Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Thursday, July 25, 2013

464 Untuk Nini Bab 15



AUNI merenung lama pada sebentuk cincin yang tersarung di jari. Dia senyum sendirian. Tidak percaya rasanya bahawa dia sudah bergelar tunangan Najwan. Hanya menunggu hari untuk akad nikah sahaja yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi sebelum dia sah bergelar isteri Najwan.

          Pap!

          Pantas Auni mengangkat muka. Berubah air mukanya apabila melihat Najwan yang sedang tercegat di hadapannya. Kedua-dua tapak tangan Najwan rapat dek menepuk betul-betul di hadapan wajah Auni. Auni sengih malu. Cepat-cepat dia bangun daripada duduknya. Tawa Najwan mula menyapa telinga.

          “ Kalau ya tak sabar pun, janganlah asyik tenung aje cincin tu,” usik Najwan.

          Auni mencebik. “ Mana ada! Yang awak sampai lambat ni siapa suruh? Dah, pegang beg saya.”

          Auni sengaja berbuat demikian semata-mata mahu mengelakkan Najwan terus mengetawakannya. Dia mengekalkan riak wajah tegasnya. Nanti tak adalah usikan Najwan yang berterusan kerana kantoi asyik merenung pada cincin pertunangannya itu.

          Auni segera meninggalkan Najwan di belakang. Najwan yang masih tertawa, hanya menurut sahaja apa yang gadis itu arahkan. Tote bag dan laptop beg dicapai dari atas meja sebelum dia berlari mengejar Auni yang sudah menunggu di hadapan lif.

          Rutin kerja Auni berubah selepas bergelar tunangan Najwan. Dia tidak akan terus pulang walau waktu kerjanya sudah tamat sebaliknya dia akan menunggu di dalam pejabatnya. Semua itu idea Najwan yang mengatakan ianya demi keselamatan tunang tersayang.

Najwan akan muncul dan mereka akan pulang bersama-sama. Sama seperti ketika mereka ke Mid Valley tempoh hari, lelaki itu akan memandu keretanya dan mengekori Swift Auni dari belakang. Auni tidak berkata apa-apa, sebaliknya dia berasa selamat berada di samping lelaki itu. Sekurang-kurangnya Najwan pandai menjaga dirinya.

          “ Marah ke?” tanya Najwan mengusik. Auni memasamkan muka. Sengaja mahu membuat Najwan gelabah. Lelaki itu senang benar gelabah jika dia menunjukkan perilaku mahu merajuk.

          “ Nini?”

          Auni mendiamkan diri. Seolah-olah tidak mendengar apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Tepat seperti sangkaannya, lelaki itu sudah mula cemas. Dia dapat mengesannya daripada nada percakapan lelaki itu.

          “ Awak marah sangat-sangat ke? Saya usik aje tadi,” kata Najwan. Nadanya sudah berubah. Auni di sisi direnung cemas.

          Auni masih tidak berkata apa-apa kerana dia sedang menahan diri daripada ketawa. Dia melangkah masuk ke dalam lif diekori oleh Najwan. Bangunan pejabatnya hampir kosong. Kawan-kawan sepejabatnya sudah ramai yang pulang ke rumah masing-masing. Adda juga sudah lama pulang.

          “ Nini?” seru Najwan lagi. Dia mula garu kepala. Merajuk ke? Ala…

          “ Saya minta maaf. Saya nak bergurau aje…” Mata Najwan merenung pada wajah masam Auni. Dia membuat mimik muka kasihan.

          Auni mengerling sekilas pada Najwan di sebelah. Matanya jatuh pada tote bag di bahu kanan lelaki itu dan laptop beg di kedua-dua bahu Najwan. Sengaja dia mahu mendera lelaki itu dengan membawa kedua-dua begnya.

Biasanya Najwan akan menolong dia membawa laptop beg sahaja, tote bag pula dia akan bawa sendiri. Bukannya berat pun tote bag itu. Tidak sama dengan laptop beg yang beratnya melebihi 2 kilogram jika diisi bersama-sama laptopnya.

          “ Nini…” panggil Najwan lagi dan kali ini Auni tidak lagi dapat menahan gelak. Dia menekup mulutnya. Muka Najwan berubah bingung.

          “ Kenapa…”

          Auni tenung pada muka Najwan yang jelas-jelas bingung dengan situasi yang berlaku. Dia senyum segaris. “ Saya tak marah pun. Saja nak usik awak,” jawab Auni mudah.

          Muka Auni yang masih sedang tersenyum kepadanya ditatap tidak percaya. Perlahan-lahan senyumannya meleret. Kepalanya digeleng perlahan. Najwan menarik nafas lega.

          “ Buat cemas orang aje dia ni,” rungut Najwan. Auni ketawa lagi.

          “ Asyik saya aje yang kena usik, nak juga rasa macam mana usik awak,” balas Auni membela diri. Najwan tersengih. Beg yang memberat di bahu seakan tidak terasa beratnya apabila melihat Auni tertawa kembali.

          “ Rasa apa? Masam? Manis? Pahit?” tanya Najwan dengan riak muka selamba. Auni menjuihkan bibir.

          “ Taklah. Rasa pedas,” jawab Auni mudah. Najwan pula yang ketawa. Leganya hati apabila mendapat tahu Auni hanyalah bergurau sahaja. Naya dia jika gadis itu benar-benar merajuk.

          Pintu Swift dibuka. Kedua-dua begnya diletakkan oleh Najwan di tempat duduk di sebelah pemandu. Lelaki itu beralih pada Prius yang diparkir tidak jauh daripada kereta Auni. Enjin dihidupkan.

          Swift bergerak meninggal ruang parkir kereta bawah tanah itu, disusuli Prius dari belakang. Sesekali Auni akan melihat pada cermin sisi kereta. Jelas di matanya Najwan sedang tersenyum merenungnya. Tak takut langgar kereta orang ke dia ni?

          Auni tersenyum sendirian. Dia langsung tidak menyangka hubungannya dengan Najwan akan lancar sebegini. Dia menerima Najwan seadanya dan lelaki itu turut menerima kebaikan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Siapa sangka dia akan bertemu jodoh dengan pilihan keluarganya sendiri. Mereka berdua hanya menunggu saat sahaja untuk diijabkabulkan. Auni cuma mengharapkan pilihannya tidak salah.

          Walaupun hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum upacara akad nikah mereka, namun kedua-duanya tidak mahu mengambil cuti. Apatah lagi mummy dan ummi awal-awal lagi sudah berpesan jangan nak sibuk-sibuk. Biar keluarga aje yang uruskan.

          Apabila mummy dan ummi sama-sama bergabung tenaga, memang mustahillah untuk Auni dan Najwan berkata tidak.


IKATAN tali leher dilonggarkan. Najwan masuk ke ruang tamu. Seperti biasa, E-jat akan berlari-lari mendapatkan dia sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah selepas pulang dari pejabat. Mummy menyusuli E-jat dari belakang.

          “ Lambat kamu pulang? Hantar Auni macam biasa ke?” tanya mummy. Najwan tersengih. Dia mengangguk mengiakan.

          “ Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya bolehlah kamu tengok-tengokkan Auni tu. Dua tiga hari lagi dah nak kahwin,” kata mummy. Najwan mengangguk lagi.

          Sebenarnya saat Najwan memberitahu dia akan menghantar Auni pulang selepas tamat waktu kerjanya, mummy membantah keras cadangannya itu. Mummy kata tidak elok pasangan yang bakal berkahwin bertemu dengan kerap. Selepas dipujuk berulang kali dan disokong oleh baba, barulah mummy bersetuju. Rahsia dia menyamar sebagai jurugambar pada hari pertunangan itu pun masih tidak terbongkar. Baba memang pandai menyimpan rahsia.

          Najwan mendukung E-jat di sebelah tangan manakala tangannya yang sebelah lagi memegang beg bimbitnya. Mereka berdua naik ke tingkat atas. Mummy pula mengatur langkah ke dapur.

          “ Papa, bila papa nak kahwin? E-jat tak sabar nak dapat mama,” tanya E-jat petah. Dia berlari naik ke atas katil Najwan selepas diturunkan di hadapan pintu. Najwan tersengih.

          “ E-jat memang nak mama ke?” tanya Najwan. Tuala yang tersangkut dicapai. Dia mahu membersihkan diri terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat Asar. Barulah dia boleh menunaikan solat dengan khusyuk.

          E-jat mengangguk laju. Tertawa Najwan melihat lagak anak buahnya itu. Dia melangkah ke katil lalu duduk di sisi E-jat. Kepala E-jat diusap perlahan.

          “ E-jat akan dapat mama tak lama lagi. Tinggal beberapa hari aje lagi,” kata Najwan.

E-jat tersenyum. Tak sabarnya nak dapat mama! Sudah terbayang dalam fikirannya apa yang akan dilakukan sekiranya dia sudah punya mama nanti.


PELENGKAP HIDUPKU berlagu daripada Corby yang tergeletak di atas katil. Bergegas Auni mendapatkan telefon bimbitnya. Nama Adda tertera di skrin. Butang hijau ditekan. Salam dihulurkan.

          “ Auni!!!”

          Berkerut muka Auni mendengar lontaran vokal Adda yang lantang. Apa yang tak kena lagi ni? Kena sampuk ke atau apa nie?

          “ Kenapa dengan kau ni? Menjerit aje kau tahu,” rungut Auni. Hamtaro yang terletak di atas katil dicapai lantas dipeluk. Auni membetulkan duduknya untuk memberi keselesaan kepadanya.

          Adda gelak perlahan. “ Saja, nak usik kau. Lepas ni dah tak bolehlah aku usik kau macam ni. Yalah, dah ada suamilah katakan,” kata Adda. Auni mencebik.

          “ Kau ni… buat aku serba salah nak kahwin aje,” kata Auni sebal. Adda ketawa lagi.

          “ Tak ada maknanya! Yang aku nak, kau selamat jadi isteri Najwan hari Jumaat ni, you got it? Kalau tak, memang aku akan paksa kau kahwin dengan sesiapa pun.” kata Adda. Auni tersengih.

          “ Yalah! Yalah!”

          Sepi seketika. Mata Auni meliar pada langit malam yang terbentang luas di hadapan tingkap biliknya. Dia menggigit bibir.

          “ Adda…” panggil Auni perlahan. Hamtaro dipeluk semakin erat.

          “ Ya?” jawab Adda mendayu. Kenapa aku rasa sayu semacam aje ni? Hailohhailoh

          Auni tarik senyum. “ Memang aku doakan kau jumpa jodoh kat majlis kahwin akulah. Atuk yang dah bongkok pun tak apa asalkan aku boleh tengok kau kahwin tahun depan.”

          “ Hampeh betul kau ni!”

          Mereka berdua sama-sama tergelak. Namun kening Auni berkerut apabila mendengar keluhan Adda pula.

          “ Kenapa ni?” tanya Auni perlahan, bimbang ada sesuatu yang membuatkan Adda mengeluh sedemikian rupa. Adda mengeluh lagi.

          “ Kalau kau dah kahwin, payahlah nak ajak kau keluar macam biasa, sleepover kat rumah aku,” luah Adda. Auni menarik senyum nipis. Sangkanya besar sangat apa yang sedang dirisaukan oleh Adda itu.

          “ Kau janganlah risau. Aku tengok Naj tu bukannya jenis control bini. Kalau gaya dia kena control dengan aku tu adalah,” ucap Auni berseloroh. Adda tertawa perlahan.

          “ Memang malanglah dia dapat kau jadi bini dia. Bukan dia yang control kau, tapi kau yang control dia.” Adda gelak lagi. Auni pula sengih jahat. Dia menyeringai. Lantas, Auni pula yang tertawa.

          “ Aku tak adalah jahat macam tu. Alah, kau jangan bimbanglah. Kita boleh keluar macam biasa lagilah,” ucap Auni lagi. Gelak Adda di hujung talian meredakan kebimbangan dia terhadap gadis itu.

          “ Kau doakan aku jumpa jodoh kat majlis nikah kaulah nanti,” kata Adda selamba. Auni membulatkan matanya.

          “ Aku doakan kau nikah sekali dengan akulah. Habis cerita,” balas Auni.

          “ Yalah…” kata Adda mendayu. Auni tergelak lagi. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.

          Usai berbual dengan Adda, Auni terus berbaring di atas katil. Namun sekali lagi Corby berlagu. Kali ini mesej pula yang masuk. Pantas Auni mencapai Corbynya. Nombor yang tidak dikenali tertera pada skrin Corby.


          Salam, Auni. Can we meet? For the last time? Please? – Kimi


          Auni tercengang. Tiba-tiba sahaja Hakimi muncul kembali dalam hidupnya selepas peristiwa di hadapan firma arkitek Adam itu terjadi. Auni langsung tidak ambil peduli akan apa yang terjadi selepas hari itu. Apa yang dia tahu, dia lega kerana sejak hari itu Hakimi sudah tidak muncul lagi di hadapannya. Namun, tiba-tiba sahaja dia mendapat mesej daripada Hakimi pada malam ini.

Mesej itu dibaca lagi. Auni mengetap bibir. Tidak pasti apa yang perlu dilakukan olehnya. Menerima pelawaan itu atau tidak? Dia tidak mahu mengundang masalah lagi dalam hidupnya.

          Apa patut aku buat ni?

          Pantas Auni membuka Contact. Nombor Najwan dicari lantas didail. Lama dia menunggu sebelum panggilannya diangkat.

          “ Assalamualaikum…”


Thursday, July 18, 2013

464 Untuk Nini Bab 14


BERKERUT muka Nawal melihat pada wajah monyok abangnya. Sudah lama dia memerhatikan Alongnya yang sedang duduk di birai balkoni. Najwan duduk di atas pagar balkoni sambil bersandar pada tiang. Sebelah kakinya diangkat ke atas, satu lagi terjuntai ke bawah. Nawal menggelengkan kepalanya. Kenapa pula ni? Macam orang mati bini pun ada.

          “ Along Naj,” panggil Nawal mendayu, cuba menarik perhatian abangnya daripada terus tenggelam dalam dunianya sendiri. Perlahan-lahan Najwan menoleh. Nawal sedang tersengih-sengih berjalan ke arahnya.

          “ Monyok semacam aje muka tu. Kenapa ni?” tanya Nawal cuba mengusik namun muka Najwan tetap seperti tadi. Muram sahaja lagaknya. Kalau sekali imbas, memang boleh dikatakan seperti muka seorang suami yang kematian isterinya. Bahkan, lebih daripada itu.

          “ Along!” panggil Nawal geram apabila Najwan tidak membalas. Geram juga apabila dilayan seperti tunggul kayu oleh abangnya itu.

          Najwan turun daripada pagar balkoni terus berjalan ke biliknya. Dia langsung tidak memberi sebarang respon kepada Nawal hatta gerakan badan sekalipun. Termangu-mangu Nawal dengan tindakan Alongnya. Berkerut-kerut mukanya melihat Najwan yang menghilang ke dalam bilik.

          “ Kenapa pula tu? Takkanlah gaduh dengan Kak Long kut,” getus Nawal kehairanan. Kenapalah Along macam kena sampuk aje petang-petang macam ni?

Nawal terus berlari ke tingkat bawah untuk mendapatkan mummy. Mungkin mummy tahu jawapannya. Mummy sedang menghias dulang hantaran pertunangan bersama-sama jiran sebelah rumah, Auntie Lia. E-jat pula sudah terbaring di atas sofa bersama-sama buku cerita Disney di atas perutnya. Matanya kuyu. Barangkali sudah mengantuk.

          “ Mummy,” panggil Nawal. Dia duduk di sebelah mummy yang sedang membersihkan habuk yang sememangnya sudah tiada pada dulang hantaran. Nampaknya sudah banyak kali mummy membersihkan dulang-dulang itu semua berdasarkan kilauan pada permukaan dulang-dulang itu. Mummy menoleh sekilas.

          “ Kenapa?”

          Perhatian mummy kembali pada dulang hantaran. Nawal gelak perlahan. Sudah berkilat pun namun mummy tetap mengelapnya lagi. Memang tak sabar betul nak dapat menantu untuk anak sulung ni.

          “ Kenapa dengan Along tu? Monyok semacam aje,” tanya Nawal. Dia bermain-main dengan reben putih di atas lantai. Reben itu mummy gunakan untuk menghias dulang-dulang hantaran tersebut.

Hairan betul dia dengan abang sulungnya itu. Apa yang tak kena ni? Esokkan dah nak bertunang, kenapa nampak tak gembira aje? Takkanlah tiba-tiba berubah fikiran tak nak bertunang pula sedangkan Along merupakan orang yang paling tidak sabar menanti hari yang cukup bersejarah baginya itu.

          “ Along tu mengada nak ikut ke rumah Kak Auni esok. Ada ke patut? Ikut adat manalah dia tu,” kata mummy. Nawal tergelak lagi. Patutlah monyok semacam pun, mummy tak kasi ikut. Ha ha ha

          Seperti yang dirancang, Najwan-Auni akan berkahwin pada hari yang sama dengan Nawal-Syah selepas usia pertunangan mereka sudah genap seminggu. Hantaran perkahwinan sudah disediakan terlebih dahulu sebelum mummy menyiapkan hantaran pertunangan. Semalam Nawal menemani mummy ke salah sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur bagi melihat persiapan untuk majlis persandingan.

          Mummy berpuas hati apabila suasana yang menenangkan di halaman hotel itu. Majlis bertemakan perkahwinan di dalam taman menjadi pilihan Nawal. Auni hanya menurut sahaja. Dia turut bersetuju dengan konsep itu. Konsep itu turut menjadi pilihannya kerana Auni mendapati ianya bakal memberi kelainan pada perkahwinannya walaupun tema seperti itu sudah menjadi pilihan ramai pengantin yang lain.

          Nawal mengangkat muka, matanya merenung pada siling tinggi di atasnya. Agak-agak, Along tak rancang apa-apa ke untuk esok? Takkan dia nak diam aje ikut apa mummy suruh. Tak percayalah. Ha ha ha… Nawal cukup kenal akan sikap abangnya itu. Jangan sesekali fikir Najwan tidak akan memikirkan alternatif yang lain bagi menyelesaikan masalahnya. Itulah abang sulung Nawal yang cukup dia kenali.


AUNI menjenguk sekilas ke halaman rumah. Dup dap dup dap jantungnya sejak dia bangun daripada tidur masa Subuh lagi. Semuanya gara-gara rombongan meminang dia akan tiba dari rumah Najwan beberapa minit sahaja lagi. Buat masa sekarang, Auni merasakan semuanya serba tidak kena pada dirinya.

          “ Adik!”

          “ Astagfirullah!”

          Pantas Auni memalingkan wajah ke belakang. Bibirnya diketap kuat. Memanglah manusia yang seorang ni tak boleh tengok dia senang walau sesaat pun. Terus ditampar bahu Along yang menyergahnya tadi. Padan muka!

          “ Apa ni adik?” tanya Aisar geram. Digosoknya bahagian bahu yang sakit akibat perbuatan adik bongsunya itu.

          “ Padan muka! Suka betul kacau adik! Emph!” Auni angkat kaki menuju ke bilik Angah yang terletak bersebelahan dengan biliknya. Along ditinggalkan terkebil-kebil di situ.

Geram betul Auni dengan Aisar. Masa hatinya bagai nak tercabut kerana terlalu berdebar-debar, boleh pula Along buat lawak antarabangsa dengan menyergahnya tadi? Mujur aje dia tidak punya sebarang masalah jantung, kalau tidak mahu aje dia pengsan di situ dek terkejut.

          Angah sedang membetulkan selendang biru mudanya di hadapan cermin. Dia senyum sahaja apabila melihat wajah masam Auni yang baru sahaja memasuki biliknya. Auni duduk di birai katil lalu disertai Angah. Angah tersenyum melihat adiknya yang cantik mengenakan kurung moden berwarna biru muda.

          “ Kenapa masam semacam ni? Patutnya sekarang ni Angah tengok adik happy, bukan masam macam ni,” tanya Angah. Dia menolong membetulkan lipatan selendang adiknya. Auni mengeluh perlahan.

          “ Along punya kerjalah ni. Suka betul kacau orang,” rungut Auni.

          Angah ketawa. Faham benar dengan perangai Along mereka. “ Sudahlah. Lepas ni rombongan dah nak sampai. Takkan adik nak buat muka macam ni depan orang ramai?”

          Auni sengih. Dia mengangguk sahaja. Ya tak tak juga. Nanti jatuhlah saham aku depan parents Najwan.

          Riuh rendah di bawah memaksa mereka berdua menjenguk. Auni tergamam apabila melihat deretan kereta yang diparkir di hadapan rumahnya. Berbelas-belas orang masuk ke halaman rumahnya sambil membawa dulang hantaran yang sudah berhias cantik. Angah pula kelihatan teruja.

          “ Mereka dah sampailah!”

          Pintu bilik Angah diketuk. Segera Angah pergi membuka pintu. Ummi tercegat di hadapan pintu. Ummi juga cantik dengan jubah biru muda di tubuhnya.

          “ Adik, mari turun. Acara dah nak mula ni,” kata ummi lembut. Teragak-agak Auni mengangguk. Ummi dan Angah mengiringi Auni turun ke ruang tamu.

          Debaran hati Auni kian menggila apabila melihat betapa ramainya orang di ruang tamu. Dia nampak mummy duduk bersimpuh di sebelah baba. Wanita itu tersenyum apabila ternampaknya. Perlahan-lahan Auni mengukir senyum. Dia duduk di sisi ummi sambil diapit oleh Angah.

          Upacara pertunangan berlangsung. Auni asyik tahan gelak sahaja sewaktu acara berbalas pantun berjalan. Baba yang mewakili pihak Najwan langsung tidak pandai berpantun. Begitu juga dengan walidnya. Riuh rendah ruang tamu itu yang berhias cantik dengan tawa para tetamu.

          Auni menoleh sekilas pada Kak Syara yang duduk di sisi Along. Kasihan pula dia melihat kakak iparnya itu. Kelihatan sarat benar. Hanya menunggu masa untuk melahirkan sahaja. Walau bagaimanapun, seri seorang bakal ibu terlakar pada wajah itu.

          “ Adik, tu,” bisik Angah di telinga Auni apabila mendapati Auni langsung tidak menyedari situasi di majlis itu. Auni tersenyum gugup apabila melihat mummy mendekatinya dengan satu kotak cincin berbaldu merah. Mummy duduk bersimpuh di hadapan Auni. Tangan Auni diraih perlahan.

          “ Terima kasih sebab sudi jadi menantu mummy,” ucap mummy terharu. Auni tersenyum. Air matanya menitis setitik apabila melihat sebentuk cincin platinum berbatu permata nilam di jari manisnya. Pantas dia mengesat mata, lepas ni mesti teruk kena sakat dengan Along.

          “ Naj nak datang juga sebenarnya, tapi mummy tak bagi. Ada ke patut dia datang waktu bertunang ni? Tak tahu adat ke?” beritahu mummy. Auni tergelak kecil. Mummy memeluknya erat. Auni bersyukur kerana kehadirannya dalam keluarga Najwan direstui oleh kedua-dua belah keluarga.

          Masa yang seterusnya dihabiskan dengan bergambar sahaja. Dua orang jurugambar lelaki sedang mengambil gambar-gambar mereka. Auni mengerling sekilas pada kedua-dua jurugambar itu.

Seorang berpakaian kemas manakala yang seorang lagi memakai kaca mata hitam besar dan berjambang. Betul-betul tidak kemas pada pandangan Auni. Namun lelaki berjambang itulah yang beria-ria mengambil gambarnya.

          Ummi dan walid mempersilakan para tetamu menjamu hidangan yang disediakan di halaman rumah. Auni menuruti sahaja ibu bapanya. Sedari tadi mummy tidak lepas-lepas daripada mengukir senyum kepadanya. Nawal yang turut hadir sama sahaja seperti mummy.

          Hidangan yang disediakan di halaman rumah itu ditempah secara katering. Ummi bimbang jika dia tidak punya masa untuk menyediakan hidangan untuk hampir lima puluh orang tetamu itu, tambahan lagi dengan jiran terdekat yang turut diundang bersama.

          Kepanasan kerana mengenakan selendang yang berbelit-belit di kepala, Auni meminta diri untuk ke halaman belakang sekejap. Dia bukannya biasa bertudung dengan gaya yang baginya keterlaluan. Pin sana, pin sini. Ini semua cadangan Angah yang memang suka bergayalah macam inilah.

Pada mulanya Auni mahu mengenakan tudung biasa tetapi Angah berkeras mahu menggayakan dirinya dengan seledang. Kata Angah, masa bertunang seperti ini sepatutnya Auni memberi kelainan daripada gayanya yang biasa. Dek tidak mahu bertikam lidah kerana hal yang remeh seperti ini, Auni turutkan sahaja permintaan Angah.

          Eh?

          Auni pandang sekejap pada lengannya yang dipegang oleh seseorang sebelum matanya pergi pada wajah orang yang memegang tangannya itu. Berubah air mukanya apabila melihat jurugambar yang berjambang dan bercermin mata hitam tadi yang memegang lengannya. Auni mula rasa tidak sedap hati.

          “ A…”

          Sebelum sempat dia berkata apa-apa, lelaki berjambang itu terus menariknya ke belakang rumah. Mereka berdua bersembunyi di sebalik dinding bahagian dapur. Auni mula ketakutan. Apa yang mamat ni nak buat? Aaa!!!!

          Auni terus menarik tangannya daripada pegang lelaki itu. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri. Mahu menjerit, suaranya tidak terkeluar. Namun lelaki itu tetap tidak melepaskan pegangan tangannya. Semakin kuat rontaan Auni untuk melepaskan dirinya daripada genggaman lelaki yang tidak dikenalinya itu.

          “ Lepaskan tangan saya! Awak…”

          Kaki lelaki itu ditendang sekuat hati tetapi tangannya masih lagi tidak dilepaskan. Sekali lagi dia menendang kaki lelaki itu sekaligus memukul bahu lelaki itu dengan sebelah tangannya yang masih lagi bebas. Lelaki itu mula mengaduh kesakitan.

          “ Lepaskan saya!”

          “ Eh.. aduh… Nini!”

          Terbeliak mata Auni mendengar kata-kata lelaki itu. Tangannya yang masih bebas berhenti daripada memukul lelaki itu. Dia tergamam buat seketika.

          “ Ini sayalah!” Cepat-cepat Najwan membuang kaca mata hitamnya. Jambang palsu yang sekian lama dipakainya sejak tadi turut dibuang. Terlopong mulut Auni melihat pada wajah lelaki yang sudah bergelar tunangnya itu.

          “ Naj?”

          “ Ya! Ni sayalah!” tegas Najwan. Dia menggosok bahunya yang sakit dipukul Auni. Auni mencebik. Rasa malu pun ada. Dia mula bercekak pinggang.

          “ Yang awak tak cakap awal-awal tu kenapa? Saya ingatkan awak nak buat apa-apa pada saya! Gaya awak tu memanglah saya tak cam! Sakit tahu tak awak tarik macam tu?” bebel Auni geram, teringat akan lengannya yang dipegang Najwan tadi. Nasib baik beralas, kalau tak memang aku hempuk-hempuk mamat ni!

          Najwan tersengih. Dia mengangkat tangan dengan gaya memohon maaf. “ Sorry, tapi cuma ni aje cara untuk saya jumpa awak. Mummy berkeras tak kasi saya pergi majlis ni, terpaksalah saya menyamar macam ni.”

          Auni tepuk dahi. Tidak sangka nekad benar lelaki ini mahu hadir ke majlis pertunangan ini sehingga sanggup menyamar bagai nak rak. Adush!

          “ Tak ada orang tahu ke yang awak menyamar macam ni?” tanya Auni. Nadanya direndahkan kerana bimbang akan diketahui oleh orang lain. Najwan sengih lagi. Dia menggaru belakang tengkuknya.

          “ Baba aje yang tahu. Kalau mummy tahu, memang sah saya kena balun dengan mummy,” kata Najwan perlahan. Auni tepuk dahi sekali lagi.

          “ Kenapa awak nekad sangat nak datang majlis ni? Bukannya menarik pun,” kata Auni. Najwan tergelak perlahan.

          “ Sebab nak tengok awaklah! Bukan senang tau nak menyamar macam ni. Nasib baik baba boleh tolong cover line. Mummy fikir saya merajuk duduk dalam bilik sepanjang hari ni sebab dia tak kasi saya datang sama, padahal saya dah join photographer yang satu lagi. Nasib baik jugalah photographer tu tak kata apa masa saya datang menyelit,” kata Najwan lagi.

Auni mula tersipu malu. Kata-kata Najwan pada mulanya membuatkan dia malu sendiri. Nak tengok aku?

          “ Suka hati awaklah. Sekarang ni awak dah puas tengok saya so awak dah boleh pergi. Macam mana kalau ada orang lain nampak kita berdua-dua macam ni? Saya tak nak ada orang fikir kita ada skandal pula,” kata Auni. Sedaya upaya dia menahan dirinya daripada ketawa. Najwan mencebik.

          “ Kenapa pula skandal? Kita kan dah bertunang?” soal Najwan tidak puas hati.

          “ Masalahnya, boleh ke orang cam awak ni tunang saya? Tengoklah pakaian awak sekarang, dengan jambang palsu tu lagi,” Auni mengomel.

Turun naik matanya melihat pada Najwan. Lelaki itu kelihatan selekeh dengan jean hitam dan kemeja berpetak-petak yang agak longgar. Berlainan sekali dengan imej Najwan yang sentiasa bergaya walau hanya mengenakan kemeja T sahaja.

          Najwan sengih lagi. Auni pula mula mencebik. “ Ya tak ya. Tak apalah, saya pergi dululah. Saya datang ni pun sebab nak jumpa awak. Jumpa sekejap pun jadilah. Err… assalamualaikum.”

          Salam itu dibalas perlahan. Auni memerhatikan sahaja Najwan berlari pergi meninggalkannya. Dia menggelengkan kepalanya perlahan, masih tidak percaya dengan apa yang terjadi. Baru sahaja dia berpaling ke belakang, namanya diseru lagi.

          “ Ada apa?” tanya Auni. Najwan berlari mendapatkannya kembali. Lelaki itu hanya tersenyum.

          “ Saya lupa nak beri awak benda ni,” kata Najwan. Kali ini klip kertas berwarna biru pula yang diberikan kepada Auni. Auni tersenyum.

          “ Ingat juga awak. Saya pun lupa tadi,” kata gadis itu. Matanya melihat pada klip kertas itu. Seperti biasa, klip kertas itu akan disimpan di dalam balang kaca pemberian Najwan tempoh hari.

          “ Mana boleh lupa. Saya dah janji, kan?” kata Najwan. Berbunga hatinya apabila melihat senyuman Auni mekar untuknya.

          “ Dan…” Najwan menyeluk poket jeannya. Sekeping kertas kecil yang berlipat dihulurkan kepada Auni, “ … saya nak beri awak kertas ni.”

          Berkerut dahi Auni selepas membaca apa yang tertulis pada kertas itu. Hanya ada nombor 464 sahaja pada kertas itu. Dia mengangkat wajah lalu merenung wajah lelaki yang baru sahaja bergelar tunangannya itu.

          “ Apa maksud 464?” tanyanya dengan kerutan masih di dahi. Najwan tersenyum.

          “ Maksudnya, Saya Sayang Awak. Kan sama tu, S.A.Y.A ada empat huruf, S.A.Y.A.N.G ada enam huruf, A.W.A.K pula ada empat nombor. Jadilah 464,” jawab Najwan dengan gaya guru sedang mengajar anak muridnya mengeja. Auni ketawa.

          “ Bukan ke orang biasa guna 143?” tanya Auni lagi. Najwan senyum lagi. Kali ini lebih meleret.

          “ 464 hanya untuk awak. 143 tu dah berjuta orang guna,” jawab Najwan mudah. Auni ketawa lagi. Ada-ada aje ulah lelaki ini. Macamlah tak ada orang guna 464 tu.

          “ Tak apalah, saya nak kena pergi dah. Silap kantoi dengan mummy, nahas saya,” kata Najwan.

          Auni mengangguk sahaja. Tanpa berkata apa-apa lagi, Najwan terus meninggalkan tempat itu. Najwan senyum lagi. Jambang palsu dan kaca mata hitamnya dipakai kembali.


Thursday, July 11, 2013

464 Untuk Nini Bab 13



AUNI melihat sekitar ruang legar Mid Valley. Muka Fossil menjadi tumpuannya. 11 pagi. Hampir 15 minit dia menunggu Najwan namun bayang bakal tunangnya itu masih lagi belum kelihatan. Orang ramai sudah berpusu-pusu memasuki kompleks beli belah terkemuka itu.

          Auni sudah tiba di sini beberapa minit selepas pukul 10 pagi lagi. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya sebelum ketibaan Najwan dan E-jat.

          “ Nini?”

          Dahi Auni berkerut. Hanya seorang sahaja yang memanggil dengan nama itu. Tidak lain tidak bukan…

          “ Sorry, lambat. E-jat baru nak mandi masa saya nak datang,” kata Najwan yang segak berbaju T hitam berkolar dan denim biru. Ringkas sahaja. E-jat yang berada di sebelahnya juga ringkas berbaju T dan berdenim paras lutut. Auni hanya tersenyum.

          “ Tak apa. E-jat baru bangun tidur ke?” tanya Auni ramah. Matanya tertumpu pada E-jat. E-jat mengangguk.

          “ E-jat tidur lewat semalam. Tengok Monsters vs Aliens,” balas E-jat yang sama ramah dengan Auni. Auni tergelak kecil. Dia duduk mencangkung separas dengan E-jat.

          “ Dah breakfast? Kalau E-jat tak breakfast lagi, kita pergi makan dulu,” kata Auni. Pantas E-jat mendongak merenung wajah Najwan. Najwan hanya mengangguk.

          “ Boleh juga. E-jat memang tak makan lagi. Awak dah makan?” tanya Najwan. Auni mengangguk.

          “ Sekarang dah hampir masuk waktu lunch. Kita pergi makan dulu lepas tu pergi cari barang. Mummy dah bising kat rumah tu. Suruh selesaikan hal ni ASAP,” kata Najwan sambil tersenyum.

          “ Okey, tapi nak makan kat mana? Saya on aje,” jawab Auni.

          “ KFC?”

          “ Okey.”

         
BAJU kurung putih gading dengan renda Perancis yang dipamer di ruang pameran butik itu menarik perhatian Auni. Berkenan pula dia dengan rekaan ringkas baju kurung tersebut.

          “ Nini?”

          Pantas Auni berpaling ke belakang. Mahu sahaja dia terlanggar Najwan yang hanya berdiri selangkah sahaja daripadanya. Najwan sedang merenung pada baju kurung moden yang menjadi perhatiannya tadi. Kus semangat!

          Auni tarik senyum. Dia merenung pada E-jat yang sedang memegang erat tangan Najwan di sebelah. “ Kenapa?”

          “ Awak berkenan ke dengan baju tu? Asyik betul saya tengok awak dengan baju tu,” kata Najwan. Turun naik matanya menilai baju kurung putih gading di hadapannya. Memang cantik! Agak-agak, apa reaksi mummy kalau tengok baju ni? Najwan tergelak kecil.

          “ Err… entah,” jawab Auni teragak-agak. Malu pula nak mengaku yang dia suka akan baju itu. Tapi serius dia sukakan baju itu. Menarik betul pada matanya. Rekaannya tidak kelihatan keterlaluan. Sesuai dengan Auni yang sukakan rekaan ringkas.

          “ Nini?” Najwan panggil lagi. Auni menyahut sahaja. Dia menoleh ke belakang. Keningnya diangkat sebelah.

          “ Awak dah berkenan dengan baju tu ke? Kalau tak, saya dah nak bayar ni. Bising pula mummy kalau balik lambat, dia pesan suruh awak minum petang kat rumah saya dulu baru boleh balik rumah awak,” kata Najwan. Dia mengerling pada jam di tangan. Hampir menunjukkan pukul 4 petang.

          Lambat-lambat Auni mengangguk. Baju kurung itu memang menarik perhatiannya untuk dimiliki. Dia tersenyum. “ Baiklah.”

          Najwan membalas senyuman gadis itu. Dia terus ke kaunter bagi menyelesaikan urusan yang seterusnya. E-jat pula sedang berbual-bual dengan Auni. Mesra sungguh anak kecil itu dengan Auni walaupun mereka jarang bertemu.

          Rekaan untuk majlis resepsi sudah dipersetujui dan urusan yang melibatkan kad undangan perkahwinan dan kelengkapan majlis sudah dibeli sepenuhnya. Hanya tinggal beberapa barang yang ditempah untuk siap sahaja. Baba pun sudah menelefon pihak pengurusan majlis untuk tambahan meja pada majlis mereka di hotel bersama-sama pasangan Nawal-Syah kelak.

Sebenarnya Najwan mahu mengadakan majlis itu secara kecil-kecilan sahaja tetapi memandangkan baba punya ramai kenalan dalam bidang korporat, terpaksalah baba menjemput mereka semua sekaligus mengadakan majlis secara besar-besaran.

          “ Selesai juga benda ni. Sejak hari tu lagi mummy bising suruh siapkan benda ni awal-awal, kalau tak kelam kabut jadinya,” kata Najwan. Auni tergelak.

          Penuh bonet  Prius Najwan dengan barangan yang dibeli oleh mereka. Auni menolong Najwan memasukkan kesemua barangan itu ke dalam bonet. E-jat hanya jadi tukang pemerhati sahaja. Seronok dia makan aiskrim yang Auni belanja.

          “ So…” Najwan tenung muka Auni. “… awak kena ikut saya balik rumah dulu. Mummy dah pesan dalam 20 kali pada saya suruh bawa awak balik lepas shopping.”

          “ Yalah,” sahut Auni. Dia melangkah ke Swift putihnya yang diparkir selang beberapa buah kereta daripada Prius Najwan. Dia memandu mengekori kereta Najwan dari belakang.

          Lantaran tiada kesesakan jalan raya, pemanduan mereka lancar menuju ke rumah Najwan. Mummy awal-awal lagi sudah menunggu di halaman rumah. Terus sahaja mummy menerpa ke arah hadapan rumah sebaik sahaja kedua-dua kereta memasuki halaman.

          “ Assalamulaikum, Auntie Sofi,” sapa Auni. Tangan wanita itu disalami perlahan.

          “ Kenapa panggil macam tu? Mulai sekarang Auni kena panggil mummy, tak lama lagi kamu dah jadi menantu mummy, kan?” sungut mummy. Najwan yang mendengar kata-kata mummynya tersengih.

          “ Mummy ni, nampak gaya kalau Naj ajak Nini nikah malam ni jugak, mummy yang sokong seratus peratus,” usik Najwan. Dia mendukung E-jat yang hanya ketawa. Mummy mencebik.

          “ Bukan malam ni, kalau boleh petang ni jugak! Kamu tu dah bujang terlajak, Naj oiii!!!” sindir mummy. Auni terpinga-pinga. Akhirnya dia tersenyum malu.

          Mummy masuk ke dalam rumah disusuli Auni, Naj dan E-jat. Barangan yang dibeli mereka masih selamat dalam bonet kereta Najwan. Mummy merenung pada muka jam di dinding.

          “ Sekarang ni dah Asar. Baiklah kalau kamu berdua solat dulu, lepas tu turun ke laman, minum petang bersama, boleh?” kata mummy. Najwan dan Auni hanya mengangguk. Sesudah itu, mereka berdua ditinggalkan mummy di ruang tamu. E-jat dibawa bersama naik ke tingkat atas.

          “ Mari, saya bawa awak ke bilik tetamu. Dalam tu ada kain sembahyang, boleh awak guna. Mummy biasanya solat dalam bilik dia. Nak ajak awak ke bilik solat, takut tak ada privasi untuk awak pula kalau awak nak tanggalkan tudung,” ajak Najwan. Auni menurut sahaja. Ternyata keluarga Najwan prihatin akan suruhan agama yang wajib itu.

          Najwan dan Auni sama-sama menapak ke tingkat atas. Pintu sebuah bilik dibuka. Auni menjenguk ke dalam. Memang sesuai untuk dijadikan sebagai bilik tetamu, susunan perabot juga kemas. Memudahkan tetamu yang akan bermalam di rumah ini.

          “ Awak solatlah dulu, saya nak ke bilik saya,” kata Najwan.

          “ Okey.”

          Sesudah Najwan melangkah pergi, terus Auni mengunci pintu bilik itu. Bahaya kalau sesiapa masuk masa dia menanggalkan tudung di kepala. Hujung seluar jean yang dipakainya dilipat hingga paras betis. Auni masuk ke dalam bilik air. Pili air dibuka.

          “ Bismillah…”


AUNI tarik pintu bilik tetamu itu perlahan. Dia menjenguk ke luar. Matanya tertumpu pada ruang menonton di luar bilik. Satu set sofa tersedia di situ berserta dengan sebuah TV plasma dan pemain DVD. Dia melangkah keluar.

          “ Awak tentu Kak Long, kan?”

           Huh?

          Pantas Auni menoleh ke belakang. Seorang gadis yang kelihatan sebaya dengan dia sedang tersenyum kepadanya. Auni tarik senyum teragak-agak.

          “ Ops! Maaf, saya Nawal, adik Najwan,” ucap gadis itu.

          La… adik Naj rupanya…

          Nawal mendekati Auni yang masih tercegat di situ. Tangan gadis itu disalami.

          “ Patutlah Along angau, cantik betul Kak Long,” kata Nawal. Ternyata gadis itu mudah ramah dengan orang yang baru dikenalinya. Auni tersengih.

          “ Errr… Nawal baru balik ke?” tanya Auni. Tudung masih melekat pada kepala gadis itu. Nawal mengangguk. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.

          “ Baru balik jumpa tunang,” jawab Nawal ramah.

          “ Oh…”

          Auni memerhati ke sekeliling. Matanya tertumpu pada deretan kotak-kotak DVD. Dahinya berkerut apabila tajuk-tajuk DVD itu seperti pernah dilihatnya. Dia melihat Nawal kembali.

          “ Nawal minat drama Korea juga ke? Banyak DVD drama Korea Kak Long tengok kat sana. Kak Long pun minat dengan drama Korea ni,” tanya Auni. Agak kekok apabila membahasakan dirinya sebagai Kak Long kepada gadis di hadapannya itu. Nawal hanya menggeleng.

          “ Bukan Nawal punya. Nawal tumpang pinjam dan tengok aje,” jawab Nawal sambil tersengih. Dahi Auni makin berkerut.

          “ Bukan? Habis tu milik siapa?” Naj ada adik perempuan lain ke? Ke mummy yang tengok semua ni?

          “ Semua tu Along punya.”

          Erk?


AUNI membuka pintu Swift putihnya sebelum perhatian dia terarah pada Najwan yang turut membuka pintu keretanya. Keningnya bercantum. Dia ni nak ke mana pula tu?

          “ Awak nak ke mana?” tegur Auni. Najwan yang baru sahaja masuk ke dalam keretanya, keluar kembali. Lelaki itu mengukir senyuman.

          “ Escort awak baliklah, apa lagi? Saya nak hantar awak balik dengan kereta saya, takkan nak tinggal macam tu aje kereta kesayangan awak tu? Saya cuma boleh pandu belakang kereta awak ajelah,” jawab Najwan. Auni menggeleng.

          “ Tak payahlah, bukannya saya tak biasa pandu sorang-sorang macam ni,” bantah Auni. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu namun Najwan hanya tersenyum.

          “ Awak dengar apa yang saya kata, kan? Dah, naik kereta. Karang lambat sampai pulak,” kata Najwan. Tanpa mempedulikan Auni yang masih mahu membantah, dia terus masuk ke dalam keretanya. Auni mencebik. Tanpa sebarang pilihan, dia masuk sahaja ke dalam Swiftnya.

          Swift dipandu keluar dari halaman rumah Najwan. Prius Najwan mengekori dari belakang. Sesekali mata Auni melirik pada cermin sisi keretanya, melihat pada Prius di belakang.

          Auni menghela nafas. Kenapalah si Najwan tu rajin sangat nak escort aku sampai ke rumah?

          Nada dering Pelengkap Hidupku yang sudah bertukar daripada Everyday I Love You kedengaran daripada Corbynya. Auni mengerling sekilas pada skrin Corby. Najwan. Segera dia menjawab panggilan menggunakan handsfree.

          “ Assalamualaikum,” sapanya perlahan. Auni mengerling sekilas pada Prius di belakang sebelum melihat kembali pada cermin sisi keretanya. Jelas pada cermin sisi keretanya Najwan sedang tersenyum meleret walaupun kedudukan mereka agak jauh.

          Salamnya berbalas. “ Awak baik-baik aje, kan?”

          “ Kenapa awak tanya macam tu?” Auni tersengih. Kadang-kadang dia tidak dapat menduga tindakan Najwan. Dalam perlakuan biasa lelaki itu, terselit sesuatu yang boleh mengejutkan Auni.

          Tawa Najwan menyapa pendengarannya. “ Bukan senang saya nak jadi pengiring terhormat, tahu tak? Awak patut rasa bangga sebab ada seorang lelaki yang kacak sedang escort awak pulang ni.”

          Auni turut tergelak. “ Perasan!”

          Najwan masih lagi tertawa. Terhibur hatinya dengan kata-kata Auni. Dia senyum sendirian. Matanya masih tertumpu pada Swift putih yang meluncur laju di hadapannya.

          “ Nini…” seru Najwan. Dia senyum lagi.

          “ Ya?” jawab Auni mendayu-dayu. Sengaja dia berbuat demikian. Dia tertawa kecil. Kepalanya digeleng perlahan.

          “ Matikan radio awak tu. Saya nak nyanyikan lagu untuk awak, boleh?” pinta Najwan mengharap. Auni tersenyum manis. Dia mengangguk perlahan.

          “ Yalah,” balasnya. Radio dimatikan. Agak-agak, suara Naj best macam suara Jae Joong ke? He he

          Najwan menarik nafas. Suaranya dilontar keluar.


Uhn jeh yuht duhn guhn jee gee uhk nah jeen ah nah
Jah kkoon nae muh ree gah nuh roh uh jee ruhp duhn shee jahk
Hahn doo buhn ssheek dduh oh reu duhn saeng gahk
Jah kkoo neul uh gah suh joh geum dang hwang seu ruh oon ee mah eum
Byuhl eel ee ah neel soo eet dah goh
Sah soh hahn mah eum ee rah goh
Nae gah neh geh jah koo (neh geh jah koo)
Mahl eul hah neun geh uh saek hahn guhl


(I don't know when it all started)
(When my head became dizzy with thoughts of you)
(These thoughts would often pop up in my mind)
(I feel anxious as my heart expands towards you)
(It's nothing.. it's just a little thing)
(Your words are awkward to me) 

         
          Auni tergelak perlahan. Dia cam benar akan lagu yang sedang dinyanyikan oleh Najwan itu. Memang sah Najwan hantu drama Korea! Kalau tidak, macam mana lelaki itu boleh hafal lagu yang sedang dinyanyikannya itu. Howl featuring J, Perharps Love. Lagu drama Princess Hours, hatinya berbisik.

          Najwan masih lagi menyanyi. Dia langsung tidak menghiraukan Auni yang sedang ketawa.


Sarang een gah yo geu dae nah wah gaht dah myuhn shee jahk een gah yo
Mahm ee jah koo geu dael sarang hahn dae yo
Ohn seh sang ee deud doh rohk soh ree chee neh yo
Wae ee jeh yah deul lee jyoh~ OOH~
Suh rohl mahn nah gee wee hae ee jeh yah sarang chah jaht dah goh


(Is it love? If you feel the same way, is it a beginning?)
(My heart keeps saying it loves you)
(It screams out for the whole world to hear)
(Why has it taken so long for me to hear it~?)
(We've finally met.. finally found love)


          Najwan menghabiskan lagu itu dengan bersenandung. Auni ketawa lagi.

          “ Kenapa nyanyi sekerat aje? Sambunglah lagi,” ucap Auni tidak puas hati. Najwan hanya menyanyikan lagu itu tidak sampai separuh pun! Apatah lagi lagu itu merupakan antara lagu kegemarannya. Dia sukakan terjemahan lagu itu, begitu menyentuh hatinya.

          Najwan ketawa. Dia menggeleng lagi. “ Tak bolehlah, sayang. Dah lupa. Ingat setakat tu aje. Kena tengok balik Princess Hours tu baru ingat.”

          Pipi Auni mula terasa panas. Panggilan ‘sayang’ yang diungkapkan oleh Najwan tadi membuatkan dia tersipu-sipu.

          “ Awak memang hantu drama Korea, ya? Saya tengok banyak betul DVD drama dan filem Korea awak. Saya sangkakan semua tu Nawal punya, tak sangka awak punya sebenarnya,” ucap Auni, cuba menghalau rasa malunya.

          “ Saya memang minat semua tu. Kenapa? Awak minat jugak?” tanya Najwan. Prius membelok ke kanan, mengekori Swift di hadapan. Mereka sudah memasuki jalan untuk ke rumah Auni.

          Auni mengangguk gembira. “ Ya. Suka sangat dengan drama dan filem tu.”

          Najwan tersengih. Tidak sangka gadis itu mempunyai minat yang sama dengannya. Menemui perempuan yang meminati drama atau filem dari negara itu memang mudah, namun menemui lelaki yang meminati perkara seumpama itu memang sukar. Dan kadang kala Najwan akan ketawa sendirian apabila mengingatkan dirinya merupakan antara spesies lelaki yang sukar untuk ditemui itu.

          Swift Auni dipandu memasuki perkarangan rumahnya manakala Najwan hanya memarkirkan keretanya di luar pagar rumah. Najwan tidak berniat untuk singgah lama-lama di rumah Auni memandangkan hari sudah lewat petang. Dia keluar daripada keretanya, mengatur langkah mendapatkan Auni yang baru sahaja keluar daripada keretanya.

          “ Ummi dan walid awak tak ada ke?” tanya Najwan apabila melihat ruang hadapan kereta itu kosong tanpa sebarang kenderaan. Auni menjongket bahu.

          “ Entah. Tapi pintu pagar terbuka. Rasanya walid tak balik lagi dari office dia, ummi mungkin ke rumah jiran,” jawab Auni. Najwan mengangguk sahaja. Tangannya diseluk ke dalam poket. Dompetnya dikeluarkan. Sesuatu diambil dari dalam dompet itu.

          “ Nah.”

          Auni kebingungan namun dia tetap menadah tangannya. Apa pula ni?

          “ Kan saya dah janji saya akan beri setiap kali saya jumpa awak?” kata Najwan sambil mengenyit mata. Auni mengangguk. Matanya melekat pada klip kertas yang sudah diubah menjadi bentuk hati berwarna putih. Dia tertawa kecil.

          “ Terima kasih,” ucapnya perlahan. Najwan sengih sahaja.

          “ Tak apalah, saya balik dulu. Awak pun dah selamat sampai ke rumah awak,” ucap Najwan. Matanya singgah pada wajah gadis yang manis bertudung itu. Auni tersenyum. Namun cepat benar riak wajahnya berubah.

            “ Kejap, Naj. Sekejap, hampir lupa pula saya,” ucap Auni. Tergesa-gesa dia masuk kembali ke dalam Swift putihnya. Dia mengeluarkan sesuatu daripada tempat simpanan di bahagian hadapan kereta.

            “ Untuk awak,” kata Auni perlahan, agak malu-malu.

            Sebuah beg plastik berwarna hitam diserahkan kepada Najwan. Najwan menyambut huluran itu dengan senyuman. Matanya merenung pada wajah kemerahan Auni.

            “ Untuk saya? Thanks.” Najwan senyum ikhlas.

            Sehelai kemeja T berwarna hijau gelap dikeluarkan daripada beg plastik itu. Tampak segak dan ringkas dengan kolar yang berwarna hijau terang dengan sedikit rekaan pada lengan di bahagian kanan.

            “ Balik rumah nanti saya cuba tau. Thanks Nini,” ucap Najwan berulang kali. Hatinya melonjak gembira.

            Pertama kali mendapat hadiah daripada bakal tunang, siapa yang tidak gembira kan?

          “ Err… okey. Saya tak tahu padan tak dengan awak. So… errr… thanks sebab sudi hantarkan saya pulang sampai sini,” ucap Auni. Kemeja T itulah yang dibelinya sebaik sahaja dia tiba di Mid Valley Megamall pagi tadi.

          “ Anything for you, my lady. Thanks again. Assalamualaikum,” kata Najwan. Matanya melirik seketika pada Auni sebelum dia melangkah ke Prius yang tersadai di luar pagar. Auni mengekori lelaki itu dari belakang.

          “ Kirim salam pada ummi dan walid, ya?” pesan Najwan. Dia masuk ke dalam keretanya. Auni mencebik.

          “ Sejak bila mereka jadi ummi dan walid awak?” tanya Auni. Najwan tergelak.

          “ Sejak awak ditakdirkan jadi isteri saya,” jawab Najwan selamba. Auni ketawa.

          Dia memerhati sahaja Prius hitam itu menghilang daripada pandangannya. Sebaik sahaja bayang kereta itu tiada, dia terus masuk ke dalam rumah. Auni berlari naik ke tingkat atas. Masuk sahaja ke dalam biliknya, dia terus menerpa pada laci meja kerjanya. Diari putih miliknya dibawa keluar. Tergesa-gesa dia membuka lipatan sehelai A4 yang disimpan di dalam diari. Matanya turun naik melihat pada kandungan kertas itu.  


          Auni’s Guide Line When Looking For A Husband ;)
  • Boleh jadi imam solat and pandai baca Al-Quran
  • Hormat orang tua (tak nak ada masalah dengan mentua pula nanti)
  • Kena ada kerja tetap, tak kisahlah kerja apa asal halal
  • Sopan dan ramah dengan orang lain, tak kisahlah dengan siapa pun
  • Kenalah romantik. PENTING! (sebab ketagih tengok drama Korea yang romantiklah ni…)
  • Minat drama Korea macam aku (senang ke nak cari?)
  • Suka dengan budak-budak
  • Aku boleh buli dia time aku nak J


Kenapa aku rasa dari first point sampailah point akhir ada pada Naj???

          Auni garu kepala yang tidak gatal. Dia bergolek di atas katil. Bila difikir-fikirkan kembali, semua ciri yang dia mahukan dalam mencari suami ada pada Najwan. Semua ni kebetulan ke atau memang takdir untuk dia?

            Pada mulanya dia merasakan bahawa ini semua hanyalah kebetulan tetapi selepas meneliti satu persatu sikap Najwan, dia merasakan ini bukannya kebetulan. Najwan memang mempunyai kesemua ciri lelaki idaman Auni. Auni cukup bersyukur dengan apa yang dia temui dalam diri Najwan. Dia langsung tidak menyangka semua ciri lelaki idamannya ada pada Najwan.

          Auni bingkas melompat daripada katilnya. Dia berdiri bercekak pinggang di hadapan meja solek. Matanya tertancap pada pantulan imejnya pada permukaan cermin.

          “ Betul ke semua ni, atau kebetulan aje?” Auni merungut perlahan. Dirinya masih lagi memikirkan perkara itu walaupun dia punya keyakinan bahawa ini semua bukannya kebetulan. Dia merebahkan badannya kembali di atas katil. Apa yang dicoretkan pada kertas itu dibaca berulang kali. Akhirnya dia tersenyum juga.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...