Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Monday, February 6, 2012

Eternal 17

GAUN putih yang sudah tersarung di tubuhnya direnung kosong. Sakura tidak pasti apakah perasaannya kini. Gembira, sedih atau marah? Dia mengetap bibir. Dia melihat pula pada cermin besar di hadapannya kini. Di hadapannya kelihatan seorang gadis yang sudah dirias cantik dengan sehelai gaun pengantin yang indah di mata sudah tersarung di tubuh langsing gadis itu. Sakura senyum sendiri namun hambar. Perlahan-lahan air matanya menitis.

          “ Sakura?”

          Panggilan Mak Cik Megumi dari belakang menyedarkan dia. Wajah wanita itu dipandang sayu. Langkah Mak Cik Megumi pantas mendekati gadis yang sudah selamat bergelar isteri Kamenashi Ryuu itu. Belakang Sakura digosok perlahan.

          “ Kenapa ni?” tanya Mak Cik Megumi perlahan. Sedih terasa apabila melihat gadis semuda Sakura kelihatan keliru dengan pilihannya sendiri. Sakura menggelengkan kepala. Tubuh Mak Cik Megumi dipeluk. Wanita itu kembali menggosok belakang Sakura. Sesekali rambut Sakura diusap di balik veil itu. 

          “ Kenapa ni? Jangan sedih macam ni. Lepas ni majlis keraian akan bermula,” kata Mak Cik Megumi dengan soalan yang masih belum dijawab oleh Sakura. Matanya melihat pada pintu bilik yang agak terbuka. Bimbang jika ada orang yang mendengar perbualan mereka. Sakura mengeluh berat. Pelukannya pada wanita itu dilepaskan. Wajah Mak Cik Megumi ditenung.

          “ Saya tak tahu. Saya sangka semuanya akan berjalan dengan lancar tapi… lepas balik dari kuil, lepas semuanya, saya… saya keliru,” luah Sakura. Air matanya semakin galak mengalir. Menanggalkan mekap yang sudah dipakaikan di wajahnya. Mak Cik Megumi mengeluh.

          “ Sayang, kalau kamu nak menyesal dah terlambat. Kamu dah sah sebagai isteri Tuan Ryuu. Jangan risau, semuanya baik, okay?” pujuk Mak Cik Megumi. Sendu Sakura semakin menjadi-jadi. Dia menggelengkan kepala perlahan.

          “ Mak cik… boleh ke saya bahagia lepas ni? Sebagai isteri Ryuu?” tanya Sakura tenggelam timbul. Mak Cik Megumi terpana. Dia diam sejenak. Soalan itu sukar untuk dijawab. Jawapannya hanya ada pada Ryuu. Lambat-lambat Mak Cik Megumi mengangguk.

          “ Ya… kamu akan bahagia. Mak cik percaya kamu akan bahagia juga,” balas Mak Cik Megumi. Suaranya semakin perlahan. Dia sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakan tadi. Sekadar untuk memujuk Sakura yang semakin tenggelam dalam kesedihannya.

          Teriakan Sakura semakin meledak. Pantas dia merangkul balik tubuh wanita itu. Dia teresak-esak dalam pelukan Mak Cik Megumi. Dan, Ryuu yang berdiri di luar bilik itu menyandarkan diri pada dinding. Matanya dipejamkan buat seketika. Keluhan terhembus daripada bibirnya. Ryuu menggeleng perlahan. Terasa kata-kata Sakura menyentap tangkai hatinya.


“ KI.. KITA nak ke mana?” tanya Sakura teragak-agak apabila melihat laluan yang diambil Ryuu bukannya menuju ke kondominium mereka. Wajah suami yang baru dikahwininya itu tidak berani ditenung. Ryuu menoleh ke arah Sakura yang kelihatan takut-takut.

          “ Aku cakap pada Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi yang kita akan ke vila percutian aku kat kawasan pergunungan untuk sementara waktu. Kau anggap jelah ni percutian untuk kita berehat lepas apa yang dah berlaku,” balas Ryuu. Sakura mengangguk perlahan. Dia melihat ke luar.

           Skyline Ryuu melintas jalan raya yang hanya terdapat pokok-pokok sakura di bahu jalan. Dari kejauhan kelihatan gunung ganang. Sesekali kelihatan burung-burung terbang bertentangan dengan arah mereka sedang tuju. Tenang suasana yang sedang dilihatnya kini. Sakura senyum sendiri.

          Ryuu di sebelah hanya mengerling pada gadis itu tanpa sepatah kata. Mindanya kembali mengingati apa yang didengarinya secara tidak sengaja tadi. Perbualan di antara Sakura dengan Mak Cik Megumi.


          “ Saya tak tahu. Saya sangka semuanya akan berjalan dengan lancar tapi… lepas balik dari kuil, lepas semuanya, saya… saya keliru.”

          “ Mak cik… boleh ke saya bahagia lepas ni? Sebagai isteri Ryuu?”


          Ryuu menggelengkan kepalanya perlahan. Pada mulanya, dia ingin menemui Sakura sebelum majlis bermula namun niatnya terbantut selepas mendengar apa yang dikatakan oleh Sakura kepada Mak Cik Megumi tadi. Dia tidak menyangka bahawa gadis itu akan meluahkan kata-kata yang sedemikian kepada Mak Cik Megumi. Ryuu resah sendirian.

          Kereta membelok ke sebuah selekoh sebelum berhenti di hadapan sebuah vila dua tingkat. Mereka berdua keluar daripada perut kereta. Mata Sakura meliar ke sekeliling. Vila itu dibina daripada kayu malah rekaannya cantik walaupun hanyalah sebuah vila dua tingkat yang biasa. Hanya rumput yang berada di sekitar kawasan itu. Tidak jauh dari vila itu, kelihatan sebuah tasik yang agak besar. Dari kejauhan, Sakura dapat lihat Gunung Fuji yang dilitupi oleh awan. Memang cantik.

          “ Kita masuk dalam. Lepas tu aku bawa kau jalan-jalan,” tutur Ryuu. Sakura hanya mengangguk. Dia mengekori langkah Ryuu dari belakang. Lelaki itu menarik sebuah bagasi kecil masuk ke dalam.

          Seperti suasana di luar, begitu juga dengan dalam vila itu. Perabot tersusun kemas malahan setiap ruang vila itu kelihatan lapang. Mereka menuju ke tingkat atas. Ada dua buah bilik yang kedudukannya saling bertentangan. Ryuu membuka salah sebuah pintu bilik itu. Sakura hanya mengagak mungkin itu biliknya dan bilik Ryuu merupakan yang satu lagi.

          “ Kita kemaskan barang-barang ni dulu. Aku nak turun ke bawah sekejap. Dalam beg ni ada pakaian kau dan pakaian aku. Aku dah kemaskan untuk kau. Bilik aku kat depan. Kalau kau perlukan apa-apa, cari aku kat bawah,” pesan Ryuu. Bagasi diletakkan di sisi katil. Sakura mengangguk sahaja. Ryuu segera keluar dari bilik itu menuju ke tingkat bawah.

          Zip bagasi itu dibuka. Pakaiannya mula diasingkan daripada pakaian Ryuu. Selesai sahaja menyusun pakaian-pakaian itu, Sakura beralih ke pintu selunsur yang terdapat di dalam bilik itu. Langsir ditarik ke tepi. Pintu itu dibuka. Sakura mengatur langkah ke beranda. Pandangannya dilemparkan ke luar. Kening Sakura terangkat. Perhatiannya tertumpu pada Ryuu yang sedang bersandar di sebatang pokok sakura di bawah. Kelopak mata lelaki itu terpejam rapat.

          Gadis itu mengeluh perlahan. Kadang kala, dia merasakan bahawa lelaki itu mudah sahaja untuk difahami namun ada masanya dia merasakan lelaki itu terlalu sukar untuk difahami. Sakura tidak pasti bagaimana hidupnya selepas ini, selepas bergelar isteri kepada lelaki itu. Sebelum ini pun, sudah banyak kejutan yang dia alami bahana terjebak dalam alam yakuza.

          Sakura menuruni tangga menuju ke luar. Ryuu masih lagi berada di bawah pokok itu, bersandar pada pokok sekaligus membelakanginya. Terasa angin yang bertiup menyapa lembut tubuhnya.

          “ Dah siap kemas barang?”

          Pertanyaan itu mengejutkan Sakura. Dia melihat pada Ryuu yang kini menoleh ke arahnya. Teragak-agak dia mengangguk. Ryuu menggamit gadis itu agar mendekati dirinya. Perlahan sahaja langkah Sakura. Dia hanya berdiri sahaja manakala Ryuu masih lagi bersandar pada pokok itu. Masing-masing mengunci bicara.

          Air tasik yang kelihatan berkocak sedikit direnung lama. Sakura mengetap bibir. Sesekali dia mengerling pada Ryuu di sisi melalui ekor matanya. Lelaki itu turut merenung ke tasik. Sakura melepaskan keluhan halus. Dia memejamkan mata. Menghirup udara segar sekitar kawasan itu.

           Eh?

          Matanya dibuka semula. Kepalanya terangkat melihat Ryuu yang kini sedang memegang belakang kepalanya. Sakura mula tidak keruan. Mata Ryuu seperti kebiasaannya merenung tajam padanya.

          “ Ryuu… kenapa?” tanyanya gugup.

          Lama Ryuu memerhatikan wajah itu. Tanpa berkata apa-apa, dia menarik Sakura ke dalam pelukannya. Sakura tergamam dengan tindakan lelaki itu. Inilah kali pertama lelaki itu memeluknya selepas kejadian di dalam gudang lama itu. Jantung Sakura berdegup kencang. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah merenung Ryuu. Gerun tatkala melihat muka Ryuu yang sedang melihat tepat ke matanya. Seakan-akan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh lelaki itu.

          “ Ryuu?” tanyanya perlahan.

          Pelukannya dilepaskan. Kejap tangan Ryuu pada kedua-dua bahu Sakura. Sakura semakin hairan dengan perilaku lelaki itu. Mata Ryuu masih tidak lepas daripada wajah Sakura yang kelihatan tidak keruan. Bibir gadis itu bergetar.

          “ Ryuu… kenapa?” Sakura sudah rasa mahu menangis. Apa yang dibualkan bersama-sama Mak Cik Megumi tadi kembali berlayar di ruang ingatannya. Dia bimbang jika Ryuu mendengar perbualan mereka. Dia takut dengan penerimaan Ryuu.

          “ Kau menyesal dengan apa yang dah jadi?”

          Sakura terkesima. Wajah Ryuu turut dipandang.

          “ A… apa maksud awak?” tanyanya teragak-agak.

          Ryuu terdiam seketika. Dia menjarakkan sedikit dirinya daripada gadis itu. Wajah Sakura masih tidak lepas daripada renungannya. Jelas di matanya gadis itu sebenarnya tidak selesa tidak dengan keadaan mereka.

          “ Kau menyesal kahwin dengan aku?” tanya Ryuu tanpa berselindung.

          Sakura terkesima. Dia mula panik memikirkan kemungkinan Ryuu mendengar perbualan dia dengan Mak Cik Megumi tadi. Matanya dilarikan daripada melihat Ryuu.

          “ Kenapa awak tanya macam tu?” tanya Sakura teragak-agak, langsung tidak berani melihat wajah lelaki itu. Berharap bahawa lelaki itu tidak mendengar perbualannya dengan Mak Cik Megumi. Bukan sahaja Sakura takut jika Ryuu mengamuk namun entah mengapa, dia risau hati lelaki itu akan terguris.

          “ Aku yakuza, kau gadis biasa. Kita dari dunia yang berbeza,” balas Ryuu pantas. Sakura mengangguk perlahan. Kenyataan itu memang tidak dapat disangkal.

          “ Saya… saya seorang diri kat dunia ni. Tak pernah kenal ibu bapa saya. Saya patut bersyukur sebab awak sudi jaga saya dengan baik walaupun awak…” Kata-kata Sakura mati di situ. Tidak berani untuk meneruskan kata-katanya. Keluhan Ryuu kedengaran.

          “ Walau aku kejam, kan?”

          Kepala Sakura terangkat merenung Ryuu. Dia mengetap bibir. Tidak menyangka Ryuu salah faham akan apa yang ingin dia sampaikan. Apa yang dia ingin katakan bukannya itu. Bukan! Mereka berdua sama-sama tidak pernah saling mengenal sebelum ini namun lelaki itu sudi menjaganya. Dia benar-benar berterima kasih kepada Ryuu.

        “ Aku dah janji yang aku akan jaga kau dan aku tak suka mungkiri janji aku. Aku akan lindungi kau kalau kau ada masalah, dan kita akan kekal macam ni sebab aku tak akan pernah lepaskan kau. Kau faham?” kata Ryuu tegas. Sakura hanya mampu mengangguk. Dia hanya mampu berharap yang Ryuu akan mengotakan kata-katanya.

          Mereka kembali menyepi. Sakura hanya mampu merenung air tasik yang berkocak daripada merenung wajah lelaki itu. Ryuu juga hanya membisu tanpa sebarang bicara. Lama mereka berada dalam keadaan sedemikian sehingga tiba-tiba Sakura merasakan tangannya ditarik Ryuu.

          “ Ryuu?” serunya apabila mula menyedari Ryuu menariknya berjalan ke hadapan. Ryuu menoleh ke belakang.

          “ Kita nak ke mana?” tanya Sakura ragu-ragu.

          “ Aku nak bawa kau ke suatu tempat.”

          Dan… Ryuu terus menarik tangan gadis itu tanpa menghiraukan Sakura yang sudah kehairanan dengan tingkahnya.


SAKURA terpegun seketika. Suasana di sekitar memang cantik. Kini dia dan Ryuu sedang berdiri di atas sebuah kawasan berbukit yang menghadap tasik di sekitar vila itu. Jelas kelihatan keindahan tasik itu dari atas bukit itu. Sakura menoleh ke arah Ryuu di sisinya.

          “ Kenapa awak bawa saya ke sini?” soalnya hairan. Mata Sakura jatuh pada kilauan pada permukaan tasik itu. Memang membuatkan dia terpukau dengan keindahan tasik itu.

          Ryuu menghela nafas. Dia turun sedikit ke kawasan yang curam di bawah. Sakura hanya memerhatikan sahaja perbuatan lelaki itu. Lama Ryuu merenung permukaan tasik yang tenang itu. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket.
          “ Kawasan ni ada kenangan antara aku dengan mendiang ibu aku. Kat sinilah kami selalu berkelah sebelum dia meninggal dunia,” jelas Ryuu. Nadanya amat perlahan, hampir sahaja tidak didengari Sakura. Sakura agak tergamam dengan pernyataan itu. Dia merenung Ryuu yang masih membelakanginya.

          “ Mak awak…”

          Ryuu menoleh ke belakang. Kata-kata Sakura mati di situ juga. Nampaknya ada sesuatu yang menganggu Ryuu. Sakura turut berjalan mendekati Ryuu. Ryuu melontarkan pandangan ke hadapan.

          “ Mak aku meninggal masa aku tujuh tahun. Aku takkan dapat lupakan hari tu, sejak hari tu aku merasakan aku dah sebatang kara di dunia ni. Tanpa ada siapa-siapa lagi dalam hidup aku,” kata Ryuu. Suaranya makin merendah. Sakura tunduk ke tasik itu.

          “ Ayah awak?”

          Mendengarkan pertanyaan Sakura, Ryuu tergelak sinis. Dahi Sakura berkerut.

          “ Dia bukan ayah aku. Dan, aku tak mahu kau cakap apa-apa lagi pasal dia,” kata Ryuu keras. Dia merenung ke mata Sakura. Sakura termangu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Risau jika Ryuu akan naik marah kelak.

          Ryuu kembali melihat ke permukaan tasik. Wajahnya berubah tegang. Dia paling tidak suka jika berbicara soal bapanya. Baginya, lebih baik dia hidup sebagai gelandangan daripada pernah hidup dengan lelaki itu. Ryuu tersentak apabila merasakan hujung sikunya disentuh seseorang. Dia menoleh ke belakang.

          “ Maaf…” ucap Sakura perlahan. Redup renungannya pada wajah Ryuu. Ryuu menggeleng perlahan. Dia meraup wajah. Sekali lagi dia merenung wajah polos itu.

          “ Jangan risau, aku yang terlebih emosi tadi,” kata Ryuu perlahan. Dia cuba mengukir senyuman. Kepala Sakura digosok perlahan. Sakura juga tersenyum namun hambar sahaja.

          Ryuu menghela nafas. Hidup barunya sudah bermula. Dia bukan lagi hidup seorang diri seperti dahulu. Sudah ada orang yang sudi hadir dalam hidupnya. Walau tidak berlandaskan cinta, tetapi dia amat berharap Sakura tidak akan pergi daripadanya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa. Adakah kerana dia tidak mahu keseorangan lagi? Ryuu mengeluh berat. Kepalanya digeleng perlahan.

7 comments:

Hananorisa said...

kesian kat sakura..tak pelah..bersabarlah ya..ada hikmahnya tu..lama2x lmbutlah tu hati ryuu...

Anonymous said...

pendek nyerrr kasi lah panjang ckit x puas baca neh...

OkiE a.k.a WitcH said...

sweet diorang ni...
ahh...sakura, ryuu is the right one for u :)

Haruno Hana 하나 said...

suka ngan watak Sakura ngan Ryuu even nampak klise ;).. thanks Hana

Haruno Hana 하나 said...

sorry sangat2.. sebab sekarang Hana sibuk dengan new project lepas NajNini jadi tak ada masa sangat untuk e-novel.. idea pun cam tak nak mai aje.. insya-Allah Hana akan usahakan jika ada idea... sorry again :)

Haruno Hana 하나 said...

yeah! that's right okie! tak payah susah2 nak cri orang lain, kan? hehe~

Iqlima Humaira said...

assalamualaikum...mohon sambung balik cerita ni...best sangat!!! (^_^)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...