“ JANGAN kau cuba nak lari!” garau suara lelaki itu
menerpa pendengarannya. Eun Hee mula panik. Tanpa menghiraukan kata-kata lelaki
itu, dia segera berlari meninggalkan dapur. Lelaki berpakaian serba hitam itu
terkejut dengan tindakan berani Eun Hee. Wajahnya berkerut menahan marah.
“ Tak guna kau!”
Supp!
Eun Hee pantas menunduk melepasi
sebilah pisau yang dilempar kepadanya. Pisau itu terlekat pada pintu almari
usang yang terletak di laluan menuju ke ruang tamu. Matanya kaku melihat pada
hujung pisau yang terbenam pada kayu almari itu. Dia mula menggigil ketakutan.
Pucat wajahnya dengan tangisan ketakutannya. Tanpa mempedulikan ancaman
pembunuh itu, langkahnya semakin pantas berlari ke ruang tamu.
Namun nasib jelas tidak
menyebelahinya. Eun Hee jatuh terdorong ke hadapan lantaran tersadung bendul
rumah. Dia menoleh ke belakang. Langkah pembunuh itu semakin mendekatinya. Dia
dapat mendengar dengan jelas suara ketawa menggila di sebalik serkup muka hitam
itu.
“ Kau takkan dapat lari lagi,” ucap
pembunuh itu dengan nada mendayu yang mengejek. Eun Hee menggeleng kepalanya
menggila, dia tidak mahu mati dengan sia-sia. Dia bangun daripada jatuhnya.
Langkahnya semakin menghampiri pintu keluar rumah namun tiba-tiba sahaja kolar
blausnya disentap dari belakang. Kasar pembunuh itu menarik belakang blausnya. Eun
Hee terjatuh ke belakang.
Eun Hee cuba bangun namun
perbuatannya itu sia-sia sahaja. Perutnya mula diinjak-injak oleh pembunuh itu.
Mulutnya mula mengeluarkan darah. Senak perutnya kerana dipijak kasar
membuatkan dia semakin lemah.
“ Dah lama aku tunggu saat ni,” ucap
pembunuh itu lagi. Sebilah pisau ditunjuk di hadapan Eun Hee yang masih
mengalirkan air mata. Eun Hee pantas menggeleng apabila mata pisau itu dibawa
ke pipinya.
“ Kau pilih, kau nak mati macam mana.
Kau nak aku kerat-kerat mayat kau atau kau nak... aku humban kau ke dalam
gaung?” Kata-kata pembunuh itu semakin mencemaskan Eun Hee. Mata pisau itu
dihala ke lehernya. Dia mengerang apabila merasakan ada tusukan di hujung
lehernya.
“ Aku akan...”
Tolong...
jangan bunuh aku... tolong... abang... selamatkan Eun Hee!!!
Matanya ditutup rapat. Dia tidak
dapat membayangkan apa yang akan dia lalui selepas ini. Dia akan mati di tangan
pembunuh gila ini. Namun, tiada apa-apa yang berlaku. Teragak-agak dia membuka
mata.
Eun Hee tergamam apabila melihat pembunuh
itu tumbang di sebelahnya. Pisau yang ditusuk ke lehernya jatuh tepat
berdekatan dengan tangan kanannya. Terasa tubuhnya dipeluk erat oleh seseorang.
Pantas Eun Hee mengangkat wajah.
“ Eun Hee... Eun Hee tak apa-apa?
Nyaris betul tadi...” Suara risau Ji Hoon kedengaran di telinganya.
“ Eun Hee... Eun Hee tak apa-apa,
kan?” tanya Ji Hoon lagi. Pelukannya dilepaskan. Matanya merenung tepat pada
sepasang mata jernih itu. Eun Hee hanya menggeleng. Gadis itu pantas merangkul
lehernya. Ji Hoon terkesima.
“ Tak ada apa-apa... tak ada
apa-apa...” pujuk Ji Hoon. Belakang kepala Eun Hee diusap lembut.
Cemas benar dia saat dia baru sahaja
sampai di hadapan rumah Pak Cik Dam Shik apabila mendengar bunyi orang jatuh
dan ketawa menggila seorang lelaki. Dia tambah panik apabila melihat Eun Hee
sedang diseksa oleh seorang lelaki yang hanya berpakaian serba hitam. Terus dia
menyerang lelaki itu tanpa menghiraukan keselamatan dirinya. Apa yang lebih
penting buat Ji Hoon hanyalah diri Eun Hee.
“ Eun Hee... abang...” Kata-kata Ji
Hoon terhenti di situ. Tubuh Eun Hee segera dipeluk erat sebelum dia berguling
pantas ke sebelah kanannya. Lelaki pembunuh itu sudah sedarkan diri dan mula
menghalakan pisau ke arahnya.
“ Kau!”
Eun Hee ditolak jauh daripadanya saat
pembunuh itu menerkamnya dengan pisau. Ji Hoon dapat mengelak daripada serangan
pembunuh itu namun pisau tajam itu sudah menoreh dalam bahagian bahu kirinya.
Eun Hee menekup mulut kengerian.
Ji Hoon mengerang kesakitan. Tangan
kanannya menekan kuat pada bahagian bahu yang tercedera itu. Berkerut wajahnya
menikam tajam pada wajah pembunuh itu. Tanpa menghiraukan kesakitan yang
dialami, Ji Hoon segera menerpa ke arah pembunuh itu. Tangan lelaki itu yang
memegang pisau dikilas ke belakang. Berdenting bunyi pisau jatuh ke lantai. Ji
Hoon menendang pada pelipat kaki pembunuh itu sebelum dia menekan kuat dengan
sebelah lututnya pada belakang lelaki pembunuh yang sudah tertiarap di atas
lantai. Kedua-dua tangan lelaki itu dibawa ke belakang.
“ Siapa kau? Kenapa kau nak bunuh
isteri aku! Cakap!” bentak Ji Hoon. Lututnya semakin kuat menekan pada belakang
pembunuh itu manakala cengkaman tangannya pada kedua-dua tangan lelaki pembunuh
itu dikuatkan. Pembunuh itu mula mengerang kesakitan. Sedaya upaya dia cuba
melepaskan cengkaman tangan Ji Hoon.
“ Kau tak nak cakap? Baik! Mari kita
lihat wajah sebenar kau!” Sebelah tangan Ji Hoon menarik hujung serkup wajah
lelaki itu. Namun dia tersilap langkah. Tangan kirinya yang cedera yang
mencengkam pada kedua-dua tangan lelaki pembunuh itu dapat ditepis. Dia ditolak
kasar ke belakang sebelum pembunuh itu tergesa-gesa melarikan diri ke pintu
utama.
“ Cis!” Ji Hoon berlari ke muka pintu
namun pembunuh itu sudah lesap entah ke mana. Dia menumbuk pagar konkrit rumah
Pak Cik Dam Shik. Genggaman tangan kanannya mula mengeluarkan darah.
Kecewa kerana tidak dapat menangkap
lelaki misteri yang cuba membunuh isterinya itu, Ji Hoon segera masuk ke dalam
rumah. Dia segera mendapatkan Eun Hee yang sedang tersandar lesu pada dinding
rumah. Jelas di matanya bahawa gadis itu masih menggigil ketakutan.
“ Eun Hee... Eun Hee tak apa-apa,
kan? Kan?” cemas Ji Hoon bertanya. Dia memeriksa jika ada luka pada tubuh
isterinya. Dia tersenyum lega apabila melihat isterinya tidak mengalami
sebarang kecederaan. Hanya ada kesan darah sahaja di sekitar bibir Eun Hee.
Barangkali tersembur sewaktu perut gadis itu dipijak kasar oleh pembunuh itu
tadi.
“ Baguslah Eun Hee tak apa-apa,” ucap
Ji Hoon perlahan. Hujung lengan panjang kemeja putihnya dibawa ke tepi bibir
Eun Hee. Berhati-hati dia mengesat kesan darah di sekitar bibir isterinya. Eun
Hee hanya membiarkan sahaja perbuatan Ji Hoon. Dia masih terkejut dengan apa
yang dilaluinya sebentar tadi.
Tiba-tiba Ji Hoon mengerang
kesakitan. Dia menoleh pada bahu kirinya. Dia terlupa akan luka yang dialaminya
tadi. Tangan kanannya dibawa ke bahu kiri lalu ditekan kuat pada lukanya.
Ji Hoon tergamam apabila merasakan
ada tangan halus yang mengalihkan tangannya daripada bahu yang tercedera itu.
Dia mengalih pandang pada wajah sendu Eun Hee. Sayu gadis itu melihat luka di
bahunya.
