Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 42



PAK CIK DAM SHIK menuang kopi ke dalam sebiji cawan. Eun Hee pula sedang membasuh pinggan di sinki. Mata bapa saudaranya singgah padanya sebelum lelaki itu menggeleng lantas mengeluh perlahan. Eun Hee menoleh pada bapa saudaranya.

          “ Eun Hee, pak cik nak cakap sikit,” kata Pak Cik Dam Shik tiba-tiba. Cawan diletakkan di atas meja. Perhatian lelaki itu tertumpu pada Eun Hee.

          Eun Hee menyudahkan basuhan pinggan sebelum menyertai Pak Cik Dam Shik di meja makan. Tangannya yang basah dilap pada sehelai tuala kecil. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang bertentangan dengan lelaki itu.

          “ Kamu... macam mana dengan Ji Hoon?” Pertanyaan Pak Cik Dam Shik menyebabkan air muka Eun Hee berubah. Dia menunduk lantas menggeleng perlahan. Lelaki itu mengeluh lagi.

          “ Pak cik rasa, baik kamu bincang baik-baik dengan dia. Mungkin dia salah, tapi bukankah dia dah minta maaf dan pak cik fikir itu bukan salah Ji Hoon. Mungkin ada orang yang perangkap dia,” kata lelaki itu lagi. Eun Hee pula hanya menunduk. Dia merenung pada tangannya yang melekat kemas pada kedua-dua lututnya.

          “ Kamu dah lama hidup sebumbung dengan Ji Hoon. Dah masak dengan tingkah laku dia. Apa yang dia suka, apa yang dia tak suka... dan pak cik percaya yang kamu bahagia selama kamu berkahwin dengan dia. Ji Hoon layan kamu dengan baik, kan?”

          Eun Hee mengangkat wajah. Pak Cik Dam Shik sedang tersenyum kepadanya. Dia bungkam. Apa yang dikatakan oleh Pak Cik Dam Shik memang benar. Dia tidak pernah sengsara lagi selama hidup bersama Ji Hoon.

          “ Jadi...” Pak Cik Dam Shik menghabiskan titisan kopinya yang terakhir sebelum bangun daripada duduknya. “... pak cik nak pergi kerja dulu. Kamu fikir baik-baik apa yang pak cik cakap tadi.”

          Eun Hee mengangguk lemah. Dia bangun lalu pergi mendapatkan Ryu Min yang masih di dalam bilik. Dia mengeluh perlahan.

          Pak Cik Dam Shik turun daripada rumahnya bersiap-siap untuk pergi ke tempat kerja. Ryu Min pula sedang mengikat tali kasutnya. Eun Hee muncul dari dalam rumah dengan memegang beg sekolah Ryu Min. Segera Ryu Min mengambil beg itu sebelum disandang di belakang. Dia memeluk Eun Hee sebelum berlari-lari anak mendapatkan ayahnya yang sedang menyorong basikal keluar daripada bangsal.

          “ Pak cik akan balik awal hari ni. Jaga diri,” ucap Pak Cik Dam Shik. Lelaki itu membantu Ryu Min naik ke pelantar basikal di belakang. Kemas Ryu Min memeluk pinggang bapanya. Dia melambai-lambai pada Eun Hee.

          “ Jaga diri. Ryu Min balik nanti Ryu Min bawa balik banyak coklat untuk Kak Eun Hee ya?” kata gadis kecil itu ceria. Eun Hee tersenyum lalu mengangguk.

          Pak Cik Dam Shik menunggang basikal keluar dari halaman rumah. Eun Hee menunggu di situ sehinggalah bayang kedua-duanya sudah menghilang. Dia menapak masuk ke dalam rumah.

          Langkahnya terhenti tiba-tiba. Tangannya terasa menggeletar. Eun Hee hanya menunduk ke bawah lantai. Air matanya pecah lagi.

          Dia sudah berjanji untuk tidak menangis lagi namun janji itu hanya seperti angin lalu. Dia tetap menangis. Dia tetap menangis untuk lelaki itu. Eun Hee tersedu sedan.

          Di hadapan Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min, sengaja dia melemparkan senyuman dan raut wajah yang kelihatan tenang namun apabila mereka tiada, dia merupakan manusia yang paling lemah. Eun Hee masih tidak dapat melupakan apa yang terjadi beberapa hari yang lalu. Hari yang dirasakan telah meragut pergi kebahagiaannya bersama Ji Hoon.

          Eun Hee terpaksa mengaku bahawa dia sememangnya merindui suaminya. Sudah berhari-hari dia berjauhan dengan lelaki itu. Dia rindu akan senyuman Ji Hoon, dia rindu akan gelak tawa Ji Hoon dan dia rindu akan ungkapan kasih yang selalu Ji Hoon ucapkan hanya pada dia.

          Dia tidak mempercayai kata-kata Chae Rin dan percaya bahawa ini hanya perbuatan khianat sahaja namun dia tidak dapat mengelak daripada menjauhkan dirinya daripada Ji Hoon. Ada sesuatu yang menghalang dia daripada mendapatkan suaminya kembali.

          Eun Hee menggeleng perlahan. Nafasnya ditarik berulang kali. Dia membuka mulut.

          “ A... abang...”


LONGLAI langkah Ji Hoon menuju ke pintu. Dia sedang berbaring di atas sofa di ruang tamu ketika lenanya diganggu dengan irama yang dimainkan apabila loceng pintu ditekan. Ji Hoon membuka daun pintu.

          “ Kau?”

          Zachary tersengih lantas mengangguk. “ Yalah, akulah ni. Habis tu, kau fikirkan siapa? Lee Jun Ki? Mentang-mentanglah kau ada iras muka dia.”

          Ji Hoon tersenyum hambar mendengarkan seloroh Zachary. “ Masuklah.”

          Zachary masuk mengikuti Ji Hoon. Sebuah kotak sederhana besar berwarna putih diserahkan kepada Ji Hoon. Ji Hoon menerimanya dengan muka yang berkerut. Dia merenung pada wajah sahabatnya itu.

          “ Apa ni?” soalnya. Zachary gelak perlahan.

          “ Kau dah tak kenal kotak untuk kek dan pastri ke? Aku bawakan kek kegemaran kau dengan tart telur sebab aku percaya yang kau tak makan dalam beberapa hari ni, kan?” ucap Zachary. Anggukan Ji Hoon mengesahkan andaiannya.

          “ Kau makanlah. Aku nak ke dapur kau dan buatkan kau minuman, okey? Bukan senang tetamu sendiri yang buatkan air untuk tuan rumah,” seloroh Zachary lagi. Ji Hoon hanya tertawa perlahan. Terasa janggal sahaja bunyi tawanya itu.

          Zachary berlalu ke dapur. Ji Hoon sudah membuka kotak pastri itu. Matanya merenung kosong pada barisan tart telur yang tersusun rapi di dalam kotak itu. Melihatkan pada tart telur itu membuatkan dia semakin mengingati Eun Hee. Dia masih mengingati bagaimana rasanya tart telur kegemarannya yang dibuat sendiri oleh Eun Hee. Dia tersenyum pahit.

          Hujung tart telur itu digigit perlahan. Ji Hoon tidak dapat menelannya. Terasa seakan berpasir sahaja tekaknya untuk menerima tart itu. Dia menggeleng perlahan. Tart telur yang sudah digigit itu diletak kembali di dalam kotak.

          “ Ji Hoon?”

          Ji Hoon tersentak. Itu bukan suara Zachary, tetapi dia mengenali pemilik suara itu. Perlahan-lahan Ji Hoon mengangkat muka. Wajahnya berkerut hairan.

          “ Hyun Min?” Ji Hoon kaget.

          Melihatkan pada Hyun Min di hadapannya, seakan-akan melihat dirinya sendiri. Lelaki itu juga kelihatan tidak bermaya dalam kemeja T yang dipakainya. Wajah Hyun Min juga pucat sama sepertinya. Cuma raut wajah lelaki itu kelihatan tegang, tidak sama sepertinya yang kelihatan pucat lesu.

          “ Macam mana kau boleh...”

          “ Pintu pagar tak tertutup tadi. Aku masuk terus,” pintas Hyun Min. Ji Hoon terdiam buat beberapa ketika sebelum dia mengangguk.

          “ Kau tak kerja ke hari ni? Aku...”

          “ Nanti! Dengar dulu apa yang aku nak kata ni.” Hyun Min memintas sekali lagi. Ji Hoon mula terdiam. Tajam renungan Hyun Min dirasakan menusuk pada hatinya. Lelaki itu berdiri bercekak pinggang berhadapan dengan Ji Hoon.

          “ Aku dah tau pasal kau dengan Eun Hee tu... Zack yang beritahu aku,” tambah Hyun Min pantas sambil mengangguk sedikit pada Zachary yang baru muncul dari dapur dengan sebiji mug di tangan apabila melihat mulut Ji Hoon terbuka untuk mengatakan sesuatu. Zachary hanya tersengih lalu menjungkitkan bahu apabila Ji Hoon mengalih pandang padanya pula.

          “ Aku dah jumpa Chae Rin dan dia...”

          Hyun Min terhenti. Matanya dikatup rapat. Dia menggeleng perlahan. Saat dia membuka mata, Ji Hoon dapat melihat tekad pada wajahnya.

          “ ... dia kata dia tak akan lepaskan kau. Dan... aku juga dah cakap pasal aku... masih cintakan dia.”

          Mata Ji Hoon terbuka luas.

          “ Kau... kau dah...” Ji Hoon terperanjat. Hyun Min mengangguk lagi.

          “ Aku dah beritahu dia. Dan aku dah beritahu dia yang aku tak akan cari dia lagi.” Hyun Min mengukir senyum.

          “ Tapi kenapa? Kenapa kau cakap macam tu?” tanya Ji Hoon hairan. Dia masih terperanjat dengan kenyataan Hyun Min.

          Hyun Min tersenyum lagi. Namun kali ini lebih hambar. “ Dia tetap nakkan kau dan aku rasa aku dah tak ada peluang untuk dapatkan dia lagi. Aku dah putus asa. Aku tetap tiada dalam hatinya walau apa pun aku lakukan untuk dia.”

          “ Mana boleh!”

          Hyun Min dan Zachary sama-sama terperanjat mendengar nada Ji Hoon yang tiba-tiba sahaja meninggi. Ji Hoon segera bangun lantas berhadapan dengan Hyun Min. Wajahnya merah dan kelihatan tegang. Matanya mercerlang marah pada Hyun Min yang mula kaget.

          “ Kau tak boleh buat macam tu! Kalau kau betul-betul cintakan dia, mahukan dia dalam hidup kau, kau tak boleh sesekali putus asa! Kau kena cuba juga dapatkan dia sampai saat terakhir!” Lantang suara Ji Hoon memarahi Hyun Min.

          Hyun Min tambah kaget. Dia baru membuka mulut sebelum Ji Hoon kembali memarahinya.

          “ Kau tak boleh lepaskan dia! Kalau dia berharga dalam hidup kau, kau tak akan sesekali putus asa! Kau faham tak?”

          Zachary bergegas mendapatkan mereka berdua apabila suara Ji Hoon semakin meninggi. Sebelah bahu Ji Hoon dipegang kemas manakala sebelah lagi ditepuk perlahan. Cuba menenangkan amarah Ji Hoon yang tiba-tiba sahaja menggila.

          “ Maaf tapi aku dah nekad. Aku akan lepaskan dia. Dia cintakan kau, bukannya aku,” kata Hyun Min. Nadanya jelas terluka. Pantas Ji Hoon menggeleng sekaligus menyangkal kata-kata Hyun Min. Pautan Zachary dibiarkan sahaja.

          “ Dia bukannya cintakan aku sebaliknya dia mahu memiliki aku. Mencintai dan memiliki tak sama. Aku harap kau faham,” kata Ji Hoon dingin. Nadanya sudah kembali seperti biasa namun dinginnya sama seperti ais di lautan dalam.

          “ Tapi...”

          “ Cinta antara kau dengan dia masih boleh dipupuk. Sebaliknya berlaku kalau cinta antara dia dengan aku. Dia tidak lebih daripada seorang adik pada aku dan aku hanya mencintai Eun Hee. Hanya pada Eun Hee,” pintas Ji Hoon.

          Hati Hyun Min tersentap. Renungan Ji Hoon dan kata-kata lelaki itu menyebabkan dia tidak mampu untuk meluahkan kata-kata. Dia hanya menunduk.

          “ Macam nilah, Ji Hoon akan dapatkan Eun Hee kembali dan Hyun Min akan dapatkan Chae Rin kembali. Boleh?” Zachary menyampuk apabila menyedari ketegangan suasana yang melanda. Dua pasang mata tertumpu padanya.

          “ Dengar dulu apa aku nak kata dan jangan menyampuk!” Zachary terpaksa meninggikan suaranya apabila melihat Ji Hoon mula membuka mulut. Bahu lelaki itu ditepuk lagi.

          “ Aku pun sama macam kamu berdua dulu. Aku pernah alami manis pahitnya bercinta. Kau ingat dulu senang-senang aku nak dapatkan Julie? Macam-macam yang kami lalui sebelum kami berkahwin, itu tak campur lagi dengan sakit Julie lepas kami berkahwin.”

          Ji Hoon hanya mengangguk tanpa membuka suara. Hanya Hyun Min sahaja yang kelihatan bingung mendengar nama Julie disebut. Dia tidak kenal atau tahu siapakah Julie. Zachary tersenyum melihat pada wajah Hyun Min yang jelas kebingungan.

          “ Julie tu mendiang isteri aku,” jelas Zachary.

          Hyun Min tersentak.

          “ Kami pernah lalui keadaan sama macam kamu berdua. Hyun Min...” Mata Zachary singgah pada wajah Hyun Min. Dia mengukir senyum. “...mungkin Chae Rin masih belum buka hatinya untuk kau tapi kau tak seharusnya mengaku kalah. Betul apa yang Ji Hoon kata tadi, kau tak seharusnya putus asa kalau kau betul-betul cintakan dia.”

          Hyun Min hanya mampu mengangguk. Dia tidak dapat menyangkal lagi kata-kata Zachary seperti mana dia menyangkal kata-kata Ji Hoon tadi. Dia harus menerima kebenaran kata-kata Zachary itu.

          “ Dan, Ji Hoon pula...” Kali ini mata Zachary beralih pula pada wajah tegang Ji Hoon. Bahu sahabatnya itu ditepuk kuat. Segera Ji Hoon menoleh pada wajah tenang Zachary.

          “... aku nak kau dapatkan Eun Hee balik. Aku percaya kau boleh lakukannya. Okey?”

          Sebagaimana Hyun Min, Ji Hoon juga hanya mampu mengangguk. Dia melepaskan diri daripada pegangan Zachary lantas menuju ke pintu rumah. Hyun Min dan Zachary sama-sama terkedu dengan tindakan Ji Hoon. Tanpa menghiraukan panggilan mereka, Ji Hoon terus berlalu keluar dari halaman rumah menuju ke jalan bertar di hadapan rumahnya. Apa yang mereka pasti, langkah yang Ji Hoon tuju merupakan jalan ke rumah Pak Cik Dam Shik.

           Zachary merenung Ji Hoon yang semakin menghilang. Dia mengangguk sebelum tersenyum puas hati. Matanya melirik pula pada langit sebelum tersenyum riang.

          Abang dah buat perkara baik hari ni, kan Julie?

          Zachary tersenyum lagi. Dia tertawa perlahan.


PAKAIAN yang sudah berlipat kemas disusun rapi di dalam almari. Sesudah menyimpan pakaian Ryu Min dan Pak Cik Dam Shik, Eun Hee beralih ke dapur pula. Dia ingin memasak makanan untuk tengah hari ini. Pak Cik Dam Shik mungkin tidak pulang untuk makan tengah hari, hanya dia dan Ryu Min sahaja yang akan makan bersama-sama sehinggalah bapa saudaranya pulang senja nanti.

          Eun Hee mengeluarkan sayur-sayuran daripada peti sejuk lama milik keluarga itu. Daging ayam turut dibawa keluar. Kesemua bahan masakan itu dibawa ke sinki. Dia bercadang untuk memasak ayam goreng dan sayur goreng sahaja. Kedua-duanya makanan kegemaran Ryu Min.

          Tangan Eun Hee terhenti di saat dia mula memotong sawi yang sudah siap dibasuh. Mindanya mula terbang ke banglo putih di hujung jalan. Agaknya, suaminya sudah makan atau belum? Eun Hee tidak dapat mengelak daripada risau akan diri Ji Hoon.

          Eun Hee kembali meneruskan kerjanya. Dia tersenyum pahit. Sesaat itu perhatiannya beralih lagi apabila mendengar ada bunyi benda jatuh di belakangnya. Pantas Eun Hee menoleh.

          Jantungnya seakan berhenti berdegup apabila matanya bertentangan dengan sepasang mata yang merenungnya tajam dari sebalik serkup muka berwarna hitam. Lelaki yang berpakaian serba hitam sedang berdiri hanya beberapa langkah di hadapannya. Jantung Eun Hee mula berdegup pantas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...