“...LANGGAR dia sekali lagi.”
“ Baiklah.” Tae Hwan menyeringai.
Panggilan dimatikan. Dia melangkah ke almari. Sehelai jaket hitam diambil. Dia
akan melaksanakan apa yang sudah dirancangnya secepat mungkin. Malah, dia
terlalu menginginkan kematian lelaki yang bernama Park Ji Hoon itu. Ada sesuatu
yang didendaminya terhadap lelaki yang langsung tidak mengenalinya itu.
Ini merupakan kali kedua dia akan
melakukan tugasnya untuk mencederakan Ji Hoon sebelum dia akan bebas daripada
cengkaman lelaki itu. Dia hanya tersenyum mengejek apabila memikirkan jumlah
upah yang akan diterimanya kelak.
Tae Hwan menuju ke pintu bilik
hotelnya. Dia mahu berfoya-foya dahulu sebelum dia melaksanakan tugasnya pada
malam ini. Malam ini, dia akan memburu mangsanya apabila masanya yang sesuai
tiba. Dia akan mengintip terlebih dahulu pergerakan Ji Hoon, kemudian barulah
dia bertindak. Dia tidak mahu tersilap langkah dengan menjeratkan dirinya dalam
perangkap ciptaannya sendiri jika polis menjadi penghalangnya.
EUN HEE merenung kosong pada dasar kolam ikan
peliharaan Pak Cik Dam Shik. Celoteh Ryu Min seolah-olah tidak masuk dalam
fikirannya. Dia hanya duduk merenung sahaja pada kolam itu sementara jarinya
mengusap pada jari manis yang pernah disarungkan Ji Hoon sebentuk cincin
perkahwinan mereka. Sayu dia merenung jari manisnya yang sudah kosong tanpa
sebarang cincin itu.
Sudah beberapa hari berlalu sejak
peristiwa itu dan sejak itu jugalah dia tidak bersua dengan suaminya. Eun Hee
takut untuk berdepan dengan Ji Hoon. Di terpaksa mengeraskan hatinya tatkala
berhadapan dengan lelaki itu. Pada setiap detik, ungkapan terakhir Ji Hoon
kepadanya akan bermain-main di telinganya kembali.
“ Abang... cintakan Eun
Hee... selamanya...”
Sebagaimana sayu suara itu
mengungkapkan kata-kata itu, begitu jugalah dengan hatinya yang tidak kuat
untuk menahan perasaannya. Dia tahu Ji Hoon kecewa dengan tindakannya tetapi
Eun Hee hanya mampu pasrah. Lelaki itu akan bahagia kelak dengan pilihan yang
lain. Dia bukannya yang terbaik untuk lelaki itu.
“ Kak Ryu Min?”
Perhatian Eun Hee beralih pada Ryu
Min yang sedang melambaikan tangan tepat di hadapan mukanya. Dia tersenyum
lesu. Ryu Min memeluk lehernya dari belakang.
“ Kita ke pantai, nak? Bosanlah asyik
duduk di rumah,” ajak Ryu Min bersungguh-sungguh. Eun Hee terdiam.
Jika mereka ingin ke pantai, dia dan Ryu
Min akan melalui jalan di hadapan banglo Ji Hoon. Eun Hee tidak mahu
terserempak dengan suaminya dalam waktu yang terdekat ini. Teragak-agak dia
menggeleng. Ryu Min mengeluh kecewa.
“ Jomlah, Kak Eun Hee! Bosanlah duduk
kat rumah,” Ryu Min merengek pula. Eun Hee tersepit. Antara kemahuan Ryu Min
dengan keinginan dia, mana satu yang harus dia utamakan terlebih dahulu?
“ Kak Eun Hee!” rengek Ryu Min lagi.
Eun Hee menghela nafas. Dia merenung
lama ke wajah Ryu Min. Jelas bahawa dia tidak akan mampu menolak permintaan Ryu
Min. Akhirnya dia mengangguk. Ryu Min melompat kegembiraan.