“ Abang tak apa-apa. Luka sikit saja
ni,” ucap Ji Hoon sambil tersenyum. Namun Eun Hee seakan-akan tidak
mempedulikan kata-katanya. Eun Hee bangun perlahan-lahan lalu menuju ke dapur.
Ji Hoon duduk berteleku di lantai.
Beberapa ketika kemudian Eun Hee muncul dengan satu bekas kecil berisi air
panas bersama-sama kotak perubatan kecemasan dengan sehelai tuala tersangkut
pada bahunya. Dia duduk bersimpuh di sisi Ji Hoon. Tuala itu dicelup ke dalam
air panas itu sebelum diperah. Tuala basah itu dibawa ke bahu Ji Hoon yang
tercedera.
Ji Hoon tersenyum hambar saat gadis
itu mula merawat lukanya. Selepas berkali-kali Eun Hee mencuci luka Ji Hoon,
gadis itu mengambil pula kain pembalut luka dengan sebotol kecil yang
mengandungi cecair antiseptik. Ji Hoon mengaduh kecil saat cecair itu ditekap
pada lukanya.
“ Eun Hee...” Eun Hee yang sedang
mengepinkan hujung kain pembalut Ji Hoon terhenti perbuatannya. Teragak-agak
dia mengangkat wajah. Sepasang mata milik suaminya sedang merenung sayu
kepadanya. Pantas Eun Hee melarikan pandangan.
“ ... balik rumah kita, ya?”
Eun Hee terkedu mendengarkan ucapan
itu. Dia bungkam dengan nada yang dilontarkan oleh Ji Hoon. Itu bukannya
permintaan, sebaliknya Ji Hoon sedang merayu kepadanya. Merayunya untuk pulang.
“ Balik rumah kita ya? Dengan abang?”
rayu Ji Hoon lagi. Sepenuh harapan diletakkan buat Eun Hee. Namun dia hampa
apabila melihat gadis itu menggeleng. Eun Hee masih melarikan matanya daripada
renungan Ji Hoon.
“ Tapi... kenapa? Eun Hee... tak
percayakan abang?” Lirih suara Ji Hoon meminta penjelasan. Kali ini Eun Hee
terdiam.
Perlahan-lahan dia bangun lalu
berjalan membelakangi Ji Hoon menuju ke dapur. Ji Hoon terkedu di situ. Merah
anak matanya merenung setiap langkah gadis itu meninggalkannya. Perlahan-lahan
dia menggelengkan kepala tidak mahu menerima hakikat sebenar. Dengan berat
hati, dia bangun lalu berjalan keluar dari rumah itu. Dia hampir terlanggar Ryu
Min yang baru pulang dari sekolah di saat mahu menuruni anak tangga.
“ A... abang Ji Hoon? Kenapa
luka-luka ni?” tanya Ryu Min kaget. Terkejut dengan kedatangan Ji Hoon dalam
keadaan kemeja putih dan seluar khaki putihnya berlumuran dengan darah. Ji Hoon
hanya tersenyum hambar.
“ Ryu Min, tolong jaga Kak Eun Hee
untuk abang,” kata Ji Hoon tiba-tiba. Ryu Min bertambah kaget.
“ Tapi kenapa? Abang nak ke mana? Ryu
Min...” Kata-kata gadis kecil itu terhenti apabila Ji Hoon menunduk sambil
memaut kemas kedua-dua bahunya.
“ Janji dengan abang, tolong jaga Kak
Eun Hee untuk abang, ya? Janji, ya?” kata Ji Hoon lagi. Matanya tepat merenung
wajah Ryu Min. Teragak-agak Ryu Min mengangguk walau masih bingung dengan
keadaan sebenar.
“ Abang Ji Hoon, ceritalah! Apa dah
jadi ni? Kenapa tiba-tiba...”
Perlahan-lahan Ji Hoon menggeleng.
Dia melepaskan pautan pada bahu Ryu Min.
“ Janji dengan abang yang Ryu Min
akan tolong abang jagakan Kak Eun Hee untuk abang. Abang... dah tak mampu untuk
jaga dia,” ucap Ji Hoon hiba. Tergesa-gesa dia berjalan meninggalkan Ryu Min
sebelum gadis itu menghujaninya dengan sebarang pertanyaan.
Saat Ji Hoon keluar dari halaman rumah
itu, kakinya mula lemah untuk melangkah lagi. Dia bersandar pada sebatang pokok
yang terletak di sepanjang jalan ke rumahnya. Sekali lagi dia tewas dengan
perasaannya.
No comments: