Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 53


PRESIDEN PARK mendengus marah. Pandangannya ditumpukan pada wajah pucat Ji Hoon. Perlahan-lahan dia bangun menghampiri tingkap. Pak Cik Nam Gil pula hanya membisu.

          “ Kenapa kamu tak beritahu awal-awal pada mak pasal hubungan kamu dengan Eun Hee?” tanya Presiden Park. Ji Hoon mengeluh.

          “ Tak ada apa-apalah, mak. Chae Rin pun dah minta maaf,” jawab Ji Hoon penuh sabar.

          Dia terpaksa menceritakan perkara yang sebenarnya kepada ibunya. Apatah lagi wanita itu mendapati Eun Hee tidak lagi tinggal di banglo Ji Hoon. Gadis itu juga sudah tidak muncul di hospital selepas Ji Hoon sedarkan diri.

          “ Mak tak salahkan kamu, tak salahkan Eun Hee. Kalau benda ni jadi pada mak, mak pun akan bertindak macam dia. Perempuan mana yang tak kecewa kalau tengok gambar macam tu? Apa yang mak kesalkan, kamu tak beritahu perkara ni pada mak padahal dah lama benda ni jadi,” kata Presiden Park lagi. Dia mengeluh perlahan.

          “ Maaf, mak...”

          Presiden Park menggeleng. Pandangannya tidak lari daripada wajah pucat anak lelakinya itu.

          “ Mak percaya yang Eun Hee masih sayangkan kamu. Kalau tidak, dia tak akan bersusah payah jaga kamu masa kamu tak sedarkan diri lagi. Malah, dia juga yang berkeras nak duduk kat hospital untuk jaga kamu walau mak dah pujuk dia berkali-kali supaya balik ke rumah dahulu,” cerita Presiden Park.

          Ji Hoon hanya mengangguk lesu. Dia melempar pandangan ke luar tingkap. Sehingga hari ini dia masih belum bertemu dengan Eun Hee lagi. Dia tidak tahu apa yang difikirkan oleh isterinya. Dia percaya pada kata-kata ibunya namun dia tidak faham, jika Eun Hee begitu mengambil berat akan dirinya, kenapa gadis itu masih belum memunculkan diri bertemu dengannya selepas dia sedarkan diri?

          Dia ada bertanyakan pada Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min di saat mereka datang melawatnya, namun Pak Cik Dam Shik hanya menggeleng sahaja. Langsung tidak dikhabarkan apa-apa mengenai Eun Hee.

          “ Mak dah kena ke lapangan terbang. Kami akan berlepas dua jam lagi,” kata Presiden Park sambil melihat pada jam tangannya.

          “ Baiklah,” balas Ji Hoon. Pipinya dicium Presiden Park seakan-akan dia masih lagi anak kecil. Presiden Park mencebik apabila Ji Hoon mengelak daripada ciumannya.

          “ Jaga diri kamu. Mak akan kembali lepas urusan penting kat Seoul tamat,” kata Presiden Park. Dia mengambil tas tangan yang diletakkan di atas meja di tepi katil Ji Hoon. Ji Hoon mengangguk lagi.

          “ Baiklah, mak...” ucapnya mendayu. Presiden Park menjegilkan matanya sebelum berlalu pergi. Ji Hoon tertawa kecil.


ZACHARY membantu Ji Hoon bangkit daripada pembaringannya. Hyun Min pula mengangkat beg yang berisi kelengkapan Ji Hoon sepanjang keberadaan dia di hospital. Setelah hampir dua minggu berada di sini, Ji Hoon dibenarkan pulang. Walau bagaimanapun, dia harus mengalami pemeriksaan setiap bulan. Doktor masih bimbang akan keadaan jantungnya itu walaupun jantung Ji Hoon sudah berdegup dengan normal.

          “ Dia tak datang?” rendah Ji Hoon bertanya. Matanya kosong merenung ke lantai. Wajahnya jelas kelihatan kecewa.

          Zachary dan Hyun Min saling berpandangan gelisah. Mata mereka tertumpu pula pada Ji Hoon. Teragak-agak Zachary menggeleng. Ji Hoon mengeluh. Dia mengangguk sedikit.

          “ Tak apalah...”

          Lambat-lambat dia mengatur langkah meninggalkan wad dengan bantuan Zachary. Hyun Min menyusul dari belakang. Mereka turun mendapatkan kereta Zachary di bawah. Hyun Min membantu Zachary membuka pintu kereta.

          “ Kau jangan fikirkan dulu, lepas ni kau dah boleh jumpa dia,” pujuk Hyun Min perlahan. Dia menoleh pada Zachary. Zachary turut mengangguk bersetuju dengan kata-kata Hyun Min.

          “ Kau jaga kesihatan kau dulu. Bila kau dah betul-betul sihat, kau pergilah jumpa dia,” ucap Zachary. Dia masuk ke tempat duduk pemandu. Ji Hoon hanya mengangguk lemah. Dia menyandarkan kepala pada sandaran kepala.

          Matanya merenung ke luar tingkap. Wajah Eun Hee yang sedang tersenyum tergambar lagi pada  pandangannya. Dia menarik senyum nipis. Matanya dikatup rapat. Spontan dia mengusap pada cincin di jarinya.

          Perlahan Ford Escape memasuki halaman rumah Ji Hoon. Hyun Min segera membuka pintu rumah menggunakan kunci yang diserahkan oleh Ji Hoon kepadanya. Ji Hoon mengelak daripada papahan Zachary. Dia mahu turun sendiri.

          “ Aku tak apa-apa,” ucapnya pendek. Zachary hanya mengangguk bersetuju. Dia mengambil beg di tempat simpanan barang. Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam.

          “ Kau perlukan apa-apa?” tanya Hyun Min khuatir. Ji Hoon pantas menggeleng. Dia merebahkan diri di atas sofa berangkai tiga. Hyun Min dan Zachary sama-sama mengambil tempat di sofa. Risau pandangan mereka tertumpu pada Ji Hoon.

          “ Aku tak apa-apa, kau berdua jangan bimbang. Aku cuma perlukan rehat saja,” kata Ji Hoon perlahan sambil menutup matanya. Desah nafasnya mula kedengaran. Dadanya berombak tenang. Zachary dan Hyun Min saling berpandangan. Mereka berdua mengeluh perlahan.

          “ Kau tu bukannya sihat betul-betul. Kalau apa-apa jadi kat kau, kau juga yang susah,” ucap Hyun Min. Zachary mengangguk sahaja. Dia tidak mampu untuk berkata apa-apa.

          Ji Hoon membuka kelopak matanya. Dia mengiring kepalanya ke kanan, merenung Hyun Min dan Zachary silih berganti.

          “ Aku hargai apa yang kau berdua dah tolong aku. Kalau kau dan Zack tak muncul hari tu, dah tentu aku mati. Cuma aku tak suka kalau kau berdua asyik anggap macam aku ni dah tak berupaya lagi nak buat kerja,” jelas Ji Hoon. Nadanya rendah namun dinginnya tetap terasa.

          Zachary tersenyum hambar. Dia mengangguk sekilas. “ Kalau macam tu, kami tak boleh nak buat apa-apalah. Cuma, kalau kau ada masalah, terus telefon kami. Jangan sebab tak nak bergantung pada kami, kau tu yang merana.”

          Ji Hoon tersenyum nipis. “ Baiklah.”

          Sesudah Zachary dan Hyun Min pulang, Ji Hoon segera naik ke tingkat atas. Dia menarik langsir yang menutupi pintu gelongsor di balkoni biliknya. Pintu gelongsor ditolak ke tepi. Dia menapak masuk ke beranda.

          Kesegaran udara di tingkat atas membuatkan dia tersenyum lebar. Selepas hampir dua minggu dia tinggal di hospital, dapat juga dia merasai kembali segarnya udara di kawasan rumahnya yang berdekatan dengan pantai. Sesungguhnya dia merindui suasana sedemikian.

          Ji Hoon melemparkan pandangan ke sebelah kanannya. Matanya jatuh pada bumbung rumah Pak Cik Dam Shik. Hatinya meronta-ronta untuk ke sana. Dia terlalu rindukan isterinya. Ingin merayu gadis itu pulang kepadanya. Tetapi dia tahu dia akan kecewa. Eun Hee masih belum menunjukkan tanda-tanda akan menerima dia kembali walau gadis itu jugalah yang rela bersusah payah demi menjaganya ketika dia masih belum sedar lagi.


HYUN MIN menolak perlahan pintu restoran yang dimiliki oleh Chae Rin. Matanya melilau ke segenap arah sebelum matanya menangkap kelibat Chae Rin di kaunter. Gadis itu sedang bercakap-cakap dengan pekerjanya. Hyun Min melambai tangan. Chae Rin tersenyum manis melihat pada pemuda itu.

          “ Nak makan apa?” tanya Chae Rin mesra. Dia mempelawa Hyun Min berdekatan dengan lanskap air terjun buatan manusia. Hyun Min membuka menu yang diletakkan di hadapannya.

          “ Awak nak makan apa?” tanya Hyun Min. Matanya turun naik melihat pada senarai makanan dan minuman yang boleh didapati di situ. Chae Rin menyeringai.

          “ Telur goreng,” jawabnya lantas tergelak. Hyun Min menjegilkan matanya. Mereka tertawa bersama.

          Sejak hari itu, hubungan mereka kembali seperti dahulu, malah lebih mesra lagi. Chae Rin kesal dengan sikapnya terhadap Hyun Min. Pada mulanya, dia ragu-ragu sama ada Hyun Min akan menerimanya kembali setelah apa yang dia lakukan, namun ternyata sangkaannya meleset. Lelaki itu memaafkan hatinya dengan terbuka. Dia dan Hyun Min saling mengikat kasih kembali.

          “ Awak dari mana? Tak kerja ke?” tanya Chae Rin sesudah mereka membuat pesanan. Dia hairan apabila melihat Hyun Min hanya mengenakan kemeja T dan seluar jean sahaja. Hyun Min menggeleng. Dia meneguk minuman yang sudah dihidangkan oleh pelayan restoran.

          “ Hari ni saya cuti, tolong Zachary bawa balik Ji Hoon ke rumah,” terang Hyun Min. Chae Rin mengangguk.

          “ Macam mana dengan dia?”

          Hyun Min mengeluh berat. Dia menggelengkan kepalanya. Kening Chae Rin bercantum rapat. Kenapa pula ni?

          “ Kadang-kadang, saya tengok dia macam dah tak ada semangat untuk hidup,” jawab Hyun Min. Chae Rin semakin hairan mendengar jawapan yang diberikan oleh Hyun Min. Dia duduk bertongkat dagu.

          “ Dia tak sihat lagi ke?” soal Chae Rin.

          “ Bukan soal sihat ke tak. Tapi soal Eun Hee. Eun Hee langsung tak datang jenguk Ji Hoon lepas Ji Hoon sedarkan diri. Dia cuma jaga Ji Hoon masa Ji Hoon belum sedarkan diri saja. Tu yang Ji Hoon tak keruan sekarang ni, dia dah lama tak jumpa Eun Hee,” jelas Hyun Min. Chae Rin kaget. Eun Hee tidak menjenguk Ji Hoon selepas lelaki itu sedarkan diri? Anehnya.

          “ Mereka tak berbaik lagi ke?” tanya Chae Rin serba salah. Kalaulah dia tidak mensabotaj hubungan mereka berdua, sudah pasti sekarang ini Ji Hoon dan Eun Hee sedang bahagia.

          Hyun Min menggeleng. “ Nampaknya tak.”

          Chae Rin menggigit bibirnya resah. Dia menunduk ke bawah. Wajahnya berubah muram. Perubahan wajahnya disedari Hyun Min.

          “ Boleh awak bawa saya jumpa Eun Hee?” tanya Chae Rin perlahan. Hyun Min tersentak. Matanya merenung wajah Chae Rin yang benar-benar mengharapkan pertolongannya. Perlahan-lahan Hyun Min mengangguk. Dia tersenyum.

          “ Terima kasih,” ucap Chae Rin gembira.

          Dia akan memperbetulkan balik apa yang telah dilakukannya. Dia akan pastikan Ji Hoon dan Eun Hee akan baik seperti dahulu, malah lebih bahagia daripada sebelumnya. Dia menanamkan tekad. Itu janjinya.


CHAE RIN merenung pada sebuah rumah lama yang bercirikan tradisional Korea yang terletak di hadapannya. Dia menoleh ke sisi. Hyun Min menguntum senyum lalu mengangguk yakin. Tangannya digenggam erat oleh Hyun Min.

          “ Awak mampu lakukannya,” ucap Hyun Min memberi semangat. Kejap pegangan tangannya pada jemari Chae Rin.

          Chae Rin menarik senyum. Sedikit sebanyak dia berterima kasih dengan sikap Hyun Min kepadanya. Lelaki itu terlalu baik. Kata-kata Hyun Min memberi semangat kepadanya. Dia mengangguk perlahan.

          “ Saya akan lakukannya.”

          Hyun Min tersenyum lagi. Dia memerhati sahaja ketika Chae Rin keluar daripada keretanya melangkah ke arah rumah Pak Cik Dam Shik. Gadis itu masuk ke halaman rumah tersebut.

          Chae Rin tersenyum lega apabila mendapati Eun Hee sedang duduk berhadapan dengan sebuah kolam ikan bersendirian. Mudahlah baginya untuk berbicara dengan gadis itu kelak. Dia menarik nafas. Nama Eun Hee diseru perlahan. Gadis itu menoleh.

          Berubah air muka Eun Hee sebaik sahaja dia melihat Chae Rin yang berdiri di belakangnya. Teragak-agak dia mahu melangkah pergi namun sempat dihalang oleh Chae Rin. Matanya singgah pada wajah Chae Rin.

         “ Saya datang sebab... nak minta maaf,” ucap Chae Rin perlahan. Dia tertunduk. Apa yang hendak diluahkan sudah pun dizahirkan. Terasa lega sedikit hatinya yang terbeban dengan perlakuan jahat dia dahulu terhadap Ji Hoon dan Eun Hee.

          Eun Hee bungkam. Dia tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Chae Rin kembali mengangkat wajah. Dia mengetap bibir. Sudah tentu gadis itu sukar menerima pemohonan maafnya. Apa yang telah dilakukan sudah melampaui batas.

          “ Saya tak kisah kalau awak tak nak maafkan saya, tapi... tapi tolong maafkan Ji Hoon. Ini semua salah saya, dia langsung tak buat apa-apa! Tolonglah! Saya rayu pada awak,” ucap Chae Rin pantas. Matanya bertentangan dengan pandangan Eun Hee yang sudah mula redup. Dia menggeleng perlahan. Tanpa berfikir panjang dia terus melutut di hadapan Eun Hee. Eun Hee tergamam dengan perbuatan gadis itu.

          “ Tolonglah, saya rayu pada awak! Tolong kembali pada Ji Hoon, mulakan hidup awak dengan dia semula! Saya sudah sedar akan kesilapan saya, dan saya tak mahu lihat awak dan Ji Hoon dingin lagi. Tolonglah Eun Hee, tolong kembali pada Ji Hoon,” kata Chae Rin lagi. Matanya mula bergenang dengan air mata.

          Eun Hee menghela nafas. Dia mendekati gadis itu. Bahu Chae Rin dipaut lalu dia membantu Chae Rin berdiri kembali. Wajah gadis itu ditatap lama. Dia mengukir senyum lalu menggeleng perlahan.

          “ Tapi... tapi kenapa? Awak...”

          Eun Hee menggeleng lagi. Dia tersenyum, namun air matanya sudah bercucuran keluar menuruni pipi. Lambat-lambat kakinya berundur ke belakang sebelum berlari naik ke atas rumah. Chae Rin kaget. Dia menundukkan kepala. Wajahnya mendung.

          Terasa bahunya ditepuk lembut. Pantas dia menoleh ke belakang. Hyun Min sedang berdiri di belakangnya. Ada senyuman yang terukir di wajah itu.

          “ Saya dah gagal, Hyun Min,” kata Chae Rin. Suaranya serak. Namun Hyun Min menggeleng perlahan. Dia menarik Chae Rin agar berdiri bertentangan dengannya.

          “ Awak tak gagal, Eun Hee maafkan awak walau dia tak zahirkannya, kan?” pujuk Hyun Min perlahan. Chae Rin tetap menggeleng.

          “ Mungkin dia sudah maafkan saya, tapi dia... tak nampak seperti akan kembali pada Ji Hoon,” kata Chae Rin sebal.

          Hyun Min tersenyum nipis. Dagu gadis itu dicuit. Dia meraih kedua-dua tangan Chae Rin ke genggamannya tatkala gadis itu mahu membalas perbuatannya. Dia ketawa bahagia.

          “ Ji Hoon akan dapatkan Eun Hee kembali, percayalah. Cuma masa sahaja yang akan menentukan. Mereka berjodoh, kan? Kalau tak, sudah tentu Ji Hoon sudah lama berputus asa untuk dapatkan Eun Hee kembali, cari perempuan lain. Tapi, dia tak buat macam tu. Dia tak cuba cari perempuan lain, berfoya-foya masa Eun Hee tak ada walau dia ada peluang tu. Tahu kenapa sebabnya?” kata Hyun Min lembut. Chae Rin menggeleng. Hyun Min tersenyum lagi.

          “ Sebab cintanya hanya pada Eun Hee buat selamanya,” jawab Hyun Min sabar. Chae Rin mengukir senyum. Dia mengangguk perlahan.

          Mereka berdua beredar ke kereta Hyun Min. Hyun Min memanggil nama Chae Rin perlahan di saat kereta sudah bergerak pergi. Gadis itu mengangkat kening. Sebelah tangan Hyun Min memegang tangan Chae Rin. Gadis itu membiarkannya sahaja.

          “ Seperti mana Ji Hoon tak akan lepaskan Eun Hee, begitu juga dengan saya. Saya tak akan lepaskan awak kerana jika saya berbuat demikian, saya umpama hidup tanpa jiwa. Saya akan pulang ke Seoul tak lama lagi dan...” Hyun Min tergelak kecil. Dia menoleh sekilas kepada Chae Rin.

          “ ... bincang soal perkahwinan kita dengan ibu bapa saya.”

          Chae Rin terkedu. Dia menangis kegembiraan. Kepalanya diangguk perlahan. Dia sudah menemui bahagianya. Bahagia yang sekian lama dicari rupa-rupanya sudah berada di hadapannya sejak dahulu lagi. Dia tidak akan berpatah lagi. Hatinya hanya akan diserahkan kepada Hyun Min sahaja. Kini dan selamanya.    

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...