“ Sayang Kak Eun Hee.” Leher gadis
itu dirangkul kembali. Eun Hee hanya tersenyum hambar. Selepas mengunci pagar,
dia berjalan berpimpinan tangan dengan Ryu Min menuju ke pantai.
Eun Hee mengelakkan pandangan saat
dia melalui banglo putih di hujung jalan itu. Dia tidak mahu Ji Hoon perasan
akan kehadirannya. Cukuplah dengan tempoh hari yang dia hampir kalah dengan
perasaannya sendiri. Tidak hari ini.
Suasana lengang di pantai itu mencuit
hati Eun Hee. Matanya tertumpu pada suatu kawasan. Dia menelan liur. Dia
situlah tempat di mana dia bertemu Ji Hoon buat kali kedua. Ryu Min terjatuh ke
dalam sebuah lubang dan lelaki itu muncul dengan menawarkan bantuan. Tidak
disangka pertemuan kedua mereka telah membuatkan pertemuan-pertemuan lain
menyusul tiba.
“ Kak Eun Hee, ke sinilah!” laung Ryu
Min dari suatu arah. Eun Hee tersentak. Matanya mula melilau mencari Ryu Min.
Dia kaku seketika apabila menyedari di mana Ryu Min sedang berada.
Ryu Min sedang menuju ke gigi air.
Jauh di sana pula, seseorang yang cukup dikenalinya sedang merenung ke gigi
air. Ji Hoon sedang berteleku sambil tangannya sedang mengusap sesuatu.
Nampaknya dia tidak perasan akan kehadiran Ryu Min. Lelaki itu sedang tenggelam
dalam dunianya sendiri.
Renungan Eun Hee kaku pada jasad
suaminya. Dia mengetap bibir. Adakah ini takdir atau kebetulan? Kenapa mereka
sama-sama berada di tempat ini? Adakah kerana sudah ditakdirkan?
Ji Hoon mengangkat pandangannya. Hati
Eun Hee berdetap apabila menyedari tempat apakah itu. Ji Hoon sedang duduk
betul-betul di tempat dia pernah melamar Eun Hee dahulu. Pulau yang berada di
tengah lautan direnung sayu.
Tanpa berbuat apa-apa, Eun Hee terus
berpaling ke belakang. Tergamam Ryu Min yang melihat gadis itu berjalan
meninggalkan pantai secara tiba-tiba. Termengah-mengah dia berlari mengejar
langkah Eun Hee.
“ Kak Eun Hee... kenapa?” tanya Ryu
Min tidak faham. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran Ji Hoon di pantai
tadi. Dia merenung bingung pada wajah Eun Hee yang mula kemerahan.
Eun Hee pantas menggelengkan kepalanya.
Dia terus memaut bahu Ryu Min lantas beredar di situ. Dia menggigit bibir.
Kenapa mereka harus bertemu kembali? Kenapa? Adakah keputusan dia untuk
meninggalkan Ji Hoon tidak tepat? Adakah semuanya ditentukan oleh takdir?
Kakinya semakin pantas meninggalkan
pantai. Dia tidak mahu berjumpa dengan Ji Hoon lagi. Tidak!
HYUN MIN merenung lama pada telefon bimbit di
tangannya. Dia mengeluh perlahan. Telefon bimbit diletakkan kembali di atas
meja. Hajatnya untuk membuat panggilan sudah mati. Dia bersandar kelesuan pada
kerusi empuk dalam pejabatnya itu. Fail-fail yang bertimbun di atas meja hanya
dipandang kosong.
Sudah lama dia tidak mendengar khabar
Chae Rin. Gadis itu seolah-olah telah hilang dari dunia ini selepas hari itu.
Dia sendiri tidak pergi mencari Chae Rin. Dia sudah berjanji yang dia tidak
akan menganggu hidup Chae Rin lagi dan dia akan menunaikan janjinya walau pada
ketika ini hatinya meronta-ronta untuk menelefon gadis itu, mendengar suara
Chae Rin kembali.
Hyun Min menarik laci meja kerjanya. Dia
mengeluarkan sesuatu daripada perut laci itu. Senyuman hambar terukir pada
wajahnya. Matanya merenung sayu pada gambar itu.
Dia dan Chae Rin sedang ketawa
gembira berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris. Dia melihat senyuman gadis
itu seakan-akan hidup. Hyun Min tersenyum sayu. Dia akan mengeraskan hatinya
untuk melepaskan gadis itu pergi. Itu tekadnya.
Telefon bimbitnya dicapai. Dia
membuka senarai nombor telefon yang tersimpan dalam kad memeri telefon
bimbitnya. Nama Chae Rin dicari. Selepas menekan Options, terketar-ketara
tangannya saat memilih Delete. Sekali lagi butang itu ditekan. Delete.
ANGIN malam yang menderu dingin menyapa wajah Ji
Hoon namun itu semua tidak diendahkan olehnya. Dia mendongak ke langit. Langit
pada malam ini cerah. Hampir tidak dilitupi oleh awan.
Sengaja dia berjalan di sekitar taman
yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahannya. Sesekali luka di bahu
kirinya akan berdenyut sakit lantaran masih belum sembuh sepenuhnya. Ji Hoon
menarik hud jaket ke kepala, sejuk terasa semakin mencengkam dirinya.
Dia berhenti di suatu kawasan tinggi.
Dia dapat melihat cahaya-cahaya neon yang bergemerlapan dalam kegelapan malam
di bandar-bandar di Pulau Jeju. Pulau itu sentiasa sibuk dengan kehadiran
pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Sememangnya Pulau Jeju terkenal
di mata dunia, sebagaimana dengan Pulau Nami.
Ji Hoon menghela nafas. Dia menarik
tangan yang memakai jam keluar. Perhatian dia bukannya pada muka jam itu,
sebaliknya pada sebentuk cincin yang berkilauan dalam kegelapan malam. Dia
menggantung cincin Eun Hee pada hujung jamnya. Dia tidak mahu kehilangan cincin
itu daripada pandangannya walau sesaat. Dia yakin bahawa Eun Hee akan
memakainya kembali.
Ji Hoon beredar dari tempat itu
menuju ke jalan besar. Tidak ramai orang yang mengunjungi taman itu pada malam
hari. Kebanyakan yang datang merupakan pasangan yang bercinta atau seorang diri
sepertinya.
Langkahnya terhenti di jalan besar. Jalan itu
lengang dengan orang. Sesekali dia akan menoleh ke kanan, sesekali pula dia
akan menoleh ke kiri. Ji Hoon mula tidak yakin dengan arah yang harus
ditujunya. Dia tiada hati untuk kembali ke rumahnya dalam masa yang terdekat
ini. Berada di banglo itu akan mengingatkan dirinya akan kenangan manis yang
pernah dikongsi bersama-sama Eun Hee. Saat dia memejamkan mata, suatu sinaran
yang menyilaukan mata menyakitkan pandangannya. Pantas dia membuka mata.
Bum!
Ji Hoon terus melompat ke sisi jalan.
Dia tergolek di situ. Matanya jatuh pada sebuah pacuan empat roda yang sedang
bergerak ke arahnya semula. Itu kenderaan yang sama yang melanggarnya tempoh
hari! Ji Hoon terpaksa melompat meninggalkan kawasan itu sebelum berlari ke
arah rumahnya. Dia menoleh ke belakang. Kereta itu sedang mengejarnya. Dia
bungkam.
Bum!
Sekali lagi dia terpaksa bergolek ke
sisi jalan. Ji Hoon mengerang apabila lengan kirinya terhempap dengan berat
tubuhnya. Dia membuka mata. Kereta itu bergerak laju meninggalkan kawasan itu.
Termengah-mengah Ji Hoon menarik nafas. Apa yang berlaku ni?
Perlahan-lahan dia bangkit daripada
jatuhnya. Ji Hoon menekan kuat pada lengan kirinya yang berdarah kembali. Terhincut-hincut
dia berjalan menuju ke jalan yang mengarah ke rumahnya. Fikirannya dipenuhi
dengan pelbagai soalan.
Kenapa kereta itu pergi sedangkan dia
masih hidup lagi? Adakah ini suatu petanda bahawa dia akan ditimpa bahaya lagi
kelak? Adakah dia akan bertemu dengan orang yang ingin membunuhnya tidak lama
lagi?
Tergesa-gesa Ji Hoon membuka pintu
pagar kecil rumahnya. Dia terus menuju ke dalam rumah. Kesemua pintu dan selak
tingkap dipastikan dikunci dengan sempurna. Segenap inci ruang rumahnya
diperiksa dengan berhati-hati. Selepas berpuas hati, barulah dia kembali ke
biliknya.
Suis lampu ditekan. Terang cahaya
lampu itu menerangi keseluruhan ruang bilik itu. Ji Hoon membuka jaket lalu
duduk di atas katil. Dia merenung pada darah yang mengalir daripada luka
torehan di situ.
Ji Hoon bangun menuju ke kamar mandi.
Dia membuka kemeja T yang membaluti tubuh. Pancuran air panas ditadah ke dalam
sinki. Lubang sinki itu disumbat. Dia mengerang saat sehelai tuala yang sudah dibasahkan
dengan air panas itu ditekap pada lukanya.
Ji Hoon menekapkan tuala pada luka
itu sekuatnya. Dia tidak mahu darahnya mengalir kembali. Dia masuk semula ke
dalam kamarnya. First Aid Kit dibawa keluar daripada laci. Gulungan kain pembalut,
kapas dan antiseptik diletakkan di atas katil. Dia melalukan jarinya pada luka
torehan yang agak dalam itu. Dia tersenyum apabila terkenangkan bahawa luka itu
pernah dibalut oleh Eun Hee.
Ji Hoon merebahkan diri di atas katil
tanpa menutup lampu. Dia terlalu letih untuk berjalan semata-mata untuk menutup
lampu. Ji Hoon mencapai patung pemberiannya kepada Eun Hee dahulu dari atas
kepalanya. Patung beruang itu dipeluk erat.
“ KAU dah buat apa yang aku arahkan?” dia bertanya
sambil meneguk champagne di bar. Tae Hwan mengangguk tanpa suara. Dia meliarkan
pandangannya ke seluruh kelab malam itu. Sesekali dia terangguk-angguk mengikut
rentak lagu yang dimainkan. Pengunjung sedang leka menari di lantai tarian.
“ Aku dah buat seperti mana yang kau
suruh aku buat. Aku cederakan dia tapi aku tak bunuh dia, puas hati?” Tae Hwan
meneguk bir yang dipesan. Matanya melirik pada lelaki yang sedang duduk di
sebelahnya.
“ Bila kau nak tinggalkan Jeju? Tugas
kau kat sini dah selesai. Upah pun aku dah bayar penuh,” tanya lelaki itu.
“ Aku ada urusan peribadi kat sini.
Lepas semuanya selesai, aku tak akan jejakkan kaki lagi ke sini,” kata Tae Hwan
meluat. Lelaki itu tergelak perlahan.
“ Bila kau nak bertindak?” tanya Tae
Hwan pula sambil mula mengunyah kacang. Gelak lelaki itu kembali menyapa
pendengarannya namun tenggelam dalam suasana riuh di dalam kelab malam itu.
Lelaki itu tersenyum sinis.
“ Masa yang sesuai akan tiba tak lama
lagi. Tapi yang pasti, dalam waktu yang terdekat,” katanya yakin. Lelaki itu
menyeringai. Tae Hwan turut tersenyum sinis.
Dalam suasana hingar bingar di dalam
kelab malam itu, mereka berdua terleka untuk menyedari bahawa perbualan mereka
didengar dengan jelas oleh seorang lelaki. Lelaki itu menghabiskan minumannya
sebelum berlalu pergi.
No comments: