak buat gila!” bentak Zachary tiba-tiba. Pantas Ji Hoon menoleh pada Zachary. Mukanya pula yang berkerut. Terkejut dengan nada Zachary yang meninggi secara tiba-tiba.

          “ Macam mana kalau dia dapat bunuh kau? Kau tak fikir pasal Eun Hee? Macam mana dengan hidup dia kalau kau terbunuh nanti? Ada kau fikir pasal tu? Jangan pentingkan diri kau, fikirkan juga pasal isteri kau!” Zachary memandang marah pada Ji Hoon. Ji Hoon bungkam.

          “ Zack... kenapa?”

          “ Kau tahu tak? Masa aku beritahu Eun Hee pasal kau kemalangan tempoh hari, dia hampir pengsan! Nasib baik Ryu Min ada tolong aku masa tu. Muka dia pucat, kalau toreh pun tak berdarah! Itu baru dengar kau ditimpa kemalangan, belum lagi dia dengar berita kau dah mati! Kau kena fikir pasal tu! Fikirkan perasaan dia!” Zachary memintas kata-kata Ji Hoon. Sekali lagi Ji Hoon bungkam. Kenapa dengan Zachary?

          “ Pedih rasanya kalau kehilangan orang yang kita cintai! Kau nak Eun Hee dihantui rasa tu kalau kau terbunuh sebab kedegilan kau bersemuka dengan dia? Kau nak?”

          Senyap. Ji Hoon dan Zachary sama-sama membisu. Zachary menarik nafas perlahan. Cuba menenangkan dirinya. Mata Ji Hoon tidak lepas daripada memandang wajah sahabatnya itu. Tajam matanya merenung wajah itu.

          “ Kau ada perkara lain nak sampaikan pada aku, kan?” kata Ji Hoon. Teratur dan berhati-hati dia menyuarakan kata-katanya. Zachary menggeleng kepala. Wajahnya ditundukkan.

          Tiba-tiba sahaja Zachary bangun daripada duduknya. Pantas lelaki Inggeris itu melangkah meninggalkan Ji Hoon di belakang. Ji Hoon tergamam. Dia bingkas berdiri membelakangi Zachary yang semakin menjauh meninggalkan dia.

          “ Pasal Julie, kan?”

          Langkah Zachary mati serta merta. Lelaki itu hanya mendiamkan diri. Dia meraup wajah. Perlahan-lahan dia mengangguk.

          Ji Hoon mengeluh.

          “ Kau masih tak dapat terima yang dia dah pergi?” tanya Ji Hoon kuat. Zachary masih berdiri membelakanginya. Lama dia merenung sahabatnya itu sebelum melihat kepala Zachary mengangguk kecil.

          “ Aku... minta maaf. Aku emosi sikit,” ucap Zachary perlahan. Dia masih menundukkan wajahnya. Ternyata dia kesal dengan apa yang dituturkannya kepada Ji Hoon tadi.

          “ Kau cuma tak nak Eun Hee rasa apa yang kau rasa masa kehilangan Julie, kan?” teka Ji Hoon. Namun dia tahu tekaannya itu benar. Zachary mengangguk sedikit. Dia mula mengangkat wajah. Pandangannya lurus ke hadapan. Ji Hoon berjalan ke hadapan mendekati Zachary.

          “ Kadang-kadang... aku tak dapat terima hakikat yang dia dah pergi. Masa awal-awal pemergian Julie, hidup aku kosong. Tak ada lagi suara ketawa dia, tak ada lagi suara dia menyeru nama aku, tak ada lagi... dia temani aku masa aku sedang buat kek... dah tak ada. Aku selalu dibayangi silam aku dengan dia. Bila kau cakap macam tu, aku rasa aku patut sedarkan kau pasal hal ni. Hak kau kalau kau nak jumpa dengan orang yang nak membunuh kau dan aku sedar aku tak layak nak halang kau, cuma satu aku minta daripada kau. Tolong jangan pentingkan diri kau, fikirkan pasal Eun Hee. Apa perasaan dia kalau kau terbunuh? Aku tak nak dia atau orang lain rasa apa yang aku dah lalui. Semuanya perit untuk dilalui,” lirih Zachary bersuara. Cukup jelas untuk menggambarkan hatinya yang amat terluka dengan pemergian Julie.

          Ji Hoon agak terkedu mendengarkan kata-kata Zachary. Memang benar apa yang dikatakan oleh Zachary, dia seharusnya memikirkan tentang Eun Hee. Bagaimana jika dia terbunuh nanti? Semangat Ji Hoon mula merundum. Dia harus memikirkan cara yang terbaik bagi menghalau musuhnya itu daripada hidupnya.

          “ Memang benar yang dia boleh musnahkan hidup kau kalau kau tak bertindak tapi tolong... jangan sesekali bersemuka dengan dia, apatah lagi secara bersendirian. Aku bimbang kalau sesuatu yang buruk terjadi pada kau.”

          Ji Hoon mengangguk sekilas. Bahu Zachary ditepuk perlahan, cuba menenangkan hati Zachary. Bunyi loceng pintu pagar ditekan menyapa pendengaran mereka berdua.


BERUBAH riak wajah Ji Hoon apabila melihat siapa yang sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumahnya. Lama dia terpaku di situ sebelum menyedari apa yang berlaku. Zachary hanya diam di tempatnya apabila melihat Ji Hoon mengatur langkah perlahan menuju ke pintu.

          “ Kenapa kau ke sini?” soal Ji Hoon keras.

          Wajah Chae Rin dipandang geram. Kebiadapan Chae Rin terhadap Eun Hee tidak lama dahulu masih tidak dapat dimaafkan olehnya lagi. Dan kini, Chae Rin sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumahnya dengan lagak tiada apa-apa yang telah berlaku?

          “ Saya dengar awak sakit jadi saya datang melawat,” balas Chae Rin tanpa menghiraukan soalan Ji Hoon yang dilontarkan keras kepadanya. Ji Hoon memalingkan wajahnya, enggan bertemu muka dengan gadis itu.

          “ Kau dah tengok keadaan aku macam mana, kan? Jadi, kau dah boleh balik,” kata Ji Hoon mendatar. Zachary hanya memerhatikan sahaja mereka berdua. Dia enggan masuk campur.

          Muka Chae Rin merah padam. Tetapi itu tidak menghalang dia daripada terus beredar dari situ. Dia sudah nekad untuk berdepan dengan semua kemungkinan. Wajah Ji Hoon direnung lagi.

          “ Awak masih nak menjauhkan diri daripada saya?” tanya Chae Rin. Ji Hoon ketawa sinis.

          “ Aku dah ada isteri. Aku boleh terima kalau kau nak berkawan dengan aku, tapi kalau kau mahukan hubungan lebih daripada seorang kawan... maaf. Aku terpaksa tolak.” Perlahan Ji Hoon memberi penjelasan. Harapannya hanyalah agar Chae Rin dapat menerima kenyataan bahawa hatinya sudah tiada buat gadis itu. Hatinya hanya milik Eun Hee buat selama-lamanya.

          Chae Rin bungkam. Ternyata Ji Hoon masih tetap dengan keputusannya. Dia mengetap bibir. Tidak! Dia tidak boleh mengalah! Dia sudah memberanikan diri untuk berhadapan sendiri dengan Ji Hoon dan dia tidak seharusnya mengalah dengan begitu mudah!

          “ Memang saya tiada dalam hati awak lagi?” soal Chae Rin. Nadanya sengaja ditinggikan. Air matanya mula bergenang. Dia cuba menahan sebak yang mula mencengkam dada.

          Ji Hoon menggeleng perlahan, kelihatan sudah tekad dengan keputusannya. Dia sudah menzahirkan kata-katanya di hadapan Chae Rin dan dia berharap agar gadis itu mengerti. Ini pilihannya dan dia tidak akan berganjak memilih yang lain. Ji Hoon masih tidak mengalih pandang pada wajah gadis itu. Tangan disauk ke dalam saku khaki longar labuh berwarna putihnya.

          “ Saya cintakan awak! Kenapa kita tak mulakan semula?” bentak Chae Rin. Soal malu ditolak ke tepi. Kenyataan bahawa Ji Hoon merupakan suami orang juga ditolak jauh. Apa yang dia mahukan kini hanyalah Ji Hoon menjadi miliknya semula. Rasional dalam memikirkan sesuatu perkara tidak diendahkan.

          “ Aku dah cakap aku tak boleh terima kau semula. Aku sudah ada isteri dan hati aku milik dia. Aku sudah tiada hati pada kau. Kau pergilah, cari lelaki yang lebih baik lagi daripada aku. Aku bukan jodoh kau,” ucap Ji Hoon tegas. Kali ini dia memberanikan dirinya bertentangan mata dengan gadis yang mahukan hatinya itu. Tajam matanya melawan tenungan Chae Rin.

          “ Saya tak boleh terima! Awak milik saya!” Chae Rin membentak lagi. Kepalanya digeleng laju. Merah padam mukanya menahan marah.

           Ji Hoon menggeleng. Kali ini dia kelihatan lebih tenang.

          “ Aku hanya milik kau buat suatu masa dahulu. Lagipun, dari dulu sampai sekarang aku hanya anggap kau tak ubah seperti adik aku. Macam mana aku nak bercinta dengan adik sendiri? Aku terima kau dulu pun sebab aku tak sampai hati nak tolak permintaan kau, adik yang paling aku sayang. Lepas kita bersama, aku cuba menyayangi kau tapi aku gagal. Aku tetap anggap kau seperti adik aku sendiri. Aku cuba lagi. Aku cuba lagi untuk mencintai kau dan aku hampir berjaya. Tapi, kau musnahkan semuanya hanya kerana kehadiran orang ketiga. Perasaan aku memang tak berubah. Kau hanya adik aku, tak lebih tak kurang.”

          Berhati-hati Ji Hoon menutur kata, tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia buruk. Chae Rin yang masih berdiri di hadapannya kelihatan tergamam dengan kata-katanya. Dia dapat melihat titisan mutiara di pipi gadis itu tetapi dia tidak peduli. Dia harus mempertahankan kebahagiaannya sendiri. Dan dia hanya berharap gadis itu akan dapat mencari kebahagiaannya yang sejati. Yang jelas, bukan bersama dengannya.

          “ Tapi... sa... saya...” Kata-kata Chae Rin mati di situ. Dia mulai kehilangan kata-kata. Terasa harapannya musnah. Harapan yang dibina sendiri olehnya.

          Ji Hoon menghela nafas perlahan. Matanya dikatup rapat sebelum dibuka semula. Matanya kembali pada wajah sayu Chae Rin.

          “ Buka mata kau dan lihat siapa yang paling menyayangi kau. Cintai dia seperti mana dia mencintai kau. Dia dah lama tunggu kau, tapi kau hanyut dengan perasaan kau untuk dapatkan aku kembali. Jangan biarkan dia menanti lagi, aku tak nak kau menyesal apabila kau menyedari dia hilang daripada hidup kau nanti.”

          Ji Hoon berpusing, mengatur langkah meninggalkan gadis itu di belakang. Tanpa menghiraukan Zachary yang sedang merenungnya, Ji Hoon terus berjalan menuju ke halaman belakang. Dia berhenti melangkah apabila menyedari seseorang sedang memerhatikannya dengan mata yang kuyu. Ji Hoon mengukir senyum. Dia kembali melangkah.

          “ Abang milik Eun Hee walau apapun yang berlaku. Ingat apa yang abang beritahu Eun Hee hari ini.”

          Tanpa menunggu reaksi isterinya, Ji Hoon terus merangkul tubuh itu ke dalam pelukannya. Dia lega. Dia merasakan beban yang tergalas sudah hilang daripada sandarannya. Semuanya sudah diluahkan kepada Chae Rin. Ji Hoon berharap agar Chae Rin menyedari siapa lelaki yang dimaksudkannya tadi. Dia yakin, Chae Rin akan bahagia dengan Hyun Min. Itulah firasat hatinya.

          Dan... dari jauh ada sepasang mata yang menyaksikan Chae Rin yang sudah menangis tersedu-sedu di hadapan pagar rumah Ji Hoon. Hyun Min hanya menyaksikan sahaja gadis itu dari jauh. Langsung tidak berniat untuk pergi mendapatkan Chae Rin, apatah lagi memujuknya. Matanya merenung kosong pada gadis itu.

2 comments:

~zequest~ said...

hyun min cm gya daa give up je...
i likeee~~, biar chae rin sdar lak lpas ni..

danish oh a.k.a fika said...

best sngat.demam korea melanda...hihihi.kite same la minat tvxq..lee jun ki i lov u...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...