“ ABANG... rindukan Eun Hee...” ucap Ji Hoon
perlahan.
Dia cuba menguatkan dirinya. Dia mahu
berbincang tentang segala-galanya dengan Eun Hee. Meminta gadis itu mengerti.
Merayu gadis itu kembali kepadanya.
Eun Hee menggeleng perlahan. Dia
menghela nafas kecewa. Jadi, inilah sebabnya Ryu Min beria-ria mengajak dia ke
pantai? Supaya Ji Hoon dapat bertemu dengannya? Eun Hee mengetap bibir.
Langkahnya diatur laju melepasi bahu Ji Hoon. Dia mahu segera kembali ke rumah.
Dia tidak mahu mendengar walau sepatah pun perkataan daripada bibir lelaki itu.
Dia takut dia akan tewas dengan perasaannya.
“ Eun Hee!”
Kakinya terus kaku untuk melangkah.
Dia merenung kosong ke hadapannya. Perlahan-lahan Ji Hoon berpaling, merenung
belakang gadis itu. Dia menarik nafas perlahan.
“ Eun Hee memang nak berpisah dengan
abang?” tanya Ji Hoon sayu. Suaranya mula serak. Tajam matanya merenung pada
gadis itu.
Eun Hee terpana mendengar pertanyaan
itu. Dia menunduk. Teragak-agak dia mengangguk. Kedua-dua tangannya dikepal
erat.
“ Eun Hee sudah tak cintakan abang?
Langsung tiada tempat untuk abang di hati Eun Hee?” tanya Ji Hoon lagi.
Dia mahu menamatkan kemelut
perasaannya pada malam ini. Dia akan melepaskan gadis itu pergi jika itu yang
diinginkan oleh Eun Hee. Dia tidak mahu menyeksa Eun Hee dengan ikatan antara
mereka. Namun jauh di sudut hatinya, dia amat mengharapkan kepulangan gadis
itu.
Lambat-lambat Eun Hee mengangguk.
Mutiara jernih berkilauan dalam kelam malam menuruni pipinya. Eun Hee mengetap
bibir. Sedaya upaya dia menahan esakannya daripada kedengaran.
“ Jangan bohong pada abang! Kalau
tak, sudah tentu Eun Hee dah tanggalkan cincin tu, macam Eun Hee tanggalkan
cincin tu depan abang dulu! Kalau tak dah tentu Eun Hee tak akan susah payah
jaga abang di hospital masa abang koma dulu! Dah tentu Eun Hee tak beritahu
Zachary yang Eun Hee masih cintakan abang!” keras Ji Hoon berkata-kata. Cuba
disabarkan hatinya yang sedang bertarung hebat antara dua pilihan. Melepaskan
gadis itu pergi atau mendapatkan Eun Hee kembali dengan apa jua cara.
Sekali lagi Eun Hee kaget. Dia
menarik nafasnya yang seakan tersekat. Dari mana Ji Hoon mengetahui perkara
itu. Zachary... ya. Ji Hoon memberitahu Zachary yang menceritakan perihal itu
kepadanya. Hanya lelaki itu sahaja yang mengetahui sebab kenapa dia mahu
meninggalkan Ji Hoon. Nafasnya semakin sesak. Matanya dikatup rapat.
“ Kenapa Eun Hee buat semua tu kalau
betul Eun Hee dah tak cintakan abang? Mahu pergi dari hidup abang? Kenapa Eun
Hee fikir yang abang akan sentiasa ditimpa bahaya jika bersama Eun Hee?
Kenapa?” tanya Ji Hoon lagi. Nadanya mula merendah.
Eun Hee tidak menunjukkan reaksi
apa-apa. Hanya bahunya sahaja yang terhinggut menandakan dia sedang menahan
sebak. Ji Hoon menghela nafas berat. Dia menggeleng perlahan.
“ Kembali pada abang?” pintanya
terlalu berharap. Basah matanya merenung gadis itu.
Eun Hee membuka kelopak matanya. Air
mata masih tidak berhenti mengalir. Dia tersentuh mendengar nada yang digunakan
oleh lelaki itu. Dia mahu bahagia, mahu kembali bersama Ji Hoon namun... silam
yang cuba ditinggalkannya masih menghantui dirinya. Dia masih paranoid dengan
apa yang berlaku. Kejadian yang menimpa Ji Hoon masih menghantuinya, sama
seperti kejadian pembunuhan ibu bapanya dan kemalangan ngeri yang menimpa
abangnya sehingga meragut nyawanya dahulu.
Kepalanya digeleng perlahan. Eun Hee
mula membuka langkah. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Berada di situ
dengan lebih lama lagi bermakna hatinya akan mula lembut dan dia tidak mahu
perkara itu terjadi. Tergesa-gesa Ryu Min mengikut langkah kakak sepupunya itu.
Ryu Min berpaling seketika pada Ji Hoon yang seakan-akan sudah kaku di situ. Dia
mengangguk geram. Pantas Ji Hoon tersedar. Lama matanya merenung pada Ryu Min
sebelum kembali pada Eun Hee yang semakin menjauh daripadanya.
“ Eun Hee!”
Langkah Eun Hee mati lagi. Kakinya
seolah-olah sudah digam di situ. Ryu Min turut berhenti melangkah di sisinya.
“ Pagi esok... abang akan balik ke
Seoul,” tutur Ji Hoon perlahan. Dia menarik nafas, mencari kekuatan dalam
berkata-kata.
“ Dan... mungkin akan ambil masa
untuk abang... pulang ke sini. Abang akan uruskan perceraian kita... tentu itu
yang Eun Hee tunggu kan?” Ji Hoon tersenyum pahit. Dia menelan liur. Mulutnya
terasa berpasir.
“ Cuma... satu abang minta... abang
minta Eun Hee fikir masak-masak pasal hubungan kita. Kalau... Eun Hee nak kekalkan
hubungan ni... datang ke rumah kita pagi esok, sebelum pukul 10. Kalau
tidak...” Ji Hoon tersekat di situ. Tidak sanggup rasanya mahu meneruskan
kata-kata yang ingin diluahkan.
“ ... Eun Hee tak perlu datang...”
Ji Hoon mengetap bibir. Dia
menggeleng sebelum pantas meninggalkan tempat itu. Langkahnya diatur ke arah
pantai. Eun Hee dan Ryu Min ditinggalkan di situ. Dia perlu mengubat hatinya
yang kecewa.
Di tempatnya, air mata Eun Hee sudah
semakin lebat mengalir. Mulutnya ditekup rapat, tubuhnya menggigil tanpa
kawalan. Cincin di jarinya dikucup perlahan.
KOSONG pandangan Ji Hoon pada seluruh kawasan
rumahnya. Dia akan meninggalkan tempat ini, untuk suatu jangka masa yang lama.
Dan, mungkin dia tidak akan kembali lagi ke sini, buat selama-lamanya.
Matanya singgah pada satu persatu
gambarnya bersama-sama Eun Hee yang berada di ruang tamu. Matanya mula memerah.
Pandangannya melekat pula pada potret perkahwinannya. Di situ, senyuman bahagia
menghiasi wajahnya dengan Eun Hee. Siapa sangka, senyuman itu tidak akan
kelihatan lagi.
Sesudah mengunci pintu utama, Ji Hoon
keluar ke halaman rumah. Kesemua beg yang mengandungi pakaiannya sudah
dimasukkan ke dalam bonet kereta. Hyun Min dan Zachary akan menemuinya di
lapangan terbang sebelum dia berlepas. Mereka berkeras untuk membawa Ji Hoon ke
lapangan terbang pada asalnya, namun Ji Hoon membantah. Dia mahu bersendirian
sahaja tatkala meninggalkan rumahnya.
“ Eun Hee...”
Dia amat berharap gadis itu akan
muncul, sekaligus meleraikan pergaduhan mereka. Dia berdiri di tengah halaman,
menanti kemunculan gadis itu. Cuba diyakinkan hatinya bahawa gadis itu akan
datang menemuinya. Menemuinya dengan senyuman manis. Namun keyakinannya mula
goyah apabila melihat jam di tangannya. Jarum jam sudah menunjukkan tepat pada
pukul 10 pagi.
Tidak...
dia akan datang. Aku tahu dia akan datang... lima minit lagi... dia akan
datang... aku tahu... pasti dia tak sengaja lewat... seminit lagi... satu saat
saja... tolonglah!
Suasana di halaman itu tetap sunyi.
Jam sudah menginjak ke 10.10 pagi. Ji Hoon mengeluh hampa. Dia membuka pintu
kereta. Tamat sudah episod cintanya bersama Eun Hee, gadis yang dicintai
sepenuh hatinya. Dia terpaksa merelakan gadis itu pergi daripadanya. Namun, dia
tidak akan melupakan gadis itu. Tidak walau sesaat.
Kaca mata hitam dibawa ke muka. Ji
Hoon menggeleng. Dia sudah nekad. Dia tidak akan berpaling lagi. Kereta dibawa
ke jalan besar.
EUN HEE merenung setiap patah perkataan yang
dicoretkan pada halaman diari itu. Coretan rasanya itu pernah ditatap oleh
suaminya. Dia tersenyum pahit. Air matanya menitis.
“ A... bang...”
Kata-kata itu dizahirkan. Ini kali
kedua dia boleh menzahirkan kata-kata, selepas beberapa minggu sudah berlalu
sejak kali yang pertama. Walaupun sukar, dia mencuba juga. Dia ingin
mengungkapkan kata-kata itu kepada Ji Hoon, namun dia tahu ianya mustahil.
Mereka akan berpisah.
“ Eun Hee,” seru Pak Cik Dam Shik
perlahan. Eun Hee menoleh ke pintu. Lelaki itu segera mendapatkannya. Bahu Eun
Hee dipaut rapat.
“ Pak cik rayu pada kamu, kembali
pada Ji Hoon sebelum semuanya terlambat. Ryu Min dah ceritakan semuanya pada
pak cik pasal malam tadi. Cepat, pak cik rayu, Eun Hee,” kata Pak Cik Dam Shik
tergesa-gesa. Bahu Eun Hee digoyang berulang kali. Eun Hee terkesima.
“ Ya, kak! Ryu Min pun rayu pada Kak
Eun Hee! Kejar Abang Ji Hoon sebelum terlambat!” Ryu Min meluru masuk ke dalam
bilik. Mata gadis kecil itu merenung tepat pada wajah sendu Eun Hee.
Eun Hee menggeleng, dia melepaskan
pautan tangan Pak Cik Dam Shik. Matanya mengerling pada jam di dinding. Hampir
sepuluh minit berlalu selepas jarum jam menginjak ke pukul 10 pagi. Semuanya
sudah terlewat.
“ Sampai bila Kak Eun Hee nak macam
ni? Kak Eun Hee berhak bahagia! Apa yang ibu bapa kakak akan rasa kalau mereka
lihat kakak macam ni? Tolonglah! Ryu Min rayu! Kejar Abang Ji Hoon. Masih belum
terlambat!” tegas Ryu Min. Eun Hee terpana. Kata-kata Ryu Min menyedarkannya
tetapi...
Eun Hee merenung ke arah gadis kecil
itu dan Pak Cik Dam Shik silih berganti. Dia kelihatan teragak-agak. Adakah dia
akan sempat?
“ Pergilah!”
Eun Hee tersentak dengan jerkahan itu.
Tergesa-gesa Eun Hee berlari keluar dari rumah itu menuju ke halaman rumah. Dia
hampir terjatuh tatkala menyarung sandal dengan tergesa-gesa. Lariannya diatur
ke pintu pagar rumah bapa saudaranya. Kepalanya dijenguk ke luar.
Zup!
Eun Hee tergamam. Dia menoleh ke kanan.
Kereta Ji Hoon baru sahaja meluncur meninggalkan hadapan rumah Pak Cik Dam Shik
ketika melalui jalan itu. Dia mengetap bibir. Eun Hee berlari sekuat hati
mengejar kereta itu. Lariannya dikuatkan lagi.
Tolong... jangan pergi... Eun Hee tak nak
abang pergi... tolonglah... abang...
Skyline GTR Ji Hoon semakin menjauhi
dirinya. Eun Hee menggeleng pantas. Dia tidak mahu berputus asa. Walau nafasnya
terasa semput, digagahkan juga kakinya untuk terus berlari. Dia akan mengejar
Ji Hoon sehingga ke saat yang terakhir. Sehingga kakinya sudah tidak berdaya
untuk melangkah lagi. Walau dia sehingga perlu merangkak untuk mengejar lelaki
itu, dia akan melakukannya! Dia tidak akan membiarkan dirinya dibayangi
silamnya lagi. Tidak!
“ Abang!!!”
No comments: