Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 52




PILI air ditutup rapat. Eun Hee mengelap rambutnya yang sedikit basah. Sesudah menyempurnakan pemakaiannya, dia bercermin terlebih dahulu. Wajahnya masih lagi sembap. Sesudah membasahkan wajahnya, sehelai tuala kecil diambil lalu dilapkan pada muka.

          Eun Hee merenung ke sekeliling tandas awam yang tersedia di hospital itu. Hanya dua orang sahaja yang sedang menanti giliran untuk mandi di bilik air. Dia mengatur langkah keluar dari tandas itu.

          Eun Hee tunduk merenung tangannya. Tangan itu dihelus lembut. Dia merasakan ada orang yang menggengam kejap pada jemarinya semalam, membalas pegangan tangannya. Lantaran terlalu mengantuk, dia tertidur tanpa melepaskan pegangan tangannya pada jemari Ji Hoon.

          Eun Hee menghela nafas. Perlahan-lahan pintu ditolak ke dalam. Jam di dinding wad direnung sekejap. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Masih terlalu awal untuk menerima sebarang pelawat.

          Beg sederhana besar yang mengandungi pakaian dan kelengkapan mandinya diletakkan di atas meja. Dia melabuhkan duduk di atas sebuah sofa berangkai tiga yang bertentangan dengan katil. Eun Hee menguntum senyum apabila mendengar suaminya berdengkur kecil.

          Senaskah majalah diambil dari bawah meja. Dia baru sahaja membelek muka surat pertama sebelum kedengaran pintu dibuka. Eun Hee mengangkat wajah. Presiden Park dan Pak Cik Nam Gil muncul di hadapannya.

          Dia bangun lalu mengangguk sedikit. Presiden Park meluru ke arahnya. Tangan Eun Hee digenggam kemas.

          “ Kamu tentu belum sarapan lagi, kan? Pergilah sarapan dulu,” kata Presiden Park. Eun Hee nampak teragak-agak namun dia menurut sahaja. Dia mengangguk perlahan sebelum berlalu keluar. Jika dia tidak pergi juga, sudah pasti ibu mentuanya akan memaksanya lagi.

          Presiden Park dan Pak Cik Nam Gil saling berpandangan. Mereka melangkah mendekati katil. Presiden Park duduk di situ.

          “ Apa yang patut kita buat? Saya tak sangka yang...” Presiden Park tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menggeleng perlahan.

          Dia terkejut tatkala diberitahu oleh Pak Cik Nam Gil bahawa Ji Hoon pernah ditimpa kemalangan dahulu, tidak lama selepas kes langgar lari yang menimpa anak tunggal lelakinya itu. Rasa terkejutnya itu tidak di situ sahaja, kedua-dua sahabat Ji Hoon menjelaskan dengan lebih terperinci tentang keadaan sebenar.

          Hyun Min dan Zachary sudah menceritakan segalanya yang berkaitan dengan kes pembunuhan terhadap Ji Hoon yang dirancang oleh Da Wei. Malah, Da Weilah yang bertanggungjawab dalam kes penggelapan wang syarikat yang membabitkan nama Ji Hoon beberapa bulan yang lalu. Hampir pitam Presiden Park sewaktu mendengar cerita yang sebenarnya.

          Tidak pernah timbul di akalnya bahawa Da Wei sudah lama berdendam dengan anaknya sendiri. Kerana sudah bosan kerana selalu menjadi yang kedua terbaik selepas Ji Hoon, apatah lagi dengan harta yang diwarisi Ji Hoon daripada mendiang datuknya, dendam Da Wei mula memuncak. Lelaki itu mula mengatur pelbagai rancangan untuk menjatuhkan Ji Hoon.

          Namun, kejadian sebenar yang menimpa Ji Hoon sehingga dia terlantar sakit seperti ini tidak diberitahu. Zachary dan Hyun Min mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja. Terpulanglah kepada Ji Hoon untuk menceritakan keadaan yang sebenarnya selepas dia sedar kelak.

          Walaupun kesal dengan apa yang telah Da Wei lakukan, namun Presiden Park tidak tergamak untuk memberitahu perkara yang sebenarnya kepada kedua-dua ibu bapa Da Wei. Biarlah Da Wei sentiasa dikenang sebagai seorang anak yang baik oleh ibu bapanya. Presiden Park tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

          “ Puan tak akan buka cerita ini pada...”

          Pantas Presiden Park menggeleng memintas kata-kata Pak Cik Nam Gil. Lama wajah tua itu dipandangnya sebelum dia kembali membuka bicara.

          “ Saya tak akan sesekali beritahu perkara yang sebenarnya,” tegas Presiden Park. Pak Cik Nam Gil hanya mengangguk. Tiada bantahan pada perbuatan majikannya.

          “ Erm...”

          Perhatian Presiden Park dan Pak Cik Nam Gil sama-sama tertumpu pada Ji Hoon apabila medengar erangan itu. Lelaki itu sudah membuka matanya. Presiden Park menjerit kecil.

          “ Mak...”

          Presiden Park mengangguk gembira. Diusap penuh kasih sayang pada rambut anak lelakinya itu. Sebelah tangannya menggengam tangan Ji Hoon.

          “ Kamu betul-betul risaukan mak! Kamu memang nak kena!” esak Presiden Park. Ji Hoon ketawa kecil. Dia mengukir senyum.

          “ Kan saya dah sedar? Mak janganlah bimbang,” kata Ji Hoon perlahan. Dia tersenyum pada Pak Cik Nam Gil yang setia berdiri di sebelah katilnya. Di wajah lelaki itu juga tergambar kegembiraan.

          “ Oh ya! Mana Eun Hee?” tanya Ji Hoon hairan. Semalam dia sendiri yang nampak gadis itu terlena kerana menjaganya namun sebaik sahaja dia tersedar pada pagi ini, bayang gadis itu langsung tidak kelihatan. Matanya melilau ke seluruh wad.

          “ Mak paksa dia turun ke bawah, sarapan dulu. Mak takut dia pula yang jatuh sakit lepas kamu sedar. Mana taknya, semalam pun dia tak nak makan sebab nak jaga kamu. Dah dua malam dia tidur kat hospital ni sebab nak jaga kamu,” jelas Presiden Park. Ji Hoon mengangguk gembira.

          “ Dan, lepas kamu sembuh ni mak fikir mak nak suruh kamu kerja kat Seoul saja. Mak dah tak sanggup benda macam ni jadi kat kamu,” kata Presiden Park lagi. Ji Hoon ketawa perlahan. Dia menggeleng kepalanya tidak percaya.

          “ Saya sakit macam ni pun mak nak cakap pasal kerja lagi?” Ji Hoon mengusik. Berubah air muka Presiden Park.

          “ Yalah, yalah. Kita bincang lepas ni. Sakit-sakit pun sempat lagi nak sakitkan hati mak,” rungut Presiden Park. Ji Hoon ketawa lagi.

          Keriuhan di dalam wad itu menarik perhatian Eun Hee yang baru sahaja kembali dari kafe hospital. Hatinya melonjak gembira apabila melihat suaminya sudah sedarkan diri. Namun langkahnya terhenti sebaik sahaja dia ingin menolak pintu wad.

          Eun Hee menghela nafas. Dia menggeleng perlahan. Bibirnya diketap kuat, cuba menghalang tangisannya daripada kedengaran. Eun Hee berpaling ke belakang. Lambat-lambat dia mengatur langkah meninggalkan wad yang menempatkan Ji Hoon.


“ KAU ada nampak Eun Hee tak?” tanya Ji Hoon sebaik sahaja Zachary masuk ke dalam wad. Lelaki itu mencebik.

          “ Aku baru masuk, kau dah tanya macam-macam,” kata Zachary kesal. Ji Hoon tersengih.

          Ibunya dan Pak Cik Nam Gil sudah lama pulang selepas hampir dua jam menghabiskan masa bersama-samanya. Mereka berdua perlu pergi ke resort pula demi menguruskan sesuatu. Biarpun sudah hampir dua jam berlalu, sehingga sekarang Eun Hee masih belum muncul-muncul. Ji Hoon risau memikirkan gadis itu.

          “ Aku tak nampak dia. Maaflah,” ucap Zachary. Ji Hoon mengeluh kecewa.

          Zachary berbohong sebenarnya. Sewaktu dia baru sahaja sampai di hospital ini, dia ternampak Eun Hee sedang duduk bersendirian di taman hospital. Sengaja dia mendapatkan gadis itu, mahu mengajaknya naik bersama-sama untuk ke wad Ji Hoon. Namun gadis itu hanya menggeleng lesu. Apabila ditanya apakah sebabnya, Eun Hee hanya menggeleng. Zachary mendesak lagi namun Eun Hee tetap enggan menceritakan masalahnya.

          Selepas didesak berkali-kali, barulah gadis itu mengalah. Mereka duduk di bangku taman dan Eun Hee mula mencoretkan kesemua yang dirasainya. Zachary terpempan apabila membaca penjelasan Eun Hee. Masih dia ingat dengan jelas setiap patah perkataan yang tertulis di atas kertas itu.

          Eun Hee memikirkan dirinya hanyalah beban kepada Ji Hoon. Gadis itu tidak sanggup lagi melihat Ji Hoon cedera kerananya. Sudah dua kali dia melihat Ji Hoon bergelut untuk menyelamatkan nyawanya dan dia tidak mahu melihat buat kali ketiga. Eun Hee mengandaikan jika dia mahu Ji Hoon selamat dan bahagia seperti dahulu, dia perlu pergi jauh daripada lelaki itu.

          Zachary cuba memujuk, mengatakan Ji Hoon akan lebih bahagia dengan kehadiran dirinya namun Eun Hee tetap menggeleng. Eun Hee meminta Zachary berjanji agar tidak menceritakan perkara ini kepada sesiapa, terutamanya Ji Hoon. Zachary hanya mengangguk dengan berat hati.

          “ Kau... memang tak jumpa dengan dia lagi ke?” tanya Zachary. Dia duduk di kerusi yang disediakan di sisi katil. Ji Hoon menggeleng perlahan.

          “ Aku tahu yang dia ada di sini, semalam aku tersedar dan tengok dia dah tertidur sebab jaga aku. Tapi, pagi ni aku tak jumpa dia lagi,” kata Ji Hoon kecewa. Zachary hanya mendiamkan diri.

          “ Kau rasa... dia marahkan aku lagi ke?” tanya Ji Hoon pula. Matanya merenung pada wajah Zachary. Zachary menghela nafas. Lelaki itu menjungkit bahu.

          “ Aku rasa, dia bukannya marahkan kau tapi lebih kepada... bimbangkan kau. Yalah, kau cedera sebab nak selamatkan dia, tentu dia salahkan diri dia atas apa yang jadi pada kau,” kata Zachary lambat-lambat. Perkara sebenar tidak diberitahu sebaliknya dia hanya memberi teori sahaja walau tidak secara tepat.

          Dia kasihankan pasangan ini. Baik Eun Hee mahupun Ji Hoon, sama-sama dia bersimpati dan dia tidak mahu pasangan ini berpisah. Dia sedar bahawa Ji Hoon memang cintakan Eun Hee dengan sepenuh hatinya, begitu juga dengan Eun Hee.

          “ Aku...”

          Kedengaran pintu diketuk. Ji Hoon dan Zachary sama-sama merenung ke pintu. Daun pintu dikuak. Besar harapan Ji Hoon menyangka bahawa Eun Hee yang kembali. Namun air muka Ji Hoon berubah terkejut apabila melihat siapa yang muncul di hadapannya.

          “ Boleh saya cakap dengan awak?” tutur Chae Rin teragak-agak. Dia memegang kemas pada tas tangannya, cuba melawan rasa gugup di hatinya.

          Lambat-lambat Ji Hoon mengangguk. Mengerti dengan keadaan yang berlaku, Zachary segera bangun daripada duduknya. Dia mengangguk pada Ji Hoon sebelum berlalu pergi. Ditinggalkan Ji Hoon bersama-sama Chae Rin di dalam wad.

          “ Kenapa kau datang?” tanya Ji Hoon dingin. Matanya dilarikan daripada memandang Chae Rin. Rasa sakit hatinya kerana perbuatan Chae Rin atas pergolakan hubungannya dengan Eun Hee masih belum hilang.

          “ Saya... minta maaf...”

          Ji Hoon bungkam. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah, merenung pada wajah Chae Rin. Gadis itu sedang menahan tangisan.

          “ Maaf... saya betul-betul minta maaf... atas apa yang saya dah lakukan pada awak dan Eun Hee,” ucap Chae Rin lagi. Kali ini dia tidak dapat menahan sendu.

          Sudah lama dia menyembunyikan dirinya daripada Ji Hoon dan yang lain-lain sejak peristiwa itu lantaran malu dan kesal dengan perbuatannya. Tatkala dia mendapat berita bahawa Ji Hoon cedera ditembak ketika mahu menyelamatkan isterinya, Chae Rin terpana. Dia benar-benar sudah tidak punya peluang lagi. Kesanggupan Ji Hoon mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan nyawa isterinya itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa lelaki itu tidak akan berpaling pada perempuan lain lagi.

          “ Aku... maafkan kau,” tutur Ji Hoon lambat-lambat. Chae Rin terkedu. Kabur wajah Ji Hoon dalam pandangannya.

          “ Saya...”

          “ Aku maafkan kau. Cuma satu saja aku minta, buka hati kau untuk Hyun Min. Dia dah lama menanti kau kembali padanya. Aku yakin, kau akan bahagia dengan Hyun Min. Dia seorang lelaki yang baik. Sebab kau... dia tinggalkan dunia lama dia. Dia sudah tak bercinta dengan mana-mana perempuan lain lagi sebab kau,” jelas Ji Hoon. Dia nampak keihklasan pada wajah gadis itu. Rasa sakit hatinya cuba dihalau pergi.

          Chae Rin mengangguk. Luahan hati Hyun Min pada kali terakhir mereka bertemu sudah menyedarkan dia. Hyun Min ikhlas menunggu dirinya, menanti dia akan berputus asa terhadap Ji Hoon. Dan, dia terharu dengan keikhlasan lelaki itu.

          “ Pergilah padanya,” ucap Ji Hoon lagi. Chae Rin mengangguk pantas.

          “ Tapi... lepas ni awak... akan tetap jadi abang yang baik, kan?” tanya Chae Rin teragak-agak.

          Ji Hoon menguntum senyum. Dia mengangguk.

          “ Selamanya...”

          Chae Rin turut tersenyum. Dia mengangguk sedikit sebelum berlalu meninggalkan wad. Laju langkahnya menuju ke tempat parkir kereta di bawah. Pintu kereta dibuka lalu dia melolos masuk ke dalam.

          Gadis itu bersandar lesu pada kerusi. Dia merenung kosong ke hadapan. Dia sudah lega kerana Ji Hoon sudah memaafkan segala perbuatannya. Sejenak kemudian, telefon bimbit dicapai daripada tas tangannya. Satu nama dicari daripada senarai nama kenalannya. Dia menarik nafas. Butang hijau ditekan.


BUNYI deringan telefon bimbit menyedarkan Hyun Min daripada kerjanya. Tergesa-gesa dia mencapai telefon yang diletakkan di atas meja. Dahinya berkerut apabila melihat nombor yang tertera pada skrin telefon bimbitnya, bukannya nama. Namun siri nombor itu kelihatan tidak asing padanya. Tanpa menghiraukan apa-apa, dia segera mengangkat panggilan.

          “ Helo?”

          “ Hyun Min...”

          Sebaik sahaja suara itu menyapa pendengarannya, Hyun Min kaku seketika. Dia menggeleng seakan tidak percaya.

          “ Chae Rin?”

          Esakan Chae Rin mula kedengaran. Hyun Min bungkam.

          “ Sudikah awak maafkan saya sebab saya tak pernah sedar akan kehadiran awak dalam hati saya? Sudikah awak... lupakan apa yang saya dah lakukan pada awak? Sudikah awak...” Chae Rin termengkelan. Hyun Min masih tidak menunjukkan sebarang reaksi dan dia makin takut untuk berkata-kata. Dia takut sekiranya lelaki itu sudah membuang dia jauh daripada hidup lelaki itu. Chae Rin menghela nafas. Dia membuka mulut kembali. Bibirnya bergetar.

          “ ... terima saya dalam hidup awak?”

          Lambat-lambat Hyun Min menguntum senyum. Dia mengangguk. Telefon bimbit dibawa semakin rapat ke telinganya.

          “ Saya sudi... menerima kembali Lee Chae Rin dalam hidup saya dan saya berjanji yang saya akan jaga dia dengan baik sepanjang hidup saya,” ungkap Hyun Min perlahan namun jelas pada pendengaran gadis itu. Chae Rin menangis kegembiraan. Dia mengangguk perlahan.

          “ Terima kasih...”

          Hyun Min sekadar tersenyum gembira. Ternyata kesabarannya membuahkan hasil. Dia sekadar tertawa kecil apabila masih mendengar esakan Chae Rin. Hatinya berbunga bahagia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...