Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 41




BERHATI-HATI Ji Hoo mengeluarkan sebuah balang kaca daripada sudut hujung dalam almari pakaiannya. Wajahnya redup merenung pada kandungan balang kaca itu. Senyumannya terukir sedih. Dia bangun lalu duduk di birai katil. Balang kaca itu dibawa ke riba.

          Berpuluh-puluh malah beratus-ratus keping nota kecil yang terdiri daripada pelbagai warna hampir memenuhi balang besar itu. Ji Hoon membuka penutup balang kaca itu. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam balang tersebut. Beberapa keping kertas dikeluarkan.

          Ji Hoon tersenyum pahit. Dia masih ingat pada saat pertama kali Eun Hee datang ke rumahnya dengan membawa tart telur buatan tangannya selepas kejadian dia menyelamatkan Ryu Min di kawasan pantai beberapa bulan yang lalu. Tangannya yang pernah merasai usapan Eun Hee semasa gadis itu merawat tangannya yang melecur dahulu direnung sayu.

          Pada hari itu, hari yang dirasakan amat bermakna dalam dirinya kerana hari itulah saat dia mula berkenalan dengan baik dengan Eun Hee. Mereka berbual-bual melalui coretan Eun Hee pada kepingan-kepingan nota kecil yang terdiri dalam pelbagai warna. Pada hari itu jugalah dia mula menyimpan setiap keping kertas yang pernah Eun Hee tintakan padanya dan isterinya tidak pernah mengetahui perbuatannya itu.

          Setiap keping kertas itu dianggap amat berharga buat Ji Hoon. Kesemuanya dimasukkan ke dalam balang itu dan disimpan rapi. Ji Hoon tersenyum hambar. Tangannya mengambil dua keping kertas yang berwarna kuning, antara kertas terakhir yang Eun Hee coretkan untuknya sewaktu mereka bersarapan bersama-sama sebelum dia menghilangkan diri ke kafe Zachary, pada hari Chae Rin datang membuat onar.  

          Tinta hitam dan biru yang terlakar pada setiap keping kertas itu dibaca berulang kali. Sesekali Ji Hoon akan mengucup kepingan-kepingan kertas itu. Dia menggeleng perlahan. Matanya menerawang ke luar tingkap, tepat pada langit malam yang tidak kelihatan bintang-bintang bersinaran, kelam seperti mana hatinya saat ini. Wajah isterinya tergambar pada dada bulan yang bersinar terang dilitupi awan.


 BANTAL ditekup pada mukanya. Sesekali Hyun Min mengusutkan rambutnya. Matanya merenung ke luar tingkap chalet yang terbuka. Walau matanya melekat pada langit yang membiru namun fikirannya menerawang ke tempat lain. Jam di meja sudah menunjukkan pukul 2 petang namun Hyun Min masih belum teringin untuk menjamah apa-apa. Dia terperuk sahaja di dalam chalet yang dikhaskan untuknya. Pejabatnya juga tidak dijenguk.

          Peristiwa di kediaman Chae Rin semalam terus berlegar dalam benaknya, seperti sebuah tayangan filem yang sentiasa diulang tayang. Laju sahaja kata-katanya meluncur keluar daripada mulutnya sekaligus mendedahkan rahsia bahawa dia masih mencintai gadis itu.

          Hyun Min tidak sanggup melihat wajah Chae Rin selepas rahsia hatinya terbongkar. Dia tidak sanggup menerima penolakan gadis itu walau dia sendiri tahu bahawa Chae Rin tega memburu cinta Ji Hoon walau lelaki itu sudah beristeri.

          Saat dikhabarkan oleh Zachary, sahabat Ji Hoon yang berbangsa Eropah itu mengenai badai yang melanda hubungan Ji Hoon dan Eun Hee, dia terperanjat besar. Dia hairan kerana mereka berdua saling menyayangi, bagaimana boleh melancarkan perang dingin pula?

          Pertanyaannya terjawab apabila Zachary memberitahunya bahawa Chae Rin yang bertanggungjawab dalam hal ini. Cerita sebenar di sebalik pergaduhan antara Ji Hoon dan Eun Hee dihurai satu persatu. Berkenaan dengan surat yang diterima oleh Ji Hoon sehinggalah gambar-gambar yang dihantar sendiri oleh Chae Rin.

          Dia tidak menyangka bahawa Chae Rin akan bertindak senekad itu. Sanggup menggadaikan maruahnya hanya kerana seorang lelaki. Namun, dia masih tidak dapat membuang gadis itu daripada hatinya.

          Hyun Min mendengus. Dia mengiring ke kiri. Bingkai gambar di mana sekeping gambarnya dan Chae Rin yang diambil bersama sewaktu mereka bercuti di Paris dibawa rapat ke dada. Matanya dikatup rapat. Cuba lari daripada realiti hidupnya. Perbualannya dengan Zachary semalam kembali mengetuk benaknya.


PANDANGANNYA melekat pada wajah lelaki berkulit putih itu. Hyun Min mengenalinya sebagai salah seorang daripada sahabat Ji Hoon sahaja. Lelaki Eropah ini juga turut kelihatan semasa Chae Rin menemui Ji Hoon sewaktu lelaki itu baru sahaja keluar dari hospital.

           “ Jadi...” Hyun Min menarik nafas seakan tidak percaya akan kata-kata yang baru terluah oleh Zachary. Pandangannya dilemparkan pada tasik di hadapannya. “... kau kata Chae Rin puncanya?”

          Zachary terdiam seketika sebelum mengangguk perlahan.

          “ Chae Rin yang perangkap Ji Hoon ke hotel tu. Aku dah larang Ji Hoon pergi sebab aku bimbang kalau perkara buruk menimpa dia tapi dia degil. Dia tetap nak pergi. Apa yang Ji Hoon beritahu, sebaik sahaja dia masuk dalam bilik tu, dia langsung tak sedarkan diri. Sedar-sedar, hari dah awal pagi. Aku syak, dia terkena ubat penenang,” ucap Zachary menceritakan semuanya. Hyun Min yang duduk di sebelahnya hanya khusyuk mendengar. Dia langsung tiada hati untuk menyampuk.

          “ Dan... pagi semalam, dia datang jumpa aku. Dia cerita pasal Eun Hee yang nak tahu masalah dia tapi, Ji Hoon berat hati nak beritahu. Dia tak nak susahkan Eun Hee dengan masalah dia. Kami bercakap macam biasa. Kemudian, tiba-tiba aku dapat berita pasal ni. Pagi tadi, dia ke kafe aku dan beritahu yang... Eun Hee dah keluar rumah.”

          “ Tapi, apa yang Chae Rin buat lepas tu? Maksud aku... macam mana Ji Hoon tahu yang dalang perbuatan ni Chae Rin?” tanya Hyun Min. Sebenarnya dia kaget dengan pernyataan itu. Dia tidak mahu menerima hakikat bahawa apa yang diceritakan oleh Zachary benar. Dia yang akhirnya akan patah hati.

          Zachary merenung pada Hyun Min. Dia mengeluh berat. Kepalanya digeleng sedikit. “ Dia ambil gambar dia dengan Ji Hoon tidur atas katil di mana Ji Hoon hanya berseluar sahaja dan Chae Rin... hanya berbaju tidur.”

          Bagaikan gelap seketika dunia Hyun Min mendengarkan kisah yang selanjutnya. Bungkam dia memandang Zachary yang masih kelihatan tenang di sebelahnya.

          “ Mana... mana boleh... Chae Rin...”

          “ Peristiwa tu terjadi malam kelmarin tapi Chae Rin dah pergi ke rumah Ji Hoon untuk sampaikan sendiri gambar-gambar tu tengah hari semalam. Nampaknya, dia memang dah lama rancang semua ni dan tak sabar-sabar nak serahkan gambar-gambar tu pada Eun Hee,” sambung Zachary. Dia seakan-akan tidak menyedari perubahan di wajah Hyun Min yang mula merah padam.

          Zachary duduk menyandar pada bangku taman. Matanya singgah pada sepasang angsa putih yang sedang berenang pada permukaan tasik. Dia tersenyum hambar.

          “ Ji Hoon tak benarkan aku beritahu sesiapa tapi aku rasa kau patut tahu. Lagipun... dia pernah beritahu aku yang dia...”

          Zachary terhenti seketika. Dia ketawa perlahan.

          “ Dia apa?” gesa Hyun Min tidak sabar. Hairan kerana Zachary menghentikan bicaranya.

          “ Dia betul-betul harap kau akan bahagia dengan Chae Rin, kau tahu? Dia harap sangat yang Chae Rin akan buka mata dia dan terima kau, seseorang yang sudah mencintainya. Tapi, dia juga pernah berharap yang kau akan lupakan Chae Rin dan terima gadis lain, mungkin yang lebih baik daripada Chae Rin. Dia tak nak kau terseksa lagi sebab Chae Rin seakan-akan tak akan terima kau,” kata Zachary perlahan. Sesekali dia akan ketawa perlahan.

          Terkedu Hyun Min mendengar cerita Zachary. Dia tahu bahawa Ji Hoon baik, tetapi dia langsung tidak menyangka bahawa hati lelaki itu lebih mulia daripada yang difikirkannya.

          “ Jadi... macam mana dengan Ji Hoon sekarang?” tanya Hyun Min lesu. Dia turut bersandar pada bangku taman.

          “ Dia...” Zachary terhenti. Dia menggelengkan kepalanya lantas keluhannya dihembus berat. Wajahnya berkerut kerisauan.

          “ ... aku tak tahu nak cakap macam mana. Dia nampak macam... bukan dirinya sendiri... seolah-olah hilang dalam dunianya. Nampaknya, ketiadaan Eun Hee benar-benar buat diri dia berubah...”

          Hyun Min hanya mampu mengangguk lemah. Dia turut dapat merasakan bagaimana perasaan Ji Hoon kerana ketiadaan Eun Hee di sisi, sama seperti sakit hatinya apabila mendapat tahu apakah yang dilakukan oleh Chae Rin bagi memisahkan kedua-dua pasangan ini. Mungkin sakitnya tidak seteruk apa yang dialami Ji Hoon, namun lukanya tetap ada.

          “ Aku harap...”

          Hyun Min kembali memandang wajah Zachary. Zachary mengangguk sedikit apabila melihat sepasang mata yang sudah menunjukkan kedukaan.

          “ Aku harap kau dapat selesaikan hal ni. Kau tahu apa maksud aku...”

          Sejurus itu Zachary bangun daripada duduknya. Dia mengangguk sekali lagi sebelum menepuk bahu Hyun Min.

         “ Aku pergi dulu.”

          Zachary menguntum senyum sebelum berjalan pergi. Hyun Min pula masih melayan duka yang dirasainya kini. Serta merta dia bangun. Wajahnya kelihatan seakan-akan sudah nekad dengan sesuatu. Dia turut berjalan pergi melangkah ke keretanya. Dia harus melakukan sesuatu. Semuanya untuk kebaikan semua orang. Harus!


HYUN MIN tersentak daripada lamunannya. Dia menoleh pada pintu chalet yang diketuk seseorang. Dengan malas dia bangun daripada katil lalu ke pintu. Pintu segera dibuka tanpa melihat siapa dahulu yang menganggu lamunannya secara tiba-tiba.

          Da Wei tercongok di hadapan chalet Hyun Min. Hyun Min hanya mengangguk lalu membuka pintu membenarkan Da Wei masuk. Namun Da Wei hanya menggeleng sahaja.

          “ Tak apa. Saya datang ni cuma nak jenguk awak saja. Kenapa tak masuk pejabat hari ni? Sakit?” tanya Da Wei apabila melihat wajah pucat lesu Hyun Min. Hyun Min tersenyum hambar.

          “ Kenapa tak beritahu?” tanya Da Wei lagi.

          “ Tak larat,” pendek sahaja jawapan yang Hyun Min berikan. Da Wei mengangguk. Dia mejenguk sedikit ke dalam chalet Hyun Min. Dengan suasana yang bersepah, Da Wei yakin Hyun Min bukan mengalami sakit seperti mana yang diberitahu tadi sebaliknya lelaki itu kelihatan lebih kepada sakit hati.

          Keadaan bilik yang bersepah-sepah dengan barangan yang seolah-olah dilempar dengan sengaja menguatkan andaian Hyun Min. Namun dia hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu masuk campur dalam urusan peribadi lelaki itu.

          “ Awak perlukan apa-apa? Saya boleh dapatkan makanan kalau awak lapar. Chef kita boleh masak sesuatu untuk awak,” pelawa Da Wei tapi dengan pantas Hyun Min menggeleng. Dalam keadaannya yang seperti ini dia langsung tiada selera untuk makan.

          Hyun Min tersenyum hambar. Dia merenung pada Da Wei. “ Tak perlu. Terima kasih atas pelawaan tu.”

          “ Kalau macam tu... tak apalah. Tapi kalau awak perlukan apa-apa, telefon Cik Im. Dia akan sediakan apa yang awak perlukan,” kata Da Wei. Hyun Min mengangguk lagi.

          Da Wei berpaling untuk meninggalkan chalet itu. Berhati-hati dia menuruni anak tangga chalet Hyun Min. Sebaik sahaja kakinya mencecah laluan berbatu yang disusun rapi, terasa bahunya disentuh dari belakang. Da Wei menoleh. Hyun Min sedang berdiri satu anak tangga di atasnya. Da Wei mengangkat kening. Dia mengerutkan dahi apabila menyedari mata Hyun Min mula merah.

          “ Ji Hoon... macam mana dengan dia?”

          Da Wei terdiam. Tidak memahami pertanyaan Hyun Min. Mata Hyun Min masih melekat pada wajah lelaki itu.


PERLAHAN-LAHAN Ji Hoon menapak masuk ke dapur. Langkahnya terhenti selepas melepasi pintu dapur. Sayu matanya merenung ke segenap ruang di dapur itu. Dia merasai kekosongan yang begitu mencengkam lubuk hatinya. Dirasakan warna-warna ceria hidupnya sudah dibawa pergi.

          Lebam di bawah sepasang matanya jelas kelihatan. Ternyata Ji Hoon tidak lena tidur semalam. Ketiadaan Eun Hee di sisi seakan-akan telah meragut sebahagian besar jiwanya. Dia tidak betah berlama-lama tanpa kehadiran gadis itu.

          Ji Hoong bungkam di tempat dia berdiri. Terasa kakinya sudah tidak berdaya untuk berdiri. Lututnya seakan-akan sudah tidak mampu untuk menampung berat tubuhnya lagi. Di mana-mana sahaja dia akan dapat melihat bayangan diri Eun Hee di ruang itu, tempat kegemaran Eun Hee. Apatah lagi di seluruh ruang di banglo besar itu.

          Eun Hee sedang memasak, Eun Hee sedang menyiram pokok di halaman, Eun Hee sedang mengemas rumah. Semuanya. Senyuman Eun Hee juga tergambar jelas di matanya. Namun...

          Perlahan-lahan bayangan isterinya yang tercinta itu menghilang. Sudah tiada lagi gelak tawanya kerana mengusik Eun Hee. Tak akan ada lagi hidangan air tangan Eun Hee tersedia di atas meja makan. Tiada lagi teman buatnya untuk melakukan aktiviti bersiar-siar bersama-sama. Tak akan ada lagi.

          Ji Hoon meraup wajahnya yang pucat. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa Eun Hee sudah tiada di sini. Mindanya tidak dapat lepas daripada memikirkan gadis itu. Dia ingin bertemu dengan Eun Hee. Memberitahunya bahawa dia tidak bersalah. Memberitahunya bahawa dia tidak akan sesekali berpaling pada wanita lain. Memberitahunya bahawa... dia akan selamanya mencintai Song Eun Hee.

          Ji Hoon sudah tidak mampu untuk berdiri lagi. Dia terundur ke belakang sebelum tersandar lesu pada dinding dapur. Matanya ditutup. Setitis air mata lelakinya gugur juga. Air mata yang dititiskan hanya kerana Eun Hee.

          “ Eun Hee... baliklah...”

          Dia terduduk di lantai. Matanya merenung kosong pada kaunter di dapur itu. Dia tersenyum hiba apabila melihat Eun Hee sedang tersenyum kepadanya sebelum meneruskan kerja memotong sayurnya. Dan, bayangan itu mula menghilang seperti kabus pagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...