CAHAYA merah lampu yang tergantung melintang di atas
pintu wad pembedahan terpadam. Seketika kemudian, perlahan-lahan pintu itu
dibuka. Segera Eun Hee dan Ryu Min menerpa ke arah sekumpulan doktor yang
keluar. Beberapa orang jururawat menolak sebuah katil keluar. Zachary dan Hyun
Min masih duduk di bangku masing-masing. Wajah kedua-duanya kelihatan lesu.
Seorang doktor pakar lelaki berhenti
di hadapan Eun Hee dan Ryu Min. Dia merenung lama pada sepasang mata yang
sembap itu. Doktor itu menghela nafas lalu menggeleng perlahan.
“ Maaf, kami tak dapat selamatkan
dia,” ucap doktor itu perlahan. Ryu Min menangis teresak-esak. Eun Hee segera
memeluk tubuh kecil itu. Dia memandang wajah doktor itu sebelum mengangguk
lesu. Dia membawa Ryu Min mendekati katil di mana sebuah jasad sedang terbujur
kaku.
Eun Hee mengetap bibir. Dikuatkan
hatinya untuk menarik kain yang menutupi kepala mayat itu. Dia termengkelan
apabila melihat wajah itu dipenuhi dengan luka. Ryu Min memalingkan wajah
daripada melihat mayat itu. Gadis kecil itu menangis lagi.
“ Eun Hee...”
Lambat-lambat Eun Hee berpaling ke
belakang. Zachary dan Hyun Min sedang merenung sayu kepadanya. Dia mengangguk
perlahan.
“ Biarkan dia pergi dengan aman. Maafkan
dia walau sudah banyak salah yang dia buat. Walau apapun yang berlaku, dia
tetap antara orang yang rapat dengan awak,” kata Zachary perlahan. Eun Hee
tersenyum hambar. Dia mengangguk lagi. Bahu Ryu Min diusap lembut.
“ Kita tak boleh salahkan dia. Dia
sesat dalam dunianya sendiri,” celah Hyun Min. Nadanya agak keras. Matanya
singgah pada wajah mayat itu.
Eun Hee dan Zachary turut mengalih
pandang pada mayat tersebut. Jasad Seung Hyun terbujur kaku di atas katil. Eun
Hee memejamkan matanya rapat. Dia menghela nafas. Dia masih tidak menerima
kenyataan bahawa darah dagingnya sendiri tergamak untuk membunuhnya.
Ternyata Seung Hyun tersilap
percaturan kerana melarikan diri daripada cengkaman Hyun Min. Lelaki itu
berlari ke arah jalan raya tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Seung Hyun
dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda yang melalui jalan itu. Nasibnya tidak
baik kerana kehilangan nyawa bahana kemalangan itu.
“ Kami pulang dulu. Saya akan ke
rumah pak cik awak, jelaskan apa yang berlaku. Awak...” Zachary terhenti. Dia
mengukir senyum lalu menoleh ke belakang.
“ ... jagalah Ji Hoon. Saya tahu awak
tentu risaukan dia, kan? Saya akan hubungi ibu Ji Hoon. Jangan risau,” sambung
Zachary. Eun Hee bungkam. Lesu dia memandang ke belakang Zachary. Dia
mengangguk perlahan.
Zachary menepuk bahu Hyun Min
perlahan. Hyun Min mengangguk tanda mengerti. Tangan Ryu Min dipimpin sebelum
mereka bertiga berlalu meninggalkan Eun Hee di situ. Eun Hee merenung kosong
pada mereka bertiga.
Lambat-lambat dia mengatur langkah ke
hadapan. Dia berhenti di hadapan sebuah wad ICU. Sebelah tapak tangannya
dilekapkan pada dinding kaca wad itu. Dia merenung sayu pada sekujur jasad yang
terbaring tidak sedarkan diri di dalamnya.
Eun Hee menggigit bibir. Dia
menggeleng perlahan. Sakit hatinya tatkala melihat wayar yang berselirat di
tubuh suaminya. Gerakan dada lelaki itu perlahan namun itu sudah cukup untuk
menyakinkan dia bahawa suaminya masih lagi bernyawa. Lelaki itu sudah tidak
ubah seperti mayat hidup.
Ji Hoon bernasib baik kerana peluru
yang tertembak ke dada kirinya tidak mengenai jantung sebaliknya hanya
menggores sedikit pada bahagian paru-paru kirinya. Selepas berjam-jam bertarung
dengan nyawa di dalam bilik pembedahan, lelaki itu disahkan selamat namun Ji
Hoon tetap memerlukan bantuan alat penafasan untuk membantu dirinya. Ji Hoon
masih terlalu lemah untuk bernyawa sendiri.
Eun Hee mengucup cincin yang baru dipakainya
tadi. Berkali-kali dia berdoa agar suaminya akan selamat. Lututnya terasa
lemah. Eun Hee terjelepok ke lantai. Dia menangis hiba.
MATANYA dibuka perlahan-lahan. Eun Hee menggosok
matanya berulang kali. Imej kabur pada pandangannya semakin jelas. Eun Hee
mengangkat wajah. Dia merenung pada seorang wanita yang sedang berdiri di
hadapannya. Dia kaget.
“ Eun Hee!”
Terus tubuh itu ditarik ke dalam
pelukan. Presiden Park menangis di bahu gadis itu. Teragak-agak Eun Hee menepuk
belakang ibu mentuanya itu. Pak Cik Nam Gil sedang merenung sayu kepadanya.
“ Ji Hoon... dia...” kata-kata
Presiden Park terhenti. Dia menangis lagi. Bahunya terhinggut lantaran tidak
mampu menahan kesedihan yang teramat. Bayangan bahawa satu-satunya anak
kandungnya akan meninggalkan dia buat selama-lamanya bermain di minda.
Eun Hee menggeleng perlahan. Dia cuba
mengukir senyum. Kedua-dua tangan wanita itu dielus perlahan, cuba menenangkan
gundah hati wanita itu. Presiden Park menarik tangannya daripada pegangan
tangan Eun Hee. Sebelah tangannya mengusap rambut gadis yang dicintai sepenuh
hati oleh anaknya itu. Wanita itu turut tersenyum sayu.
“ Ji Hoon tak akan apa-apa, kan?
Betul kan, sayang?” tanya Presiden Park. Suaranya tenggelam timbul disulami
dengan esakan. Teragak-agak Eun Hee mengangguk mengiakan kata-kata wanita itu.
“ Puan, benarkan puan muda balik
dulu. Pak cik rasa tentu puan muda dah penat tidur kat hospital semalaman. Puan
muda jangan bimbang, kami akan jaga tuan muda,” celah Pak Cik Nam Gil namun Eun
Hee menggeleng pantas.
“ Eun Hee balik dulu, ya sayang?
Balik, mandi, berehat dulu kat rumah. Lepas tu baru Eun Hee datang balik, ya?
Muka Eun Hee dah pucat ni,” pujuk Presiden Park. Dia mengelus pipi Eun Hee. Eun
Hee menggeleng lagi. Dia tidak mahu pulang. Dia mahu kekal di sini untuk
menjaga Ji Hoon.
“ Baliklah dulu. Macam mana kalau
jadi apa-apa kat Eun Hee?” Presiden Park memujuk lagi. Gundah hatinya melihat
sepasang mata yang kelihatan seolah menyimpan seribu kesedihan. Kepala
menantunya diusap lagi.
Eun Hee menggeleng keras. Dia
merenung penuh pengertian pada ibu mentuanya namun Presiden Park hanya
menggeleng. Eun Hee tertunduk penuh hampa. Bahunya dipeluk erat oleh wanita
itu.
“ Lepas ni sayang datang lagi ya? Ji
Hoon tentu tak nak bila dia sedar nanti, isterinya pula yang sakit. Ya,
sayang?”
Lambat-lambat Eun Hee mengangguk. Dia
terpaksa menurut sahaja permintaan wanita itu. Pipinya dicium Presiden Park
sebelum dia melangkah pergi. Matanya terhenti pada jasad kaku Ji Hoon tatkala
dia melintasi wad itu.
SUASANA sepi menyelubungi wad kelas pertama itu. Mata
masing-masing tertumpu pada kelakuan
seorang doktor dengan dua orang jururawat yang sedang membuang wayar-wayar yang
berselirat pada tubuh Ji Hoon. Alat bantuan penafasan ditanggalkan daripada
lelaki itu. Ji Hoon sudah mampu untuk bernafas sendiri.
Selepas pemantauan rapi selama 24
jam, doktor yang merawat lelaki itu mengesahkan bahawa Ji Hoon sudah melepasi
tahap kritikal. Degupan jantungnya kembali normal walau Ji Hoon masih belum
menunjukkan tanda-tanda akan sedarkan diri. Ji Hoon dipindahkan ke wad kelas
pertama seperti mana yang diminta oleh Presiden Park.
Di suatu sudut, Eun Hee menitiskan
air mata kegembiraan. Dia tersenyum saat melihat wajah suaminya yang kelihatan
sedikit mengembang lantaran penggunaan alat bantuan pernafasan hampir
semalaman. Suaminya akan selamat! Itulah berita yang dinanti-nantikan olehnya
sejak lelaki itu dimasukkan ke dalam wad ICU sejak semalam.
“ Eun Hee....”
Baik Eun Hee mahupun yang lain-lain terkejut
mendengar suara itu. Zachary dan Hyun Min saling berpandangan. Presiden Park
pula menangis gembira. Pak Cik Nam Gil yang berdiri di hujung bilik hanya mengangguk
lesu. Mulut Ji Hoon terkumat kamit menyeru nama Eun Hee. Jari jemarinya
bergerak sedikit. Eun Hee menekup mulut. Matanya tidak berkalih daripada wajah
pucat Ji Hoon.
“ Eun Hee...”
Tanpa mengendahkan pandangan orang
lain di dalam wad itu, Eun Hee segera menerpa mendapatkan Ji Hoon. Tangan yang
sejuk itu digenggam erat. Dikucup lembut jemari dingin itu. Hangat air matanya
mengenai tangan Ji Hoon.
“ Eun... Hee...” Nada suaranya menyeru Eun
Hee semakin perlahan sebelum tenggelam dalam bunyi nafas Ji Hoon. Eun Hee
termengkelan. Lama dia merenung wajah yang tidak bermaya itu.
Eun Hee menarik nafas. Perlahan-lahan
dia melepaskan pegangan tangannya pada jemari Ji Hoon. Dia menggeleng. Tanpa
memberi reaksi apa-apa dia meninggalkan wad itu. Presiden Park dan Pak Cik Nam
Gil terkedu dengan perlakuan Eun Hee. Mereka berdua saling berpandangan. Hanya
Zachary dan Hyun Min sahaja yang mengangguk mengerti.
Eun Hee berjalan ke sekitar koridor
hospital. Langkahnya terhenti saat dia membelok ke kanan. Pak Cik Dam Shik
sedang merenungnya sayu. Mata lelaki itu basah.
MEREKA berdua sama-sama menyepi tatkala mengambil
tempat di bangku taman hospital itu. Hanya angin yang menderu sahaja yang
menyapa sepi kehadiran mereka di taman yang menghijau itu. Pak Cik Dam Shik
mengepal kemas kedua-dua buku limanya. Wajahnya ditundukkan.
“ Maafkan pak cik,” kata lelaki itu
perlahan. Eun Hee tersentak.
“ Maafkan pak cik, pak cik memang
ayah yang tak guna!” Lelaki itu mula tersedu sedan. Eun Hee kaget apabila
melihat lelaki itu menangis. Inilah pertama kali dia melihat bapa saudaranya
sebegitu.
“ Kalau pak cik pandai didik anak,
tentu... tentu Seung Hyun tak jadi macam ni...” esak Pak Cik Dam Shik. Eun Hee
menggeleng pantas. Dia menepuk lembut bahu bapa saudaranya itu.
Bapa saudaranya tidak bersalah.
Lelaki itu sudah berjaya dalam mendidik anak-anaknya tatkala ibu saudaranya
meninggal dunia. Ryu Min membesar dengan baik dalam jagaan lelaki itu. Cuma
Seung Hyun sahaja yang tersesat dalam liku-liku kehidupannya. Kerana gagal mengawal
nafsu dan tamakkan harta lantaran hidup susah sejak kecil, lelaki itu tersasar
jauh daripada lapangan asalnya.
“ Pak cik kesal... apa yang kurang
hingga Seung Hyun sanggup bertindak jauh? Dia tergamak nak bunuh kamu!
Sepupunya sendiri! Darah dagingnya!” bentak Pak Cik Dam Shik. Lelaki itu
mengongoi.
Eun Hee segera menghalang tatkala Pak
Cik Dam Shik meluru ke hadapan lalu menghentak kepalanya pada sebatang pokok.
Lelaki itu kelihatan sudah hilang kawalan lantaran kecewa dengan perubahan yang
tidak disangka-sangka oleh anaknya. Bahu bapa saudaranya itu ditarik ke
belakang.
“ Pak cik malu dengan kamu...” Mata
basah Pak Cik Dam Shik merenung hiba pada wajah Eun Hee. “ ... pak cik malu
dengan mendiang ibu bapa kamu... apa kata mereka kalau kamu hampir mati di
tangan sepupu kamu sendiri?”
Eun Hee menghela nafas. Dia menarik
tangan bapa saudaranya lalu diusap perlahan. Dia menggeleng perlahan. Tiada apa
yang hendak dimalukan. Lelaki itu menjaganya dengan baik selepas kepergian ibu
bapa dan abangnya. Lelaki itu sudah banyak berbakti kepadanya.
“ Maafkan pak cik... Eun Hee...” Dia
memeluk tubuh anak saudaranya itu. Eun Hee tersenyum hiba. Dia mengangguk.
“ KAMI pulang dulu. Eun Hee, kamu duduk kat sini ke?”
Zachary merenung Eun Hee tatkala mahu
menghampiri pintu diikuti oleh Hyun Min. Eun Hee mengangguk pantas lalu dia
menoleh ke arah ibu mentuanya. Presiden Park mengangguk membenarkan. Wanita itu
tersenyum.
“ Terima kasih sebab sanggup jaga Ji
Hoon...” ucap Presiden Park. Ada sendu dalam percakapannya. Eun Hee turut
tersenyum.
Dia mengambil tempat di sisi katil
sesudah kesemua mereka telah pergi. Pandangan matanya singgah di wajah Ji Hoon
yang masih lagi pucat. Diusap perlahan pipi suaminya. Eun Hee menarik senyum.
Sebelah tangannya menggengam kemas
tangan Ji Hoon. Tangan suaminya sudah tidak sejuk seperti tadi. Dia mengucup
hangat jemari kaku itu.
Malam sudah semakin larut. Eun Hee
sudah mula terkuap-kuap menahan kantuk. Dia menggosok matanya, cuba mengelakkan
dirinya daripada terlena. Namun, dia tewas juga. Perlahan-lahan kepalanya
terkulai di atas katil Ji Hoon. Pegangan tangannya masih tidak dilepaskan. Dia
terlena.
Malam sudah semakin larut tatkala Ji
Hoon membuka matanya. Kehangatan tangan Eun Hee menggengam tangannya
mengejutkan dia. Perlahan-lahan dia menoleh ke sebelah kirinya. Dia menarik
senyum apabila melihat Eun Hee sudah tertidur lantaran kepenatan. Dia cuba
bangun, mahu menyelimutkan Eun Hee yang kesejukan namun dia tidak berdaya. Ji
Hoon terbaring berputus asa. Kesakitan pada dadanya masih lagi terasa.
Dia mengusap lembut kepala isterinya
penuh kasih sayang. Ji Hoon turut mengemaskan pegangan tangannya pada tangan
Eun Hee. Dia menguntum senyum apabila melihat sebentuk cincin berada di jari
manis gadis itu.
No comments: